Monday, October 31, 2011

Friday, October 28, 2011

LYNAS : Kenyataan Media Persatuan Perubatan Malaysia (MMA)

Kenyataan media oleh MMA pada 21hb Julai 2011 yang lalu yang dipetik dari halaman rasmi MMA berkenaan isu Kilang Lynas Advanced Material Plant (LAMP) milik LYNAS jelas membuktikan bahawa MMA bersama-sama dengan seluruh komuniti serta badan-badan NGO menuntut pihak Kerajaan Barisan Nasional (BN) agar menghentikan projek ini demi kesihatan Rakyat dan keselamatan Alam Sekitar.

Antara sebahagian kenyataan MMA adalah:
  1. Kenyataan yang dipetik dari akhbar The Star bertarikh 1hb Julai 2011 memaklumkan bahawa panel pakar IAEA tidak menemui sebarang ketidakpatuhan kepada Piawaian Keselamatan Radiasi Antarabangsa dilihat tidak tepat dan mengelirukan berbanding cadangan panel pakar itu di dalam laporan mereka bahawa AELB harus memastikan LYNAS menyerahkan pelan perancangan pengurusan sisa buangan mereka serta kes keselamatan untuk menyokong pelan itu sebelum kilang LAMP milik LYNAS itu dibenarkan beroperasi. Oleh kerana pelan perancangan pengurusan sisa buangan itu masih tiada, maka kenyataan dari panel pakar IAEA itu bahawa wujud kepatuhan kepada Piawaian Keselamatan Radiasi Antarabangsa itu tidak boleh dijamin sama sekali.
  2. Kenyataan wakil LYNAS ketika perjumpaan wakil MMA Pahang pada 22hb Mei 2011 bahawa NUF dan FGD 100 peratus bebas radioaktif tidak disahkan oleh panel pakar IAEA ketika perjumpaan wakil MMA Pahang dengan panel pakar IAEA pada 31hb Mei 2011, seminggu selepas perjumpaan MMA Pahang dengan wakil LYNAS itu.
  3. Kajian MMA bahawa tidak ada satu pun Kilang Nadir Bumi di dunia ini yang mempunyai profil keselamatan jangka panjang yang disokong oleh kajian Alam Sekitar dan kajian Epidemiologi. Juga terdapat banyak Kilang yang berkaitan telah pun ditutup kerana kesan bahaya industri berkaitan kepada Alam Sekitar.
  4. Ketika perjumpaan wakil MMA dengan panel pakar IAEA, ahli panel bersetuju bahawa pengawasan dan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan di negara membangun mungkin tidak sebaik negara maju. Walaupun Kilang LAMP milik LYNAS dikehendaki beroperasi dalam kawalan yang amat ketat, tidak ada jaminan pengawasan dan penguatkuasaan yang diharapkan itu akan berlaku di Malaysia.
  5. Laporan Kesan Impak Radioatif (RIA) atau ‘Radioactive Impact Assessment’ berkenaan pengurusan jangka panjang sejumlah kuantiti besar sisa radioaktif kepada Alam Sekitar dan Keselamatan Awam tidak diberi penekanan di dalam laporan RIA itu.
  6. Kaedah simpanan terbuka sisa pepejal akan mendedahkan pelepasan habuk radioaktif ke udara serta meningkatkan kemungkinan penyedutan habuk radioaktif tersebut oleh penduduk di sekitarnya.
  7. Laporan dari New York Times (Keith Bradsier, 29hb Jun 2011) bahawa pembinaan dan rekabentuk Kilang mungkin mempunyai kelemahan ketara termasuk keretakan struktur, poket udara dan kebocoran tangki simpanan, jika laporan ini betul, potensi pencemaran Alam Sekitar dan ancaman Kesihatan kesan dari bahan toksik, yang juga bersifat menghakis itu serta bahan radioaktif ini akan kekal sehingga berbillion tahun lamanya.
BADAR bersama-sama dengan MMA melalui Gabungan STOP LYNAS atau ‘STOP LYNAS COALITION (SLC)’ yang baru ditubuhkan hampir 2 bulan yang lalu bersama-sama 20 kumpulan lain yang menyokong gerakan Anti-LYNAS masih menanti-nanti jemputan agensi yang berkaitan khususnya Lembaga Perlesenan Atom Negara (AELB) untuk melibatkan pembabitan pihak awam untuk menilai semua dokumen-dokumen yang dikatakan sudah diserahkan oleh pihak LYNAS kepada AELB sekian lama.

Satu kemusykilan kenapa AELB mengambil masa yang lama untuk menjemput pihak awam untuk bersama-sama menilai semua dokumen itu? khususnya dokumen pelan jangka panjang pengurusan sisa buangan radioaktif jika pihak Kerajaan Barisan Nasional (BN) khususnya yang memimpin MOSTI di mana AELB berada di bawahnya betul-betul telus serta ingin dilihat mahu melaksanakan reformis ‘public engagement’, Lokal Agenda 21 serta mendokong wawasan 1Malaysia Rakyat Didahulukan.

BADAR melalui Gabungan STOP LYNAS atau ‘STOP LYNAS COALITION(SLC)’ juga berharap pihak pengurusan LYNAS (M) Sdn Bhd yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif mereka Marsyal Ahmad dapat menyerahkan set dokumen yang sama kepada wakil BADAR atau SLC secepat mungkin.

Kegagalan LYNAS dan AELB untuk berbuat demikian secepat mungkin pasti akan menimbulkan polemik baru di kalangan rakyat Malaysia bahawa pihak Kerajaan Barisan Nasional (BN) mungkin sedang mencari jalan untuk ‘menghalalkan’ kewujudan LYNAS melalui apa cara sekalipun dengan melengah-lengahkan penglibatan pihak awam untuk menilai semua dokumen-dokumen itu dalam jangkamasa dan kaedah yang dipersetujui secara bersama dengan BADAR dan ‘STOP LYNAS COALITION (SLC)’.

(Semua Rakyat Malaysia diminta bersama-sama menyokong Facebook STOP LYNAS COALITION (SLC) di https://www.facebook.com/groups/stoplynascoalition/ dan di https://www.facebook.com/pages/Stop-Lynas-Coalition-SLC/269265829774813)

BLOG BADAR di www.badarstoplynas.com