Kenyataan media oleh MMA pada 21hb Julai 2011 yang lalu yang dipetik dari halaman rasmi MMA  berkenaan isu Kilang Lynas Advanced Material Plant (LAMP) milik LYNAS  jelas membuktikan bahawa MMA bersama-sama dengan seluruh komuniti serta  badan-badan NGO menuntut pihak Kerajaan Barisan Nasional (BN) agar  menghentikan projek ini demi kesihatan Rakyat dan keselamatan Alam  Sekitar. 
Antara sebahagian kenyataan MMA adalah:- Kenyataan  yang dipetik dari akhbar The Star bertarikh 1hb Julai 2011 memaklumkan  bahawa panel pakar IAEA tidak menemui sebarang ketidakpatuhan kepada  Piawaian Keselamatan Radiasi Antarabangsa dilihat tidak tepat dan mengelirukan  berbanding cadangan panel pakar itu di dalam laporan mereka bahawa AELB  harus memastikan LYNAS menyerahkan pelan perancangan pengurusan sisa  buangan mereka serta kes keselamatan untuk menyokong pelan itu sebelum  kilang LAMP milik LYNAS itu dibenarkan beroperasi. Oleh kerana pelan  perancangan pengurusan sisa buangan itu masih tiada, maka kenyataan dari panel pakar IAEA itu bahawa wujud kepatuhan kepada Piawaian Keselamatan Radiasi Antarabangsa itu tidak boleh dijamin sama sekali.
 - Kenyataan wakil LYNAS ketika perjumpaan wakil MMA Pahang pada 22hb Mei 2011 bahawa NUF dan FGD 100 peratus bebas radioaktif tidak disahkan  oleh panel pakar IAEA ketika perjumpaan wakil MMA Pahang dengan panel  pakar IAEA pada 31hb Mei 2011, seminggu selepas perjumpaan MMA Pahang  dengan wakil LYNAS itu.
 - Kajian MMA bahawa tidak ada satu pun  Kilang Nadir Bumi di dunia ini yang mempunyai profil keselamatan jangka  panjang yang disokong oleh kajian Alam Sekitar dan kajian Epidemiologi.  Juga terdapat banyak Kilang yang berkaitan telah pun ditutup kerana kesan bahaya industri berkaitan kepada Alam Sekitar.
 - Ketika perjumpaan wakil  MMA dengan panel pakar IAEA, ahli panel bersetuju bahawa pengawasan dan  penguatkuasaan undang-undang dan peraturan di negara membangun mungkin tidak sebaik negara maju. Walaupun Kilang LAMP milik LYNAS dikehendaki beroperasi dalam kawalan yang amat ketat, tidak ada jaminan pengawasan dan penguatkuasaan yang diharapkan itu akan berlaku di Malaysia.
 - Laporan Kesan Impak Radioatif (RIA) atau ‘Radioactive Impact Assessment’ berkenaan pengurusan jangka panjang sejumlah kuantiti besar sisa radioaktif kepada Alam Sekitar dan Keselamatan Awam tidak diberi penekanan di dalam laporan RIA itu.
 - Kaedah simpanan terbuka sisa pepejal  akan mendedahkan pelepasan habuk radioaktif ke udara serta meningkatkan kemungkinan penyedutan habuk radioaktif tersebut oleh penduduk di sekitarnya.
 - Laporan dari New York Times (Keith Bradsier, 29hb Jun 2011) bahawa pembinaan dan rekabentuk Kilang mungkin mempunyai kelemahan ketara termasuk keretakan struktur, poket udara dan kebocoran tangki simpanan,  jika laporan ini betul, potensi pencemaran Alam Sekitar  dan ancaman  Kesihatan kesan dari bahan toksik, yang juga bersifat menghakis itu  serta bahan radioaktif ini akan kekal sehingga berbillion tahun lamanya.
 
 BADAR bersama-sama dengan MMA melalui Gabungan STOP LYNAS atau ‘STOP LYNAS COALITION (SLC)’  yang baru ditubuhkan hampir 2 bulan yang lalu bersama-sama 20 kumpulan  lain yang menyokong gerakan Anti-LYNAS masih menanti-nanti jemputan  agensi yang berkaitan khususnya Lembaga Perlesenan Atom Negara (AELB)  untuk melibatkan pembabitan pihak awam untuk menilai semua  dokumen-dokumen yang dikatakan sudah diserahkan oleh pihak LYNAS kepada  AELB sekian lama.
Satu  kemusykilan kenapa AELB mengambil masa yang lama untuk menjemput pihak  awam untuk bersama-sama menilai semua dokumen itu? khususnya dokumen  pelan jangka panjang pengurusan sisa buangan radioaktif jika pihak  Kerajaan Barisan Nasional (BN) khususnya yang memimpin MOSTI di mana  AELB berada di bawahnya betul-betul telus serta ingin dilihat mahu  melaksanakan reformis ‘public engagement’, Lokal Agenda 21 serta  mendokong wawasan 1Malaysia Rakyat Didahulukan.
BADAR melalui Gabungan STOP LYNAS atau ‘STOP LYNAS COALITION(SLC)’  juga berharap pihak pengurusan LYNAS (M) Sdn Bhd yang diketuai oleh  Ketua Pegawai Eksekutif mereka Marsyal Ahmad dapat menyerahkan set  dokumen yang sama kepada wakil BADAR atau SLC secepat mungkin. 
Kegagalan  LYNAS dan AELB untuk berbuat demikian secepat mungkin pasti akan  menimbulkan polemik baru di kalangan rakyat Malaysia bahawa pihak  Kerajaan Barisan Nasional (BN) mungkin sedang mencari jalan untuk ‘menghalalkan’  kewujudan LYNAS melalui apa cara sekalipun dengan melengah-lengahkan  penglibatan pihak awam untuk menilai semua dokumen-dokumen itu dalam  jangkamasa dan kaedah yang dipersetujui secara bersama dengan BADAR dan ‘STOP LYNAS COALITION (SLC)’.
BLOG BADAR di www.badarstoplynas.com