Monday, September 29, 2008

SALAM AIDIL FITRI

Hari ni saya balik kampung sebelah isteri di Jengka 10. Blog ini tak akan di update beberapa hari kerana tiada Streamix kat sana. Kita jumpa selepas raya.

Selamat hari raya, Maaf zahir dan batin. Kepada semua sahabat dan pengunjung... semoga selamat dalam perjalanan ke kampung... Berhati-hati ketika memandu... ingat orang yang disayang.

Apapun, bacalah beberapa posting terakhir saya tentang ISA. Jangan lupakan mereka dalam kita menyambut hari raya...

Allahu Akbar..!!

Sunday, September 28, 2008

LOGO MALAYSIA BEBAS DARI ISA

Jom masukkan logo ni kat gadget blog anda sebagai tanda anda mahukan Malaysia bebas dari ISA. Harap semua bloger dapat menyahut seruan ini. Kalau ada logo yang lagi power, sila sebarkan kepada semua bloger yang cintakan keadilan dan bencikan kezaliman.

Saturday, September 27, 2008

PETIKAN HARAKAHDAILY

Pemuda PAS Pahang sumbang RM5 ribu kepada tabung ISA
Anis Nazri/ anisnazri@harakah.net.my/ Fri Sep 26/08 11:42:07 pm

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Hrkh) - Dewan pemuda PAS Pahang menyampaikan sumbangan berjumlah RM 5000 sebagai bantuan meringankan beban keluarga tahanan ISA, khususnya menjelang Syawal akan datang.

Pemangku Ketua Pemuda PAS Pahang, Suhaimi Md Saad, dalam kunjungan ke pejabat Harakah, hari ini menyampaikan sumbangan tersebut kepada Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) melalui Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman, pagi tadi.

Menurut Suhaimi, sumbangan tersebut menunjukkan kebersamaan dewan itu dengan isteri-isteri tahanan ISA dalam memahami dan menyelami kesengsaraan keluarga tahanan yang ditinggalkan.

Dalam pada itu, aktivis GMI, Norlaila Othman, yang turut hadir, menyatakan bahawa Suhaimi dan Pemuda PAS Pahang sentiasa komited dalam isu kebajikan keluarga tahanan ISA.
"Bukan baru sekarang, ustaz dan Pemuda Pahang membantu GMI. Tetapi dari dahulu lagi. Malah, ustaz juga yang berjaya menjual buku 'Dunia Tanpa Suami' tulisan saya dan beberapa rakan lain dengan bilangan yang banyak," kata beliau.

Sementara itu, Ahmad Lutfi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dewan Pemuda PAS Pahang atas sumbangan ikhlas yang diberikan kepada GMI untuk meringankan beban keluarga ISA.

Beliau turut mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada para pembaca Harakah yang tidak putus-putus menyalurkan bantuan ke tabung yang diwujudkan Harakah bagi tujuan tersebut.

"Pada awalnya, kami di Harakah tidak menjangkakan akan mendapat sambutan yang begitu baik dari seluruh masyarakat. Sehingga hari ini, tabung kami telah mencecah hampir RM 100 ribu dan sebahagiannya sudah disampaikan kepada GMI dan keluarga tahanan sendiri," kata beliau.

Dalam majlis sama, Harakah turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM 30 000 kepada GMI.
Sebelum ini, dalam rangka misi Harakah ke Sabah bagi menemui keluarga tahanan ISA, sebanyak RM15 000 berjaya disampaikan kepada sepuluh keluarga, termasuk anak-anak kecil tahanan ISA.

Tinjauan Harakah selama dua hari bermula 23 Sept hingga 24 Sept lalu turut menyaksikan kebanyakan anak-anak Sabah tidak berpeluang bersekolah kerana kesempitan hidup.

Atas kesedaran tentang kepentingan ilmu, Harakah sekali lagi berusaha untuk mengumpul dana bagi membantu anak-anak Sabah dapat meneruskan kehidupan mereka seperti kanak-kanak lain untuk mendapat hak pendidikan sewajarnya.

Bagi pembaca yang prihatin dengan nasib malang keluarga mangsa ISA dan anak-anak Sabah yang keciciran ini, sila hantar sumbangan anda kepada HARAKAHDAILY DOT COM, nombor akaun Maybank 564070000336

Friday, September 26, 2008

PERUTUSAN AIDIL FITRI

Ramadhan makin beransur meninggalkan kita, Aidil Fitri bakal menjelma… Selama sebulan kita didik dalam madrasah Ramadhan. Tarbiyyah Allah ini bertujuan untuk mencapai darjat ketakwaan sebagaiman firman Allah

Wahai orang yang beriman telah diwajibkan kepada kamu puasa sebagaiman orang-orang byang terdahulu, mudah mudahan kamu akan menjadi manusia bertakwa. (Al Baqarah 183)

Dalam kita sibuk membuat persiapan menyambut Aidil Fitri jangan lupa, hidupkan malam-malam terakhir ini dengan iktikaf, munajat, tadarus dan segala amal baik yang lain

Jihad menentang Kezaliman

Dalam kita merayakan Aidil Fitri, disana masih ramai saudara kita yang ditahan di bawah ISA. Anak dan isteri mereka terus berduka. Sebahagiannya sudah 7 tahun berjerijikan besi dan terlebih pilu anak isteri mereka terus bertarung dengan kesan kezaliman ini. Mereka merasai kesusahan tanpa ayah dan suami disisi. ISA meragut kasih sayang antara mereka.

Allah menjadikan perang Badar dalam bulan Ramadhan. Semuanya bertujuan untuk mengingatkan kita golongan yang dizalimi perlu dibela dan pelaku zalim mesti direntap dari kuasa. Nabi keluar ke medan Badar untuk menentang golongan yang zalim. Firman Allah

Telah diizinkan berperang, kerana sesungguhnya mereka telah dizalimi. Iaitu orang orang diusir dari kampung halaman mereka tanpa apa-apa alasan semata-mata mereka berkata tuhan kami adalah Allah. Sesungguhnya Allah berkuasa menolong hambanya. (Al Hajj: 39)

Marilah kita mengambil semangat Badar ini, untuk terus istiqamah menentang kezaliman.

Dikesempatan ini saya susun 10 jari memohon maaf kepada semua atas kesilapan dan kelemahan ini. Maaf juga kepada sahabat-sahabat yang hampa kerana saya gagal menunaikan permintaan untuk bertazkirah di tempat mereka. Apakan daya Ramadhan hanya sebulan. Jadual Tazkirah ini telah penuh 2 minggu sebelum Ramadhan... Cuba lagi di tahun depan...

Salam Aidil Fitri.. Maaf zahir dan batin...


Suhaimi Md Saad
Pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS
Negeri Pahang

Thursday, September 25, 2008

JEJAK RAMADHAN : BANTU KELUARGA MANGSA ISA

Sebentar tadi sekitar jam 12, saya telah ke Pejabat Harakah KL untuk menyerahkan sumbangan yang saya lancar di beberapa masjid/ surau yang saya menyampaikan tazkirah Ramadhan. Jumlah RM 5000 tak lah berapa banyak, namun ini sahaja sumbangan tenaga yang mampu saya lakukan sebagi tanda saya turut bersama merasai penderitaan keluarga mangsa ISA.

Turut bersama saya ialah Ust. Junaidi (Bendahari DPPNP), Ust Jauhari (Exco DPPNP) dan Maslan Ardy (SUK DPPNP).

Kami di sambut mesra oleh kakitangan Harakah. "Cikgu.. Bila sampai" Anis Sarnazmi wartawan harakah menyapa saya. Anis Sarnazmi adalah anak murid saya ketika saya mengajar di Institut Berakan Kuala Terengganu. Semasa di institut Berakan beliau banyak membantu saya sehingga lahirnya majalah sulung sekolah, bersama Adhana, Sharifah dan ramai lagi. Apa khabar mereka semua sekarang ni yek.

Menerima wang RM 5000 itu, bagi pihak Keluarga mangsa ISA ialah Sdr Lutfi Othman, Ketua pengarang Harakah, Kak Norlaila (Aktivis GMI). Suami beliau masih dalam tahanan ISA. Turut hadir bendahari GMI yang saya tak ingat nama.

Mereka baru sahaja kembali dari Sabah, juga dalam misi membantu keluarga tahanan ISA di sana. Rupanya menurut Kak Norlaila keluarga mangsa ISA di Sabah lebih dhaif. Mereka langsung tak punya kesempatan untuk melihat ayah mereka, lantaran kemiskinan dan laut China Selatan yang menjadi pemisah. Mereka hidup tanpa pendidikan dan persekolahan, dihimpit kemiskinan.. Air mata saya bergenang bila cerita itu menerjah ke telinga saya..

Saya baru sahaja mengenali Kak Norlaila. Wanita besi yang tabah, terpisah dengan suami selama 7 tahun. Kagum saya dengan semangatnya.. Sepenuh masa membantu keluarga mangsa ISA melalui GMI. Kita yang bergelar ustaz ini, rasa malu bila melihat semangat juangnya dan istiqamah beliau menentang kezaliman yang dikenakan ke atas suaminya dan suami rakan-rakannya.

Bila bersembang, beliau begitu bersemangat dan berjiwa besar, beliau mampu menyembunyikan kesedihan dan derita yang beliau tanggung. Selamilah luahan perasaan beliau yang terbaru di bawah ini. Saya doakan semoga beliau terus tabah atas ujian Allah ini. Saya dan Dewan Pemuda PAS Negeri akan terus bersama membantu semua yang dizalimi ini. Insya Allah

7 tahun abah tak pernah belikan baju raya, kasut baru untuk Suhaib....
Norlaila Othman
Aku menuju ke peti surat dan mengambil dua keping kad Raya yang dihantar oleh suami yang masih 'disimpan' oleh Hamid Albar di Kem Kamunting. Satu untuk ku dan satu untuk Suhaib.

Jariku terlalu ingin untuk mengoyak dan membaca isinya tetapi segera disergah oleh Suhaib yang akan di hantar ke sekolah untuk program iktikaf dan mukhayyam.

"Ummi, kita baca kad dalam kereta saja lah, dah lewat ni..," kata-kata itu mematikan segala keinginan tersebut.

Aku memandu agak perlahan. Suhaib yang kelihatan agak ceria, memasang memasang radio dan sesekali tersenyum mendengar celoteh DJ bertugas.

"Bacalah kad yang abah kirim tu" kataku sambil menjeling padanya yang tersandar disebelah ku. Dia segera mencapai envelope putih bersaiz 4 x 8 inci itu mengoyakkan kulit dan mengeluarkan isinya. Sebuah kad raya yang manis warnanya, coklat dengan kombinasi keemasan.

Suhaib membaca seketika, tapi kemudian segera meletakkan kad itu di dalam laci dashboard.
Wajahnya tiba-tiba muram dan muncungnya kelihatan agak panjang.

"Kenapa ni? Apa yang abah tulis? Abah marah Suhaib ke" tanya ku bertalu-talu. Suhaib mendiamkan diri. Wajahnya dihalakan ke arah tingkap sebelah kiri.

Aku sudah masak benar dengan sikap orang bujang di sebelahku ini. Malas nak layan. Kami berdua sama-sama membatukan diri.

Perjalanan dari Keramat ke Gombak terasa begitu lama sekali. Tiba di laman sekolah, Suhaib segera menghulurkan tangan, bersalam dan mencium tanganku.

Aku ingin mencium pipinya tetapi cepat-cepat dia memalingkan wajahnya. Aku perasan hidung dan matanya merah sedikit.

Tanpa sepatah kata, terus saja dia membuka pintu kereta dan berjalan meninggalkan ku yang masih termangu-mangu.

Aku mencapai kad raya di laci kereta dan meneruskan perjalanan menghala ke Hulu Kelang. Aku cuba membaca kad Raya itu,tetapi tulisan yang agak halus itu menyukarkan aku memahami isi kandungannya.

Aku memberhentikan kereta di tepi jalan dan melihat kad itu semula.

"Suhaib, di Hari Raya ini, abah mohon jutaan maaf kerana sejak tujuh tahun yang lalu, abah tak pernah belikan baju Raya dan kasut baru untuk Suhaib. Abah juga terlalu ingin untuk membawa Suhaib ke kedai dan membeli barang-barang yang Suhaib suka.

"Abah juga minta maaf kerana tidak dapat membesarkan Suhaib dan memberi didikan yang baik sepertimana bapa orang lain. Abah terlalu rindu untuk bersama-sama Suhaib dan Umi dan menyambut Raya macam orang lain....."

Ohhhh! Inikah ucapan yang menyebabkan Suhaib muncung macam ikan todak. Aku pun terasa sayu juga membaca ucapan itu.Air mataku sendiri bergenang. Nasib baik aku sedang bersendirian di kereta.

Pada ketika itu, aku hanya mampu berdoa supaya kezaliman ISA segera di angkat dari keluarga kami

Wednesday, September 24, 2008

RAMADHAN: BULAN MENENTANG KEZALIMAN ISA

Saya sangat tersentuh apabila berbicara soal kezaliman ISA. Manakan tidak, akta yang zalim ini meragut kasih sayang suami isteri dan anak-anak. Mereka dihumban ke dalam tahanan tanpa boleh membela diri. Muktamat bersalah...

Sebab itulah dalam siri tazkirah saya sepanjang ramadhan saya selit kisah disebalik tabir keluarga ISA. Penderitaan isteri dan anak-anak mereka. Saya menjelajah ke seluruh surau/ masjid bersama Lap top dan LCD untuk dedahkan sebahagian dari penderitaan keluarga ISA.

Amaran keras dari Allah ke atas penyokong kezaliman, dalam surah Hud ayat 113
Jangan kamu cenderung hati pada orang-orang yang zalim nanti kamu akan disambar api neraka, sekali-kali kamu tidak mempunyai penolong selain dari Allah, kemudian kamu tak akan diberi pertolongan.

Walaupun saya telah acap kali ulangi kisah yang sama dalam tazkirah di tempat berbeza namun, saya tetap tak dapat menahan sebak di dada apabila berbicara soal penderitaan mereka. Hampir setiap kali saya bergenang air mata dalam siri tazkirah saya.

Setakat ini boleh dikatakan hampir semua surau/masjid yg saya paparkan isu ini, maka akan bercucuranlah air mata jamaah di situ. Kezaliman ini menyentuh perasaan semua. ISA memang patut menerima kutukan laknat dari seluruh rakyat yg cintakan keadilan. Emosinya saya, sehingga saya katakan "sesiapa yg bersetuju dengan ISA, mereka tak layak untuk bergelar manusia". Bloger dari muadzam melahirkan rasanya selepas mengikuti tazkirah itu. Klik link di bawah
Lihatlah anak-anak ini. Sedari kecil lagi mereka terpaksa berdikari untuk menyara keluarga. Mereka hidup dibawah bayangan kezaliman. Hak ayah yg dicintai untuk bersama anak dirampas, kasih sayang diragut. Manusia apakah, yang masih tergamak menyokong kezaliman ini?

Ini sahaja yang mampu saya bantu... memberi penerangan pada rakyat tentang kezaliman ISA, melancarkan sumbangan untuk mereka dan berdoa semoga semua keluarga ini menjadi insan yang tabah mengharungi kezaliman ini.

Hari ini hati saya tersentuh lagi dengan kisah di bawah... ikutilah kisah itu. Mengertilah, mengapa kita wajib menentang ISA

Hari raya tanpa 'Abi', terpisah kerana kezaliman ISA

Semalam (23 September), penulis bersama rakan wartawan, Azamin Amin dan, Penyunting, M.Khaleel melangkah kaki ke Simpang Durian, Jelebu, Negeri Sembilan, satu-satunya kampung dimana orang Melayu dahulu berkubu daripada ancaman komunis.

Jarak perjalanan dari Kuala Lumpur ke Simpang Durian mengambil masa kira-kira empat jam jika kelajuan pemanduan sekitar 80 km sejam.

Maklumlah perjalanan dalam musim perayaan ini memaksa penulis memperlahankan kenderaan, kurangkan memotong dan cukup berhati-hati ketika mahu mencelah.

Semalam juga Ops Sikap dilancarkan di seluruh negara yang mana polis dan JPJ ditugaskan mengawal seluruh trafik.

Misi kami ke Kampung Simpang Pertang untuk menyampaikan bantuan hari raya kepada seorang isteri tahanan ISA, Hidayu Kamaruzzaman yang mana suaminya, Mohammad Amir Mat Hanafiah ditahan pada 5 April 2007.

Hidayu kini tinggal dengan bapanya, Kamaruzzaman Mat Kilau yang hanya bekerja sebagai Penoreh Getah, sementara Hidayu terpaksa bekerja sebagai Guru Kafa dengan gaji hanya RM500 sebulan.

Setibanya kami di rumah Hidayu, tiga anaknya, Fathur Rahman Al-Ghazi; Uwais Al-Qarani dan Ubaidah Al-Harith menyambut kami dengan mesra malah seakan telah mengenali kami seperti bapa saudara mereka.

Bapa Hidayu (Kamaruzzaman) membuka pintu pagar rumah yang telah usang dengan memandang tepat ke arah muka kami sambil menghulurkan salam.

Menitis airmata penulis apabila melihat, anak sulong Hidayu, (Fatur Rahman) meluru ke arah penulis memeluk erat penulis bagaikan memeluk bapa sendiri.

Terpancar di wajah Fatur Rahman kerinduan yang amat sangat malah adik-adiknya turut mendakap penulis, seakan tidak mahu kami segera beredar.

Dalam pertemuan selama kira-kira setengah jam itu, sempat kami berkongsi pengalaman Hidayu, seorang isteri yang masih muda yang terpaksa menempuhi ranjau hidup sendirian tanpa suami di sisi.

Walaupun Hidayu rancak berbual dengan kami mengenai pengalamannya, namun dari sayu matanya, terpancar perasaan yang amat mendalam, kesengsaraan hidup dengan suami terpisah di tembok besi kejam binaan kerajaan.

Sebaris kata HIdayu yang tidak dapat penulis lupakan "Abang kata, tak mengapa sabarlah dengan dugaan, insyaAllah Allah akan membalasnya di akhirat".

Renungan sayu wajah Hidayu dan anak-anaknya sememangnya memberikan satu lagi pengalaman yang cukup sedih kepada penulis yang hanya mampu menukil kisah beliau hanya dalam tulisan.

Apakah perasaan sebenar Hidayu tatkala berhadapan dengan sengsara ciptaan ISA ini, hanya Hidayu dan anak-anak serta ayahnya yang telah tuan sahaja yang mengetahui.

Sedetik tidak pernah Hidayu menyesali dugaan itu, tetapi di hatinya jelas terbayang betapa beliau tidak redha suaminya diperlakukan sedemikian tanpa perbicaraan di mahkamah untuk membuktikan kesalahan.

Sesungguhnya tuduhan terbabit dengan kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) menjadi alasan kerajaan untuk menahannya, namun sehingga kini Hidayu pelik mengapa tuduhan sahaja yang dilemparkan sedangkan proses pembuktian tidak pernah berlaku.

Hidayu pasrah dengan dugaan itu, namun hatinya sesekali tercuit dengan suara anak-anak yang meminta bertemu dengan Abi (Ayah) yang masih terpenjara di Kem Tahanan Kamunting.

Biarpun rakan-rakan sebaya dengan anak-anaknya kini cukup gembira menyambut Aidilfitri, namun ujar Hidayu, anak-anaknya lebih merindui Abi yang entah bila akan dibebaskan.

Hiba perasaan penulis tatkala Hidayu menyatakan anak sulongnya sukar untuk menjawab pertanyaan rakan-rakan di Tadika apabila rakan bertanyakan di mana ayah mereka.

Entah bilakah Fatur Rahman, Uwais dan Ubaidah akan dapat mendakap tubuh bapa mereka, hanya Allah yang tahu.

Sebelum pulang, penulis telah menyampaikan bantuan berupa wang Rm1000 untuk persiapan hari raya kepada Hidayu.

Wang ini diberi kepada isteri-isteri tahanan ISA hasil kutipan tabung Harakahdaily yang diusahakan selama ini.

Namun terdetik di hati penulis, apalah sangat bantuan Rm1000 berbanding berat resah dan hiba kerinduan Hidayu dan anak-anak terhadap Mohammad Amir yang hanya akan beraya di tirai besi.

Kisah ini hanya secebis kisah malang isteri-isteri tahanan ISA yang merana selepas suami mereka ditahan tanpa bicara, namun kisah ini tidak pernah menjadi pedoman kepada pemerintah untuk menghapuskan undang-undang rimba ini

Tuesday, September 23, 2008

SINAR HARIAN : 23 SEPTEMBER


Monday, September 22, 2008

JEJAK RAMADHAN DI PENJARA PENOR

Buat julung kalinya PAS Negeri Pahang diterima masuk ke Penjara Penor untuk menyampaikan sumbangan Ramadhan kepada penghuni penjara Penor dan kakitangannya. Program yang dirancang oleh Lajnah Kebajikan PAS Negeri ini berjaya mendekatkan PAS dengan penghuni Penjara dan kakitangan penjara. Terdahulu daripada itu Cikgu Majid Hasan (setiausaha BPPNP) meyampaikan ucapan aluan selaku ketua rombongan dan diikuti dengan tazkirah ramadhan dari Ust Abu Kasim Manaf (Ketua Dewan Ulama PAS Pahang)

Menariknya, Ust Abu Kasim telah menceritakan kisah yg dipetik dari hadis sahih tentang seorang lelaki yg telah membunuh 99 orang kemuan membunuh seorang lagi, menjadikan 100 mangsa yg dibunuh. Kemuadian mencari jalan untuk bertaubat. Kisah itu memberi pengajaran pintu taubat sentiasa terbuka untuk orang yg ingin kembali pada Allah.

Sebanyak 50 bungkusan diagihkan kepada penghuni penjara dan 100 bungkusan lagi untuk kakitangan penjara. Turut Bersama ialah YB Syed Muhammad (ADUN Beserah), Ust Suhaimi Saad (Pemangku Ketua DPPNP), Ustazah Azizah (ketua DMPNP), Puan Salmiah (Ketua Lajnah Kebajikan Negeri), Ust Rosli Jabar (YDP PAS Kuantan)

Saturday, September 20, 2008

PANDANGANKU 1

16 September.. Kenapa kerana tarikh itu menyebabkan kita bermasam muka, tertegang leher dan seolah hilang pertimbangan. Keluar perkataan pembohong... padan muka.. dan macam macam lagi. Beginikah adab kita bersahabat... adab berpakat.

Sejarah PAS telah membuktikan .. kitalah antara sahabat yg boleh dipercayai. Kita tak pernah khianat dengan sahabat. Kita bersahabat dengan Parti Negara sehinggalah akhirnya Parti itu khinat apabila 3 ADUNnya di Terengganu menyokong usul undi tak percaya pada kerajaan PAS yang menyaksikan kerajaan PAS tumbang di terengganu 1959.

1973 kita berpakat dengan UMNO sehingga tertubuhnya BN, malangnya tahun 1977 kita ditendang jatuh tersungkur sehingga hilang kerajaan di Kelantan.

1990 kita bersama Semangat 46.. sekali lagi kita di khianati... apabila semangat 46 kembali berpeluk dengan UMNO meninggalkan kita... Kerajaan PAS di kelantan terganggu bila semua Exco S46 enggan meletakkan jawatan sehinggalah Dr M memerintahkan semua anggota S46 yang telah menyertai UMNO meninggalkan kerusi Exco itu.

Terasa betapa pedihnya bila dikhianati... Kepedihan ini mengajar kita lebih berhati-hati tetapi tidaklah sampai bertindak khianat kepada rakan baru, sebab pengalaman mengajar kita, bila kita tak suka ianya berlaku ke atas kita, kita juga tak akan lakukan pada orang lain.

Andainya kita di khianati lagi cukuplah Allah yang menjadi pelindung kita... Dan selama ini pun Allahlah yang melindungi perjuangan ini sehingga ke tahap ini.
Pandangan saya tak semestinya betul sebab saya manusia yang terdedah pada kelemahan dan kesalahan..

Saya akan sambung lagi bicara ini.... Tunggu ye. Sambil tu bacalah pandangan sahabat kita Ust One-g di sini

Saturday, September 13, 2008

KENYATAAN MEDIA: MEMBANTAH PENGGUNAAN ISA

Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP) mengutuk keras penggunaan ISA ke atas Bloger Raja Petra Kamaruddin, Wartawan Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng dan YB Teresa Kok Exco kerajaan negeri Selangor yg juga Ahli parlimen.

Bantahan ini dibuat bukan kerana menyokong kesalahan yang mungkin mereka lakukan, tetapi atas semangat menjunjung prinsip keadilan. Orang yang dituduh mesti dibuktikan di mahkamah dan diberi peluang untuk membela diri.

Sejarah telah membuktikan ISA hanya digunakan untuk musuh politik UMNO/BN. Apabila politik UMNO/BN terancam tindakan terdesak dilakukan dengan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri.

DPPNP melihat tangkapan ini dibuat bertujuan untuk melindungi individu dalam UMNO dan rakan kongsi mereka Gerakan dan MCA yang menghidupkan api perkauman. Perbalahan di kalangan parti komponen semakin parah dan akhirnya turut mengherat isu perkauman, maka jalan pintas untuk menutup tembelang ini ialah ISA.

DPPNP juga sangat tidak bersetuju jika ISA ini juga digunakan untuk menahan pemimpin UMNO dan pemimpin parti komponen BN lain, sekalipun mereka terlibat menghina agama Islam dan menghidupkan api perkauman. Kita tetap menjunjung prinsip keadilan. Mereka yang bersalah mesti diheret ke mahkamah.

DPPNP mendesak Kementerian Dalam Negeri segera membebaskan mereka dan jika ada tuduhan tertentu, maka kes mereka mesti dirujuk ke mahkamah.

Sekian
SUHAIMI MD SAAD
Pemangku Ketua DPPNP

Wednesday, September 10, 2008

KUDA TUA "TAKUT MENANG"

Adnan Tak Tanding Ketua Pemuda UMNO Kerana takut Menang, beberapa akhbar melaporkan sila klik Bernama, Berita harian, Metro.

Tak dapat saya nak tahan ketawa bila membaca berita itu. Setiap kali tajuk itu terbayang di ruang mata, pastinya saya akan ketawa. Apa tidaknya berita itu mengambarkan seolah-olah beliau antara calon popular yang akan menang besar dalam pertandingan Ketua Pemuda UMNO nanti.

Ketika membaca berita Adnan menawar diri untuk tanding Ketua Pemuda UMNO Malaysia, dapatlah disimpukan bahawa anak-anak muda kini tidak bersama UMNO, akhirnya kuda tua terpaksa menawar diri.

Malangnya selepas Adnan Yaakub mengumumkan kesediaan untuk turut merebut jawatan ketua Pemuda UMNO Malaysia, hanya Dato Khairuddin Yaakub,Ketua Pemuda UMNO Pahang sahaja yang bangkit untuk menyokong kuda tua ini.

Petikan Utusan Malaysia melaporkan, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Datuk Khairuddin Yaakob berkata, pihaknya beranggapan Adnan merupakan calon terbaik bagi mengisi jawatan berkenaan kerana beliau seorang yang berkarisma dan memiliki personaliti tegas yang sesuai bagi mengawal golongan muda dalam parti.

Kita pun hairan dimana 'karismanya' Adnan. Perintah mahkamah supaya Kerajaan negeri Pahang bayar gantirugi termasuk faedah mencecah RM 60 juta kini pada Seruan gemilang diabaikan. Dato Tajudin bekas Setiuasaha UMNO Pahang mendakwa Adnan terlibat dalam jualan tanah UMNO kepada syarikat bukan Bumiputra. Menggunakan wang rakyat dalam pembelian no plat kereta bernilai RM 48,000. Aksi selamba Adnan di Sanggang, sehingga hari ni beliau belum memohon maaf atas ketelanjuran itu. Banyak lagi tindakan lain sepanjang beliau memimpin Pahang. Semua itu mendedahkan Adnan tidak berkarisma dan hilang kelayakan untuk membimbing pemuda.
Sebenarnya pujian melangit itu ada udang di sebalik batu. Dato Khairuddin mendahului individu lain di Pahang dalam projek mengemis untuk disenaraikan sebagai calon dalam pilihanraya akan datang.

Sehingga hari ini tiada respon dari mana-mana ketua pemuda negeri lain. Respon dari akar umbi pemuda sangat penting sebagai isyarat sama ada akan dapat sokongan besar atau tidak. Setelah sekian lama menunggu selepas menawar diri, Adnan dapati tiada sokongan.

Malu untuk mengaku kalah, maka mana-mana manusia sombong akan memberikan pelbagai alasan. Cuma alasan yang Adnan berika sangat melucukan. "Beliau takut menang"

Tuesday, September 9, 2008

SINIS: PAS MUQABALAH, SAIFUL MUBAHALAH, BN MENGELABAH

Saya tertarik dengan seloka Keris Silau yang disiarkan dalam Tranung kite, jom ikuti seloka itu. Ada loghat tertentu saya tukarkan supaya menepati citarasa kami di Pantai Timur. Maaf ye Keris Silau

Bila Pak Lah sedar Anwar bagi masalah
Dia istihar UMNO dan PAS bermuzakarah
PAS kata bukan muzakarah tapi muqabalah
Lalu tersepit dia suruh si Saiful mubahalah
Semuanya tak menjadi maka P44 BN kalah

Anwar kata 16 September tak ada masalah
BN tenggelam punca dan mula menggelabah
Dihantar 51 MP BN ke Taiwan oleh Pak Lah
Betul-betul punya bangang cara BN memerintah
Apa punya haprak mentaliti BN dan Pak Lah
Itu tanda BN dah masuk kategori najis Mughalazah

Perabis duit hantar MP BN ke Taiwan
Misinya ialah belajar sambil berjalan sakan
Malam boleh berseronok di kelab hiburan
Sepatutnya beramal lebih di bulan Ramadan

Macamlah tak boleh jalan lain-lain bulan
Pak Lah dan Najib kata ianya kebetulan
Jangan ingat rakyat bodoh tak guna fikiran
Kalau tersepit eloklah dua-dua letak jawatan

Mufti Perlis pun dah tulis pantun 'cari ganti'
Kalau negara kacau eloklah dua-dua berenti
Mana boleh Perompak ganti Pencuri
Perompak tu Najib, Pencuri tu Dolah Bedwi
Ulama berhikmah bukan hentam peribadi

Itu mesej supaya Pak Lah sedar diri
Nak kawal Mat Semail pun tak reti
Alasan dia, Ahmad tak dapat dihubungi
Apa punya haprak kita punya Perdana Menteri
Ya Allah awat teruk sangat SamDol sorang ni

Monday, September 8, 2008

TUNAIKAN ZAKAT ANDA

Berikut ialah paparan kadar harga zakat fitrah bagi seluruh negara.

Bagi negeri Pahang nilainya ialah RM7.30/kepala, iaitu kenaikan RM2.50 daripada tahun lalu.

Zakat merupakan rukun Islam keempat selepas berpuasa dan zakat fitrah wajib ditunaikan sebelum Aidil fitri.

Tujuan zakat ini dimanfaatkan oleh asnaf yang lapan, khususnya fakir miskin bagi menggembirakan mereka menjelang sambutan hari lebaran.

Ada yang merungut kenapa harga fitrah naik melambung tahun ini (seperti kenaikan harga minyak Jun lalu)?

Ada yang berkata ini disebabkan kenaikan harga beras, ada yang berkata disebabkan nilai mata wang kita sudah makin mengecil berbanding barangan di pasaran dan ada pula yang berpendapat kos kehidupan di Malaysia makin meningkat sehingga keluarga yang tergolong dalam paras kemiskinan sudah kian ramai.

Apa-apa pun takwil dan yang dipersoalkan, kewajiban mesti ditunaikan bagi menyempurnakan ibadah yang diperintahkan Allah SWT ini.

Ayuh tunaikan zakat anda segara