Thursday, September 25, 2008

JEJAK RAMADHAN : BANTU KELUARGA MANGSA ISA

Sebentar tadi sekitar jam 12, saya telah ke Pejabat Harakah KL untuk menyerahkan sumbangan yang saya lancar di beberapa masjid/ surau yang saya menyampaikan tazkirah Ramadhan. Jumlah RM 5000 tak lah berapa banyak, namun ini sahaja sumbangan tenaga yang mampu saya lakukan sebagi tanda saya turut bersama merasai penderitaan keluarga mangsa ISA.

Turut bersama saya ialah Ust. Junaidi (Bendahari DPPNP), Ust Jauhari (Exco DPPNP) dan Maslan Ardy (SUK DPPNP).

Kami di sambut mesra oleh kakitangan Harakah. "Cikgu.. Bila sampai" Anis Sarnazmi wartawan harakah menyapa saya. Anis Sarnazmi adalah anak murid saya ketika saya mengajar di Institut Berakan Kuala Terengganu. Semasa di institut Berakan beliau banyak membantu saya sehingga lahirnya majalah sulung sekolah, bersama Adhana, Sharifah dan ramai lagi. Apa khabar mereka semua sekarang ni yek.

Menerima wang RM 5000 itu, bagi pihak Keluarga mangsa ISA ialah Sdr Lutfi Othman, Ketua pengarang Harakah, Kak Norlaila (Aktivis GMI). Suami beliau masih dalam tahanan ISA. Turut hadir bendahari GMI yang saya tak ingat nama.

Mereka baru sahaja kembali dari Sabah, juga dalam misi membantu keluarga tahanan ISA di sana. Rupanya menurut Kak Norlaila keluarga mangsa ISA di Sabah lebih dhaif. Mereka langsung tak punya kesempatan untuk melihat ayah mereka, lantaran kemiskinan dan laut China Selatan yang menjadi pemisah. Mereka hidup tanpa pendidikan dan persekolahan, dihimpit kemiskinan.. Air mata saya bergenang bila cerita itu menerjah ke telinga saya..

Saya baru sahaja mengenali Kak Norlaila. Wanita besi yang tabah, terpisah dengan suami selama 7 tahun. Kagum saya dengan semangatnya.. Sepenuh masa membantu keluarga mangsa ISA melalui GMI. Kita yang bergelar ustaz ini, rasa malu bila melihat semangat juangnya dan istiqamah beliau menentang kezaliman yang dikenakan ke atas suaminya dan suami rakan-rakannya.

Bila bersembang, beliau begitu bersemangat dan berjiwa besar, beliau mampu menyembunyikan kesedihan dan derita yang beliau tanggung. Selamilah luahan perasaan beliau yang terbaru di bawah ini. Saya doakan semoga beliau terus tabah atas ujian Allah ini. Saya dan Dewan Pemuda PAS Negeri akan terus bersama membantu semua yang dizalimi ini. Insya Allah

7 tahun abah tak pernah belikan baju raya, kasut baru untuk Suhaib....
Norlaila Othman
Aku menuju ke peti surat dan mengambil dua keping kad Raya yang dihantar oleh suami yang masih 'disimpan' oleh Hamid Albar di Kem Kamunting. Satu untuk ku dan satu untuk Suhaib.

Jariku terlalu ingin untuk mengoyak dan membaca isinya tetapi segera disergah oleh Suhaib yang akan di hantar ke sekolah untuk program iktikaf dan mukhayyam.

"Ummi, kita baca kad dalam kereta saja lah, dah lewat ni..," kata-kata itu mematikan segala keinginan tersebut.

Aku memandu agak perlahan. Suhaib yang kelihatan agak ceria, memasang memasang radio dan sesekali tersenyum mendengar celoteh DJ bertugas.

"Bacalah kad yang abah kirim tu" kataku sambil menjeling padanya yang tersandar disebelah ku. Dia segera mencapai envelope putih bersaiz 4 x 8 inci itu mengoyakkan kulit dan mengeluarkan isinya. Sebuah kad raya yang manis warnanya, coklat dengan kombinasi keemasan.

Suhaib membaca seketika, tapi kemudian segera meletakkan kad itu di dalam laci dashboard.
Wajahnya tiba-tiba muram dan muncungnya kelihatan agak panjang.

"Kenapa ni? Apa yang abah tulis? Abah marah Suhaib ke" tanya ku bertalu-talu. Suhaib mendiamkan diri. Wajahnya dihalakan ke arah tingkap sebelah kiri.

Aku sudah masak benar dengan sikap orang bujang di sebelahku ini. Malas nak layan. Kami berdua sama-sama membatukan diri.

Perjalanan dari Keramat ke Gombak terasa begitu lama sekali. Tiba di laman sekolah, Suhaib segera menghulurkan tangan, bersalam dan mencium tanganku.

Aku ingin mencium pipinya tetapi cepat-cepat dia memalingkan wajahnya. Aku perasan hidung dan matanya merah sedikit.

Tanpa sepatah kata, terus saja dia membuka pintu kereta dan berjalan meninggalkan ku yang masih termangu-mangu.

Aku mencapai kad raya di laci kereta dan meneruskan perjalanan menghala ke Hulu Kelang. Aku cuba membaca kad Raya itu,tetapi tulisan yang agak halus itu menyukarkan aku memahami isi kandungannya.

Aku memberhentikan kereta di tepi jalan dan melihat kad itu semula.

"Suhaib, di Hari Raya ini, abah mohon jutaan maaf kerana sejak tujuh tahun yang lalu, abah tak pernah belikan baju Raya dan kasut baru untuk Suhaib. Abah juga terlalu ingin untuk membawa Suhaib ke kedai dan membeli barang-barang yang Suhaib suka.

"Abah juga minta maaf kerana tidak dapat membesarkan Suhaib dan memberi didikan yang baik sepertimana bapa orang lain. Abah terlalu rindu untuk bersama-sama Suhaib dan Umi dan menyambut Raya macam orang lain....."

Ohhhh! Inikah ucapan yang menyebabkan Suhaib muncung macam ikan todak. Aku pun terasa sayu juga membaca ucapan itu.Air mataku sendiri bergenang. Nasib baik aku sedang bersendirian di kereta.

Pada ketika itu, aku hanya mampu berdoa supaya kezaliman ISA segera di angkat dari keluarga kami