Bantahan ini dibuat bukan kerana menyokong kesalahan yang mungkin mereka lakukan, tetapi atas semangat menjunjung prinsip keadilan. Orang yang dituduh mesti dibuktikan di mahkamah dan diberi peluang untuk membela diri.
Sejarah telah membuktikan ISA hanya digunakan untuk musuh politik UMNO/BN. Apabila politik UMNO/BN terancam tindakan terdesak dilakukan dengan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri.
DPPNP melihat tangkapan ini dibuat bertujuan untuk melindungi individu dalam UMNO dan rakan kongsi mereka Gerakan dan MCA yang menghidupkan api perkauman. Perbalahan di kalangan parti komponen semakin parah dan akhirnya turut mengherat isu perkauman, maka jalan pintas untuk menutup tembelang ini ialah ISA.
DPPNP juga sangat tidak bersetuju jika ISA ini juga digunakan untuk menahan pemimpin UMNO dan pemimpin parti komponen BN lain, sekalipun mereka terlibat menghina agama Islam dan menghidupkan api perkauman. Kita tetap menjunjung prinsip keadilan. Mereka yang bersalah mesti diheret ke mahkamah.
DPPNP mendesak Kementerian Dalam Negeri segera membebaskan mereka dan jika ada tuduhan tertentu, maka kes mereka mesti dirujuk ke mahkamah.
Sekian
SUHAIMI MD SAAD
Pemangku Ketua DPPNP