Anis Nazri/ anisnazri@harakah.net.my/ Fri Sep 26/08 11:42:07 pm
KUALA LUMPUR, 26 Sept (Hrkh) - Dewan pemuda PAS Pahang menyampaikan sumbangan berjumlah RM 5000 sebagai bantuan meringankan beban keluarga tahanan ISA, khususnya menjelang Syawal akan datang.
Pemangku Ketua Pemuda PAS Pahang, Suhaimi Md Saad, dalam kunjungan ke pejabat Harakah, hari ini menyampaikan sumbangan tersebut kepada Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) melalui Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman, pagi tadi.
Menurut Suhaimi, sumbangan tersebut menunjukkan kebersamaan dewan itu dengan isteri-isteri tahanan ISA dalam memahami dan menyelami kesengsaraan keluarga tahanan yang ditinggalkan.
Dalam pada itu, aktivis GMI, Norlaila Othman, yang turut hadir, menyatakan bahawa Suhaimi dan Pemuda PAS Pahang sentiasa komited dalam isu kebajikan keluarga tahanan ISA.
"Bukan baru sekarang, ustaz dan Pemuda Pahang membantu GMI. Tetapi dari dahulu lagi. Malah, ustaz juga yang berjaya menjual buku 'Dunia Tanpa Suami' tulisan saya dan beberapa rakan lain dengan bilangan yang banyak," kata beliau.
Sementara itu, Ahmad Lutfi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dewan Pemuda PAS Pahang atas sumbangan ikhlas yang diberikan kepada GMI untuk meringankan beban keluarga ISA.
Beliau turut mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada para pembaca Harakah yang tidak putus-putus menyalurkan bantuan ke tabung yang diwujudkan Harakah bagi tujuan tersebut.
"Pada awalnya, kami di Harakah tidak menjangkakan akan mendapat sambutan yang begitu baik dari seluruh masyarakat. Sehingga hari ini, tabung kami telah mencecah hampir RM 100 ribu dan sebahagiannya sudah disampaikan kepada GMI dan keluarga tahanan sendiri," kata beliau.
Dalam majlis sama, Harakah turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM 30 000 kepada GMI.
Sebelum ini, dalam rangka misi Harakah ke Sabah bagi menemui keluarga tahanan ISA, sebanyak RM15 000 berjaya disampaikan kepada sepuluh keluarga, termasuk anak-anak kecil tahanan ISA.
Sebelum ini, dalam rangka misi Harakah ke Sabah bagi menemui keluarga tahanan ISA, sebanyak RM15 000 berjaya disampaikan kepada sepuluh keluarga, termasuk anak-anak kecil tahanan ISA.
Tinjauan Harakah selama dua hari bermula 23 Sept hingga 24 Sept lalu turut menyaksikan kebanyakan anak-anak Sabah tidak berpeluang bersekolah kerana kesempitan hidup.
Atas kesedaran tentang kepentingan ilmu, Harakah sekali lagi berusaha untuk mengumpul dana bagi membantu anak-anak Sabah dapat meneruskan kehidupan mereka seperti kanak-kanak lain untuk mendapat hak pendidikan sewajarnya.
Bagi pembaca yang prihatin dengan nasib malang keluarga mangsa ISA dan anak-anak Sabah yang keciciran ini, sila hantar sumbangan anda kepada HARAKAHDAILY DOT COM, nombor akaun Maybank 564070000336