Monday, June 30, 2008

HARAKAH DAILY : 30 JUN 2008

AHLI DIINGAT DAPATKAN MAKLUMAT SEMASA DARIPADA SUMBER PARTI
Hashim Abdullah Mon 30 Jun 2008
KUANTAN, 30 Jun (Hrkh) - Ahli PAS diingatkan agar mempertingkatkan usaha mendapat maklumat rasmi parti bagi mengikuti mperkembangan terkini senario politik negara terutama dalam kes terbaru membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Ingatan tersebut dibuat Pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang, Ustaz Suhaimi Md Saad baru-baru ini, sejurus selepas tersebarnya isu terbaru kes liwat kononnya membabitkan mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Anwar dalam pada itu menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut dan dalam tindak balas sebentar tadi beliau melalui wakilnya telah menfailkan saman terhadap pemuda yang membuat tuduhan yang dianggapnya tidak berasas sama sekali.

Tambah Suhaimi lagi, adalah penting bagi setiap ahli PAS mendapat maklumat rasmi PAS dengan melayari internet dalam website Harakahdaily agar apa juga keraguan dan kebimbangan dapat dijelaskan melalui kenyataan-kenyataan pemimpin parti.

"Setiap ahli PAS kena mempertingkatkan usaha mendapat maklumat rasmi parti melalui sumber yang rasmi setiap masa, kita tak boleh mempercayai apa juga yang dipaparkan media masa yang berat sebelah.

"Oleh kerana politik negara semakin panas, akan banyak lagi perkara berlaku menuntut ahli parti tidak bertindak melulu mahu pun panik, jauh sekali mempercayai apa yang disiarkan surat khabar dan tv. Kita kena matang sekarang," katanya.