Wednesday, August 13, 2008

SELAMAT BERMUKTAMAR

Selamat bermuktamar pada semua ahli PAS. Muktamar Dewan Pemuda akab bermula 13 dan 14 Ogos ini, manakala muktamar penuh pada 15, 16 dan 17 Ogos. Tahun ini Negeri Perak menjadi tuan rumah. Di negeri inilah munculnya Hizbul Muslimin yang kemudian diharamkan pada 1948. Kesinambungannya lahirlah PAS 1951.

Manakala pada 25 Ogos 1953, di Madrasah al-Ulum as-Syar’iyyah, Batu 20, Bagan Datoh, satu Kongres Pemuda Islam telah dianjurkan oleh PAS yang dihadiri oleh pemuda-pemuda Islam dari seluruh pelusuk negara, dan kongres ini berjaya menubuhkan Dewan Pemuda PAS.

Ini bermakna muktamar tahun ini dikembalikan ke negeri kelahiran Gerakan Islam.

Manfaatkan muktamar ini untuk kita bermuhasabah, bertukar fikiran, memberi kritikan yang membina, melontarkan cadangan yang konkrit, membina idea-idea bernas dan juga membuat teguran-teguran di atas ketelanjuran dalam kita melangsung perjuangan. Dengan anugerah kekuasaan politik bersama Pakatan Rakyat (PR) di lima buah negeri, ia sekali gus mencabar kita supaya beranjak daripada berfikiran sebagai pembangkang kepada fikiran negarawan.

Berlapang dadalah dengan teguran dan kritikan yang akan bergema sepanjang muktamar ini, lihat dari sudut positif, tidak ada perwakilan yang menegur kerana cemburu atau dengki, melainkan kerana keikhlasan mereka ingin melihat gerakan Islam PAS ini bangun dan berdiri untuk memenuhi aspirasi mengejar keredhaan Allah SWT. Para perwakilan juga, dalam membuat teguran dan kritikan, gunakanlah cara yang paling berhikmah supaya pandangan ini diterima tanpa ada yang terluka.

Selamat bermuktamar