Thursday, April 28, 2011

Kerajaan perlu telus dalam isu Lynas: S.M Idris

KUALA LUMPUR, 28 April: Sebelum mempertimbangkan panel ‘pakar bebas’ antarabangsa, kerajaan mestilah bersikap telus kenapa membenarkan Lynas membina dan mengendalikan kilang nadir bumi.

“Dan kenapa Lynas begitu yakin bahawa penelitian semula selama satu bulan akan mengesahkan ia selamat,” kata Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), SM Mohamed Idris

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada kenyataan Pengarah Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) Raja Abdul Aziz Raja Adnan bahawa AELB akan mendapatkan pertolongan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) untuk memilih pakar bagi mengkaji keselamatan projek kilang nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan.

Pertama, katanya IAEA ditubuhkan untuk menggalakkan penggunaan tenaga nuklear dan bertindak sebagai polis untuk memeriksa sama ada sesebuah negara itu menjalankan program senjata nuklear secara terselindung.

Pada hakikatnya, kata beliau IAEA membantu negara membangun dalam rancangan mereka untuk membina loji tenaga nuklear.

“Berdasarkan mandatnya ia adalah merupakan satu khayalan untuk membayangkan bahawa IAEA berada dalam kedudukan untuk meletakkan bersama panel “pakar bebas” antarabangsa untuk menjalankan kajian yang tidak dapat dipertikaikan,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Begitu juga, tamnbahnya dengan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) yang ditubuhkan di bawah Akta Pelesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304) untuk mengawal penggunaan tenaga nuklear.

Peranan AELB adalah untuk menyokong dan menggalakkan pembangunan dan penggunaan tenaga nuklear dan aktiviti berkaitan di negara ini.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang berkata, AELB telah mengeluarkan lesen kepada Lynas untuk membina dan menjalankan kilang memproses nadir bumi, menyedari sepenuhnya bahawa sisa thorium radioaktif akan dihasilkan.

Malah, ujarnya AELB akan membuka pejabat cawangannya di Gebeng.

Kedua, tambah beliau lagi kerajaan merancang untuk membina dua buah reaktor nuklear.

“Dalam hubungan ini jelas terdapat kemungkinan yang tinggi bahawa kerajaan akan menggunakan thorium sebagai bahan api untuk reaktor nuklear yang dirancang,” katanya.

Jelasnya, perlu diingat bahawa Malaysia tidak memihak kepada simpanan plutonium atau uranium berpusat antarabangsa, ini akan menjadi peluang keemasan untuk mendapatkan akses untuk kuantiti thorium yang tidak terhad di tempat sendiri untuk bahan api reaktor nuklear yang dirancang.

Ini juga, katanya lagi bermakna reaktor nuklear kemungkinan besar akan ditempatkan di kawasan Kuantan atau berdekatan di mana laporan akhbar baru-baru ini mendedahkan bahawa salah satu loji nuklear akan ditempatkan di Temerloh.

Ketiga, jelasnya thorium boleh digunakan untuk menghasilkan uranium.

Tambahnya, thorium boleh digabungkan dengan americium untuk membuat reaktor nuklear mudah alih.

Bagaimanapun, ujarnya americium dilaporkan berbahaya dan toksik sepertimana plutonium.

“Ia akan menjadi satu kesilapan besar dan boleh membunuh jika kita mengambil jalan ini untuk menghasilkan loji tenaga nuklear,” katanya.