Tuesday, September 6, 2011

Cendiakawan belum MERDEKA!!

Rupanya masih ramai ahli akademik kita yang masih dijajah ketakutan. Masih memiliki jiwa yang belum merdeka. Ruginya negera ini yg memiliki ahli akademik yang tak berani mempertahankan sejarah yang benar. Adakah untuk mendapatkan gelaran Prof. seorang ahli akademik mesti mengampu dan memutar belitkan sejarah.

Sebelum ini Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, seorang yang juga dikenali sebagai tokoh sejarah terkemuka tanah air mengatakan Mat Indera bukan anak tempatan. Dia (Mat Indera) berasal dari Indonesia, bukan rakyat jajahan takluk kesultanan Melayu.”

Oleh itu tambahnya lagi “Mat Indera atau nama penuhnya Ahmad bin Indera bukan seorang pejuang kemerdekaan yang menentang British.”


Namun Adik Mat Indera yg masih hidup mengesahkan Mat Indera dilahirkan pada tahun 1920 di Kampung Gombak, Peserai, Batu Pahat, Johor. Kantoi lagi pakar sejarah kita.

Hari ini pula kenyataan Editor buku 'Pengukir Nama Johor', Prof Dato Abu Bakar Hamid membidas kenyataan Hj Mohammad Sabu yg menggunakan fakta buku itu.

Utusan memetik katanya "dakwaan bahawa buku Pengukir Nama Johor yang diterbitkan Yayasan Warisan Johor (YWJ) pada 2004 menyokong kenyataan (Mohd Sabu), sebaliknya tidak menyatakan Muhammad atau Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan tetapi mengajak rakyat menilai siapa sebenarnya Mat Indera."

Saya meneliti baris demi baris ayat dalam buku Pengukir Nama Johor. Perenggan akhir rencana berkaitan Mat Indera mencatatkan

Dia rela mempertahankan nyawa demi memperjuangkan hak kedaulatan sebuah negara yang terbelenggu oleh rantai penjajah. Justeru Mat Indera sewajarnya diabadikan nama sebagai pejuang bukan petualang

Bukankah penutup ini sudah cukup jelas menyimpulkan bahawa Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan.

Saya mencadangkan Prof Dato Abu Bakar membaca kembali baris demi baris setiap tokoh dalam buku itu terutama Mat Indera. Jangan hanya sekadar mencari glamour meletakkan nama sebagai editor tanpa membaca buku tersebut. Jangan jadi cendikiawan yang gila publisiti untuk mendapat nama dalam buku ilmiah tanpa meneliti dan membaca buku tersebut.

Kajian ilmiah Sejarah adalah milik rakyat dan negara ini. ia mesti pertahankan. Mempertikaikan bahan sejarah yg dieditorkan oleh diri sendiri adalah jenayah akademik. Pakar sejarah tak sepatutnya melacurkan sejarah sehingga ia dilihat hina oleh rakyat.

Jadilah ahli akademik yang merdeka. Jangan tenggelam bersama kebodohan UMNO.

Utusan 6 Sept 2011

Dakwaan Mat Sabu makan diri

JOHOR BAHRU 5 Sept. - Tindakan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu cuba 'mengukuhkan' kenyataannya bahawa Muhammad Indera dan rakan seperjuangan dalam Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong sebagai pejuang kemerdekaan nyata memakan diri.

Apa yang pasti, pemimpin nombor dua Pas itu perlu kembali 'semula' ke sekolah untuk belajar sejarah dengan lebih mendalam kerana dakwaan bahawa buku Pengukir Nama Johor yang diterbitkan Yayasan Warisan Johor (YWJ) pada 2004 menyokong kenyataannya, sebaliknya tidak menyatakan Muhammad atau Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan tetapi mengajak rakyat menilai siapa sebenarnya Mat Indera.

Editor buku tersebut, Prof. Datuk Abu Bakar A. Hamid yang membidas kenyataan kontroversi itu turut menegaskan bahawa Mat Sabu tidak layak menentukan siapa pejuang kemerdekaan negara yang sebenar kerana beliau bukan orang yang arif dalam bidang sejarah.

"Biarlah ahli sejarah yang arif dalam bidang sejarah menentukan siapakah sebenarnya pejuang kemerdekaan negara. Sebagai politikus (Mat Sabu) tidak layak mencampuri hal-hal sejarah kerana dia bukan orang yang arif dalam bidang itu. Ini kerana apabila orang yang bukan arif bercakap tentang sejarah, ia akan mengelirukan pemikiran masyarakat.

"Sebenarnya isi kandungan buku 'Pengukir Nama Johor' yang ditulis Ismail (Adnan) yang telah meninggal dunia tiga tahun lalu mengajak pembaca berfikir siapa sebenarnya Mat Indera yang terlibat dalam peristiwa berdarah Balai Polis Bukit Kepong 61 tahun lalu, sama ada hero atau pengkhianat negara?" katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Terdahulu pada sidang akhbar di sini hari ini, Mohamad Sabu yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu dengan 'yakin' mempertahankan kenyataannya bahawa Mat Indera dan pengganas komunis dalam peristiwa berdarah di Balai Polis Bukit Kepong sebagai pejuang kemerdekaan sebenar.

"Berdasarkan buku itu dari awal lagi saya yakin saya menang mengenai isu (Mat Indera) dan keyakinan itu diperkukuhkan lagi dengan bukti bahawa Penaung YWJ ialah Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, malah bersama ahli akademik berwibawa yang dengan jelas menyatakan Mat Indera seorang pejuang dan bukannya komunis," katanya.