KUANTAN, 26 Mei (Hrkh) - Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu diingatkan supaya berhenti berusaha mengajak PAS dan Umno bersatu sebaliknya berusaha mengajak orang Melayu bersatu di dalam wadah PAS memandangkan Umno berada dalam krisis kepercayaan di kalangan mereka sesama sendiri, kata Pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang, Ustaz Suhaimi Md Saad.
Berucap pada ceramah anjuran PAS Kuantan, di Taman Guru, dekat sini baru-baru ini Suhaimi menjelaskan, tindakan Umno yang sering mengkhianati perjuangan orang Melayu sekitar kekuasaan 50 tahun sepatutnya menyedarkan NGO Melayu tentang siapa dia Umno.
"Umno dah 50 tahun berkuasa dan mengkhianati orang Melayu. Ketika kalah pilihanraya 1969, merayu pada PAS untuk bersama selamatkan ketuanan Melayu. PAS terima tawaran menyertai Kerajaan bersama UMNO-MCA-MIC. Apabila UMNO dan pulih dan kembali kuat, dia tendang PAS dalam BN. Ini sejarah yang kita tak lupa. Kini Bila dia kalah dia merayu ajak bersatu macam selepas pilihan raya 1969 dan sekarang ini.
"Bila kalah cakap pasal Melayu cakap pasal perpaduan, masa dia kuat dia tak pedulikan orang lain, ini Umno. Sebab itu NGO Melayu kena tahu," katanya
Adalah lebih baik kata Suhaimi, NGO Melayu memilih wadah perjuangan PAS yang sentiasa perihatin dengan masa depan Melayu dan rakyat keseluruhannya berbanding memikirkan masalah Umno yang tidak mungkin dapat diselesaikan dan diselamatkan
"Umno ni dah terlalu teruk untuk dibaiki. Umpamakan kereta tak cukup tukar pemandu tak selesai masalah kena tukar kereta sekali. NGO Melayu mesti berusaha ajak orang Melayu bersatu atas wadah PAS. Sebab PAS ajak rakyat selamat dengan Islam," katanya. - mns