Tuesday, November 11, 2008

HAPUS POLITIK WANG DENGAN PERJUDIAN

Pagi ni saya ke bandar Pekan atas beberapa urusan. Semasa sarapan di sebuah warung saya terus mencapai Sinar Harian hari ini 11 Nov. Tergelak besar saya bila membaca berita tentang "Ahli UMNO edar nombor ekor dalam mesyuarat Bahagian Temerloh".

Ahli itu ialah Timbalan Ketua UMNO cawangan Kg Gantok, Ir Che Wan Shamsiruddin Wan Shamsudin. Beliau bertanding untuk mendapatkan tempat sebagai AJK bahagian. Beliau juga merupakan bekas EXCO Pemuda UMNO Malaysia 1995, zaman Dato Zahid Hamidi menjadi ketua dulu.

Menurutnya, apa yang dilakukan adalah untuk membenteras politik wang. Beliau telah mengedarkan 1000 keping tiket nombor ekor kepada semua perwakilan dan pemerhati, bernombor 0440. Nombor senarai pencalonan beliau adalah 44 dengan harapan perwakilan ingat nombor itu dan memberikan undi kepadanya.

"Saya bertanding jawatankuasa dan ini cara saya berkempen dengan memberi nombor ekor kepada perwakilan. Ada setengah calon bagi duit dan barangan seperti kain pelikat kepada perwakilan. Jika nombor itu bertuah perwakilan boleh dapat RM 2,500 seorang untuk hadiah utama. " kata beliau. Semua perwakilan dapat tiket ekor itu, termasuk Ketua Bahagian Dato Mohd Sarit Yusof.

Ulasan: Inilah bahananya bila Islam tak menjadi asas perjuangan. Mungkar digunakan untuk menolak mungkar. Bila nafsu digunakan untuk menyelesaikan masalah manusia, pastinya kerosakan akan terjadi.

Segala kejahatan datangnya dari nafsu. Nafsu itu pula mendapat dorongan dan pengaruh syaitan. Maka sewajarnya penyelesaian masalah nafsu mesti dibuat dengan merujuk kepada tuan yang mencipta nafsu, yakni Allah.

Hari ini kita melihat banyak masalah yang cuba diselesaikan tanpa merujuk pada tuan yang menjadikan nafsu (Allah).

Nak selesai masalah dadah, maka diperkenalkan jarum suntikan percuma dan dadah tiruan. Penyelesaian masalah Aids dengan cara mengedar kondom percuma. Masalah lepak diselesaikan dengan cara konsert untuk anak muda hingga ke pagi. Kini ahli UMNO memperkenalkan pula cara membenteras politik wang dengan perjudian. Akhirnya segala masalah itu tak selesai maka timbul pula masalah lain.

Barangkali tindakan ini mengambarkan UMNO berada zaman nyanyuk. Telah banyak tindakan dibuat oleh kepimpinan UMNO hari ini mengambarkan mereka berada di era nyanyuk. Biasanya apabila berada di fasa nyanyuk ini, maknanya, dia hanya membilang hari untuk dijemput ajal.