Thursday, April 14, 2011

LYNAS@GEBENG - MEREKA UNTUNG, KITA DERITA

SHAH ALAM 12 APRIL : Dakwaan Lynas Corporation bahawa Loji Tanah Jarang di Gebeng, Kuantan hanya mendedahkan bahan radioaktif 'Thorium' pada kadar minimum tidak boleh diterima Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

Menurut Fuziah, kadar 0.16 peratus Thorium atau 61 'becquerel atau Bq per gram memang rendah tetapi akan berakumulasi seiring dengan masa dan tahap pengeluaran tanah jarang terbabit.


"Kita mempersoalkan tahap kumulatif Thoriumnya. Kalau 61 bq per gram memanglah di bawah tahap bahaya. Tapi kita cakap pasal kumulatif. Bila kita cakap mengenai 100 tan metrik setiap tahun, dan dikumpulkan lebih 10 tahun, malah dalam artikelnya operasinya 24 tahun. Kita persoalkan jumlah (Thorium) itu secara keseluruhan," katanya kepada TV Selangor hari ini.


Thorium merupakan bahan asli radioaktif yang dilombong bagi sebagai 'minyak' reaktor nuklear.


Semalam, Lynas menetapkan pendiriannya mahu meneruskan operasi pemprosesan nadir bumi di Gebeng dekat Kuantan lewat tahun ini dengan kemudahan simpanan jika pelan untuk mengitar semula sisa radioaktifnya tidak dimuktamadkan apabila Ketua Kerajaan Negeri Australia Barat menolak untuk menerima sisa radioaktif syarikat itu dari Malaysia. Malah menurut Pengerusi Eksekutif Lynas, Nicholas Curtis mereka telah mendapatkan kebenaran daripada kerajaan untuk menyimpan sisa radioaktif di kawasan loji itu sendiri (Gabeng).


Tegas Fuziah, beliau tidak dapat menerima kenyataan ini kerana syarikat berkenaan hanya bertujuan mengaut keuntungan besar dengan menjadikan Malaysia sebagai 'tong sampah' mereka bagi membuang bahan beradioaktif itu.


"Ini tak boleh diterima, bukan sahaja kerana ia tidak datang dari Malaysia tetapi ia dari Australia. Sekarang Australia tidak mahukannya. Mengikut Akta 304 Perlesenan Atomik Malaysia, bahan atomik dari negara lain hanya akan dihantar ke negara tersebut sahaja. Tetapi Australia tidak mahu terima, malah kita pula yang terpaksa menerima bahan radioaktif ini."


"Lynas Corporation adalah syarikat milik penuh Australia dan Malaysia tidak mengutip cukai daripada syarikat itu. Tidak ada satu sen diperolehi Malaysia dari aktiviti itu. Ia juga tidak membawa manfaat kepada rakyat Malaysia. Kenapa kita harus terima?" tegasnya lagi.


Sebelum ini, loji Asian Rare Earth (ARE) di Bukit Merah ditutup pada 1992 ekoran protes awam. Hampir dua dekad kemudian loji itu yang dikaitkan dengan lapan kes leukemia di kalangan penduduk tempatan masih berhadapan dengan kerja-kerja pembersihan yang menelan kos RM303 juta.

Tegas Fuziah, kerajaan tidak boleh mengorbankan kesihatan rakyat demi kelangsungan projek tersebut dan semata-mata untuk mengaut keuntungan sahaja.


“Rakyat di Kuantan tetap tidak akan menerima keputusan itu, walaupun tiada risiko bahawa tidak seorang pun akan mengidap kanser dan anak mereka cacat dalam jangka masa seratus ribu tahun lagi. Kami tetap tidak akan menerimanya," tegasnya. - tvnews.net