Thursday, April 14, 2011

LYNAS@GEBENG - Tidak ada negara mahu bina loji pembuangan sisa radioaktif- Fuziah

KUALA LUMPUR: Ahli parlimen Kuantan, Fuziah Salleh mempersoalkan kewajaran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mengeluarkan lesen bagi membenarkan kawasan Gebeng di Kuantan dijadikan lokasi memproses ‘rare earth’ yang menghasilkan sisa buangan radioaktif.

Beliau mengulas jawapan menteri berkenaan, Datuk Dr Maximus Jonity Ongkili bahawa kementerian itu akan mengeluarkan lesen kepada pemaju, Lynas Corp Ltd, selepas mendapat kelulusan agensi alam sekitar di bawah kementerian yang sama dengan kerjasama kerajaan kerajaan tempatan.

Menurut Fuziah, keputusan itu tidak mengambil pandangan rakyat terbanyak, khususnya mereka yang tinggal berhampiran lokasi berkenaan yang akan berdepan dengan risiko kesihatan.

“Kenapa Malaysia menerima tawaran syarikat dari Australia ini? Sedangkan tidak ada negara di dunia kecuali China yang sanggup untuk menerima dan mahu membina loji pemprosesan tersebut di negara mereka, ” kata Fuziah pada soalan tambahan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau juga mempersoalkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa pembinaan loji berkenaan tidak memberikan sebarang mudarat.

“Sisa thorium ini bukan radioaktif biasa. Ia mempunyai ‘half life’ (jangka hayat) berbilion tahun. Faktanya ialah selama 30 tahun tidak ada satu pun negara di dunia yang mahu menjadikan negara mereka sebagai pusat memproses sisa tersebut.

“Mengapa pula kita yang mahu menerima? soal Fuziah.

Dalam pada itu, Fuziah mendedahkan bahawa, sebelum ini Lynas pernah memohon kepada kerajaan Terengganu atas tujuan yang sama dengan berdasarkan ‘Radioactive Waste Management Code Of Practise 1988 mengikut standard China. (Kerajaan Terengganu menolak projek ini)

Sedangkan, syarikat itu seharusnya memohon pembinaan loji tersebut dengan bersandarkan kepada ‘Radioactive Waste Management Code Of Practise 1992′ seperti di Asutralia.

Lynas merupakan syarikat milik penuh Australia dan dianugerahkan selama 12 tahun kebenaran dan tanpa perlu membayar cukai. Jumlah eksport mereka apabila beroperasi sepenuhnya adalah kira-kira RM8 bilion setahun.

“Mereka tidak langsung perlu membayar cukai, sebaliknya meninggalkan risiko sisa buangan radioaktif. Kita bimbangkan keselamatan rakyat setempat,” tegas beliau.

Beliau turut membidas alasan yang dikemukakan Mosti bahawa pembinaan loji tersebut merupakan usaha mewujudkan peluang pekerjaan sebagai tidak masuk akal.

“Ia hanyalah alasan untuk menerima kelulusan pembinaan kilang tersebut,” ujar Fuziah.