Rakyat kini sangat menderita. Tetapi pemimpin kita tetap menyanyikan lagu yang sama.. "Rakyat mesti ubah cara hidup" "Jangan membazir wahai Rakyat, berjimatlah".
10 % elaun menteri yang dipotong tak memberi makna apa-apa sebab Pak menteri dan keluarganya terus hidup seolah tak mengeri penderitaan rakyat bawahan. Isteri para menteri Malaysia berbelanja di luar negera sehingga beg shoping terpaksa diangkut oleh 8 kereta. Mungkin sebab itulah Mufti Perlis baru-baru ini meluahkan rasa,“apakah agama ini dihantar oleh Allah untuk menghukum manusia bawahan dan menghalalkan yang lain tidur dalam kekenyangan dan kemewahan?”. Sebelum harga minyak naik, telah sekian mereka yang berada di teratak usang itu menjimat makan dan pakai. Saban hari mereka mengira belanja untuk memboleh mereka terus hidup di kala negara dunia belum menghadapi krisis harga minyak.
Soalnya, mengapakah apabila kita membicarakan tentang pembaziran, kita hanya terbayang orang-orang bawahan di kampung ataupun bandar. Jika kita ingin meminta supaya setiap warga negara ini berjimat dan jangan membazir, maka bermulalah daripada atas. Bukan sekadar untuk ‘mengenakan si miskin yang sekian lama telah berjimat dan sudah tidak tahu apa yang hendak dijimatkan lagi.
Mengapa kita hanya terbayang rakyat yang berada dalam rumah persendirian dan berbelanja dengan wang poketnya yang sudah lelah? Kita sepatutnya terlebih meneliti semula bagaimana perbelanjaan yang menggunakan harta negara dan rakyat yang sedang berjalan di istana-istana, kediaman-kediaman rasmi kerajaan di peringkat negara dan negeri?.
Apakah wajar di kala ini keraian untuk orang-orang besar sama ada sultan atau menteri begitu mewah? Makanan yang dihidangkan untuk mereka, harga satu meja kadang-kala boleh dimakan oleh ratusan rakyat bawahan. Kapet yang dipijak oleh mereka harganya ribuan bungkusan nasi yang dimakan oleh ‘orang biasa’. Apakah patut di saat yang sebegini, ada istana atau kediaman rasmi menteri yang hendak ditambahmewahkan? Apakah patut orang-orang besar ini diraikan dengan hiburan atau pertunjukan dan konsert yang menelan puluhan ribu ringgit sempena sesuatu kunjungan mereka. Wang itu, wang negara. Wang itu, wang rakyat.
Saya sangat tersentuh apabila membaca artikel dibawah. Inilah suara hati rakyat Malaysia kini. Mari selamilah penderitaan rakyat bawahan sebagaimana gambaran di bawah:-Yang miskin, papa kedana..."
Oleh NORHAFIZAH ABD RANI
Khamis, 12 Jun 2008
SEMUANYA mereka telah lakukan, berjimat cermat, mengikat perut, menukar gaya hidup, mengurangkan perbelanjaan sekolah anak-anak dan sebagainya. Namun, ia tidak membantu mengurangkan beban kewangan golongan ini.
Walaupun langkah berjimat-cermat dilakukan, tetapi bagi golongan yang berpendapatan rendah, ia masih tidak dapat membantu meringankan beban kewangan mereka yang semakin terhimpit. Akibat lonjakan harga barangan keperluan, hidup yang sudah sedia terhimpit sebelum ini semakin tertekan.
Hakikat ini diakui sendiri oleh seorang penjaja makanan ringan, Saroja Supriamaniam, 42. Ibu kepada lima anak yang ditemui di kawasan perumahan kos rendah, Flat Seri Selangor di Jalan San Peng, Kuala Lumpur mengakui begitu terhimpit dengan anak-anaknya yang masih bersekolah. Suaminya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan berpendapatan kurang daripada RM500 sememangnya tidak mencukupi untuk menampung keperluan makan minum dan perbelanjaan harian mereka.
"Saya terpaksa memasak sayur-sayuran hampir setiap hari kerana tidak mampu untuk membeli ikan, ayam dan daging kerana harga yang naik mendadak," luahnya yang kesal dengan kenaikan harga barang keperluan. Menurutnya, pendapatan yang diperoleh hasil daripada menjaja tidaklah lumayan tetapi cukup-cukup makan untuk menampung perbelanjaan anak-anak ke sekolah.
Jika dahulu sebelum berlaku peningkatan harga, Saroja mampu menghabiskan jualan makanan ringan di gerainya dalam tempoh seminggu tetapi kini berbeza. "Ramai ibu bapa yang berjimat cermat dan tidak mahu anak mereka membeli makanan ringan lagi," katanya.
Saroja yang membuka perniagaan bermula pukul 11 pagi hingga pukul 10 malam setiap hari mengakui merasa tertekan dengan kenaikan harga barang itu. Akuinya, dia lebih sedih apabila melihat anak-anaknya juga terpaksa berkongsi kesusahan hidup yang ditanggung.
"Perbelanjaan sekolah anak terpaksa dikurangkan daripada RM2 kepada RM1 tetapi syukur anak-anak memahami walaupun mereka merungut. "Saya tidak lalu makan memikirkan masalah ini. Walaupun susah, perut anak-anak perlu diisi," katanya yang mendapat keuntungan kurang RM10 sehari.
Seorang tukang sapu, Rashidah Rimin, 47, juga mengakui kenaikan harga barang cukup merunsingkannya. Ibu kepada tiga anak ini turut berasa tertekan dan mungkin terpaksa memberhentikan persekolahan tadika anak bongsunya, Mohamad Nor Aswad Zainudin, 6. Semuanya gara-gara kos perbelanjaan sewa rumah sebanyak RM94 sebulan, bil air dan elektrik yang mungkin akan naik.
"Apa yang ada mereka makan sahaja walaupun berlaukkan telur setiap hari memandangkan harga beras yang semakin mahal. Ini menyebabkan saya terpaksa menyukat untuk memberi makan kepada anak-anak dan masak sehari sekali sahaja," luahnya yang tidak mampu membeli beras dalam kuantiti yang banyak dan memperuntukan tiga kilogram sahaja bagi seminggu.
Pendapatan Rashidah berdasarkan kerja hari. Rashidah yang juga menghadapi masalah kurang pendengaran memahami perbualan menerusi pergerakan bibir. .
Katanya, mendiami di rumah pangsa menyukarkannya untuk bercucuk tanam. Namun, atas desakan hidup dia meminta jasa baik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menanam serai di satu kawasan tanah yang terbiar. Suaminya, Zainudin Yusof, 42, seorang pengawal keselamatan yang bekerja di Ampang mengehadkan perbelanjaan hariannya sebanyak RM6 sehari. Walaupun tidak cukup dia terpaksa juga lalui kerana tidak memiliki kenderaan dan perlu menaiki bas ke tempat kerja.
"Tambang pergi dan balik sahaja sudah mencecah RM4, baki dengan RM2 itulah perbelanjaan saya, saya membawa bekal setiap hari untuk berjimat," katanya yang menghidap sakit batuk kering. Sebagai ketua keluarga, Zainudin amat tertekan dengan kenaikan harga barang keperluan ini.