Wednesday, May 28, 2008

HENTIKAN CUBAAN SATUKAN UMNO DAN PAS

Hashim Abdullah - Petikan Harakah Daily

KUANTAN, 26 Mei (Hrkh) - Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu diingatkan supaya berhenti berusaha mengajak PAS dan Umno bersatu sebaliknya berusaha mengajak orang Melayu bersatu di dalam wadah PAS memandangkan Umno berada dalam krisis kepercayaan di kalangan mereka sesama sendiri, kata Pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang, Ustaz Suhaimi Md Saad.

Berucap pada ceramah anjuran PAS Kuantan, di Taman Guru, dekat sini baru-baru ini Suhaimi menjelaskan, tindakan Umno yang sering mengkhianati perjuangan orang Melayu sekitar kekuasaan 50 tahun sepatutnya menyedarkan NGO Melayu tentang siapa dia Umno.

"Umno dah 50 tahun berkuasa dan mengkhianati orang Melayu. Ketika kalah pilihanraya 1969, merayu pada PAS untuk bersama selamatkan ketuanan Melayu. PAS terima tawaran menyertai Kerajaan bersama UMNO-MCA-MIC. Apabila UMNO dan pulih dan kembali kuat, dia tendang PAS dalam BN. Ini sejarah yang kita tak lupa. Kini Bila dia kalah dia merayu ajak bersatu macam selepas pilihan raya 1969 dan sekarang ini.

"Bila kalah cakap pasal Melayu cakap pasal perpaduan, masa dia kuat dia tak pedulikan orang lain, ini Umno. Sebab itu NGO Melayu kena tahu," katanya

Adalah lebih baik kata Suhaimi, NGO Melayu memilih wadah perjuangan PAS yang sentiasa perihatin dengan masa depan Melayu dan rakyat keseluruhannya berbanding memikirkan masalah Umno yang tidak mungkin dapat diselesaikan dan diselamatkan

"Umno ni dah terlalu teruk untuk dibaiki. Umpamakan kereta tak cukup tukar pemandu tak selesai masalah kena tukar kereta sekali. NGO Melayu mesti berusaha ajak orang Melayu bersatu atas wadah PAS. Sebab PAS ajak rakyat selamat dengan Islam," katanya. - mns

Friday, May 23, 2008

IMAM OH IMAM..

Imam dan masjid merupakan institusi yang penting. Imam seharusnya menjadi contoh kepada seluruh masyarakat. Serba serbi perlu di jaga. Pergaulan, tuturkata, tindakan dan ahli keluarganya juga mesti dijaga
Imam juga tidak seharusnya terlibat dengan perniagaan yang syubahah dan menyertai mana mana pertandingan yang mengandungi unsur larangan agama.

BERITA HARIAN 22 MEI 2008

Kita merasa hairan bila ada imam yang terpedaya dengan sindiket SMS AF6. SMS yang menawarkan hadiah RM14,000. Kita hanya mengetahui imam terlibat apabila dia ditipu. Kalaulah peraduan itu betul betul menawarkan hadiah sebanyak itu, alamatnya .... lu fikirlah sendiri

Seruan saya... Wahai Imam, wahai golongan agama jadilah contoh dalam masyarakat. Jauhilah perkara-perkara syubhah dan haram. Tindak tanduk anda menjadi hujah kepada orang jahil untuk menghalalkan apa yang haram

Thursday, May 22, 2008

ISLAM DAN KETUANAN MELAYU


62 tahun selepas penubuhan UMNO akhirnya UMNO di ambang Nazak. Inilah perpecahan yang paling parah dalam sejarah UMNO. 1987 UMNO pernah terbunuh angkara perbalahan Dr Mahathir dengan Tengku Razaleigh. Namun semangatnya terus di Puja sehingga hidupnya menjadi dua. Satu bernama UMNO baru dan satu lagi bernama Semangat 46. Masing masing mendakwa merekalah yang membawa perjuangan UMNO asal.

Kini kekuatan UMNO hampir roboh keseluruhannya. NGO melayu yang muncul atas nama melayu kini tidak seharusnya mendesak parti- parti melayu terutama PAS duduk semeja dan menyertai UMNO. Sepatutnya NGO melayu berhimpun dan memohon pertolongan PAS agar menjadi parti baru harapan orang Melayu dan Islam dalam negara ini. NGO melayu jangan jadi pecacai UMNO

Untuk rekod PAS pernah meyertai kerajaan selepas peristiwa 1969. Pada ketika itu Perikatan (UMNO-MCA-MIC) hanya memperolehi 66 kerusi daripada 89 kerusi yang dipertandingkan. GERAKAN, DAP dan PPP memperolehi 25 kerusi dan PAS 12 Kerusi. Perikatan hilang majoriti 2/3. PAS dipelawa untuk bersama meyelamatkan orang melayu.

21 Disember 1972, Kongres Khas PAS meluluskan pembentukan kerajaan campuran PAS-Perikatan. Perisytiharan rasmi dibuat di Pejabat Perdana Menteri pada 28 Disember 1972, akhirnya 1 Januari 1973 rasmilah pembentukan kerajaan campuran PAS-Perikatan di Kelantan.
Daripada kerajaan campuran peringkat negeri itulah, membawa PAS menyertai Barisan Nasional pada pilihan raya 1974. Dengan 12 kerusi pimpinan PAS masa itu ikhlas meyertai BN demi untuk menyelamatkan ketuanan Islam dan melayu.

Tapi apabila UMNO dapat balik kekuatannya, 13 Disember 1977, PAS telah dipecat daripada komponen Barisan Nasional kerana tidak menyokong Rang Undang-undang Darurat yang dibentang di parlimen pada 19 Oktober 1977. Dalam pilihanraya 1978 PAS hilang kerajaan negeri kelantan yang ditadbir sejak 1959.

Untuk PAS menyertai UMNO atau BN tidak sama sekali. Kini giliran UMNO pula untuk meyertai PAS.

Thursday, May 15, 2008

AHLI PARLIMEN BN SABAH MULA BERPOLITIK


Sebelum ini beberapa ahli parlimen Sabah memprotes tindakan Kerajaan pusat menganaktirikan Sabah. Anifah Aman dalam kenyataannya di Parlimen menyebut apa guna duduk dalam rumah banglow jika tak dapat layanan sama rata. Ghafur Salleh tidak menolak untuk menubuhkan parti baru dan boleh join dengan sesiapa sahaja. Ghafur mendesak Pak Lah merombak kabinet dengan mengambil kira Sabah dan Sarawak merupakan penyelamat kepada BN. Yong Tek Li pula mendakwa di Sabah ada dua tingkap... mereka boleh masuk mana-mana tingkap yang dapat menjamin keadilan untuk Sabah.

Sebenarnya membaca tajuk akhbar hari ni, bukan tawaran Pakatan Rakyat yang difokuskan oleh ahli Parlimen Sabah ini... Yang terlebih penting ialah.... adakah Pak Lah akan menunaikan tuntutan mereka. Mereka sedang menunjukkan dari pada Pak Lah, harga mereka terlalu mahal..

Sebenarnya mereka sedang beri kata dua pada Pak Lah.. sama ada TUNAIKAN TUNTUTAN KAMI atau KAMI BERPINDAH KE TINGKAP YANG LAIN.

Kalau benar sebagaimana yang dilaporkan akhbar hari ni, mengapa mereka tak buat laporan polis... Kita pun nak tahu 'duta kecil' yang dimaksudkan... Wujud atau tidak wujud... Kalau wujud siapa Duta Kecil itu? Teknologi sekarang ini boleh mengesan panggilan itu datang dari mana dan siapa disebalik panggilan.. Ayuh laporkan pada polis dan sertakan no panggilan yang diterima.

Berita ini meyebabkan BN semakin goyah. Mari kita ikuti plot cerita seterusnya dalam minggu ini.

Wednesday, May 14, 2008

RM 500 juta untuk Orkestra Filharmonik Malaysia

Lim Guan Eng Ahli Parlimen Bagan yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang mendedahkan Orkestra Filharmonik Malaysia yang ditubuhkan sejak 10 tahun lalu telah membayar gaji pemuziknya yang rata-ratanya adalah rakyat asing berjumlah RM500 juta. Wang petronas digunakan untuk tujuan itu.

Menurutnya, 95 peratus pemuzik asing itu dibayar antara RM16,000 hingga RM28,000 sebulan dan mendapat dua bulan cuti bergaji setiap tahun. Konduktornya pula dibayar RM130,000 sebulan manakala penolongnya dibayar gaji RM50,000 sebulan. Kos membiayai seluruh anggota Orkestra Filharmonik Malaysia itu mencecah RM3.5 juta sebulan.

Lim juga mendakwa, bekas konduktor residen Orkestra Filharmonik Malaysia, rakyat Malaysia - Ooi Chean See - telah meletakkan jawatan selepas tidak diberi peranan sewajarnya.

Sehubungan itu, YB Lim Guan Eng bertanya, mengapakah Petronas membelanjakan wang yang banyak tetapi tidak memberi faedah kepada pemuzik tempatan. Pemuzik tempatan dipinggirkan manakala Petronas membelanja begitu banyak wang untuk melayan orang asing, terutama dari Eropah.

Komen: Hairan ye.. dulu Dato Seri Najib kata wang petronas kalau dibelanja sewenang wenangnya untuk rakyat, negara akan bangrup.
Kerajaan juga memberi pelbagai alasan kepada Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) apabila badan itu menuntut kenaikan bayaran honorarium sebanyak RM2,000 tanpa mengira pangkat dan kenaikan Imbuhan Tetap Perumahan dari RM180 ke RM230.

Friday, May 9, 2008

Minyak Oh Minyak..!

Artikel ini saya petik dari blog anak bapa. Isinya menarik untuk kita kongsi bersama,
Kajian terbaru yang dibuat oleh AIRINC, Associates For International Research Inc. yang berpengkalan di Amerika antara Mac 17 hingga April 1, 2008 telah menunjukkan bahawa Malaysia adalah antara negara pengeluar minyak yang mempunyai harga minyak petrol domestik yang amat tinggi.

Berdasarkan harga RM1.92 seliter dan 1 gelen bersamaan 4 liter, maka harga minyak petrol negara ialah USD2.40 segelen. Ini meletakkan negara kita di nombor melebihi 35 antara negara-negara yang paling murah harga minyak petrol domestic.

Berikut adalah perbandingan harga-harga minyak petrol negara lain untuk perbandingan berdasarkan USD segelen:

1. Venezuela 12 cents
2. Iran 40 cents
3. Saudi Arabia 45 cents
4. Libya 50 cents
5. Swaziland 54 cents
6. Qatar 73 cents
7. Bahrain 81 cents
8. Egypt 89 cents
9. Kuwait 90 cents
10. Seychelles 98 cents
....
38. Malaysia $2.40
....
45. United States $3.45

Perhatikan betapa murahnya harga minyak di negara-negara pengeluar minyak lain seperti Venezuela, Iran, Arab Saudi dan Libya. Malah di negara yang bukan pengeluar minyak seperti Sweziland dan Seychelles pun harganya amat murah.

Komen Anak Bapa: Persoalannya kenapa harga minyak negara kita sangat mahal sedangkan kita adalah negara pengekspot minyak dunia. Mudah…..kerana kita mempunyai pemimpin yang tidak cekap dan hanya mementingkan diri mereka dan puak mereka sahaja.

Tuesday, May 6, 2008

SPR BATAL CELUP JARI BERDASARKAN KHABAR ANGIN

Jawapan bertulis Menteri Dalam Negeri Syed Hamid Albar cukup memeranjatkan. Maknanya rakyat ditipu dan diperbodohkan sebelum pilihanraya dulu.

4 Mac, (4 hari sebelum pilihanraya) media melapurkan Tan Sri Rashid mendakwa pembatalan dakwat kekal membabitkan keselamatan negara. Dalam sidang akhbar yang turut dihadiri oleh, Ketua Polis, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara Ghani Patail turut memaklumkan sumber polis, beberapa individu yang terbabit telah ditahan untuk membantu siasatan. Laporan BERNAMA menyebut

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini membatalkan cadangan menggunakan tanda dakwat kekal di kuku atau jari tangan pengundi pada pilihan raya umum Sabtu ini.
Pengerusinya Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman ketika mengumumkan perkara itu berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat hari ini berasaskan nasihat dari segi perundangan serta aspek ketenteraman dan keselamatan awam.

“Hasil siasatan terhadap laporan yang dibuat kepada pihak polis, mengesahkan bahawa terdapat pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab telah membeli dakwat dari luar negara bagi menjalankan aktiviti memujuk dan menyogok orang yang kurang faham mengenai penggunaan dakwat itu untuk dicalit sebelum hari mengundi

Lain pula jawapan Parlimen hari ini.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) membatalkan penggunaan dakwat kekal empat hari sebelum PRU12 yang lalu berlangsung berdasarkan kepada desas-desus, jawapan bertulis Menteri Dalam Negeri Syed Hamid Albar kepada MP Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah), beliau menjelaskan SPR dan kerajaan tidak mempunyai bukti kukuh ketika membuat keputusan tersebut.

Dewan Rakyat hari ini mendedahkan bahawa siasatan polis tidak menghasilkan apa-apa bukti kukuh terhadap dakwaan tersebut, meskipun setelah tiga kali siasatan dijalankan.

“Selepas laporan polis disiasat, dan soalsiasat dijalankan kepada pengadu dan saksi, ia didapati tiada sebarang bukti menunjukkan adanya dakwat kekal diseludup masuk dari Thailand,” kata Syed Hamid.

“Dari kenyataan saksi, tiada individu, sindiket atau mana-mana pihak dapat dikenalpasti terbabit dalam penyeludupan dakwat kekal. Laporan pengadu dan saksi dibuat berdasarkan desas-desus,” kata Syed Hamid

TAN SRI RASHID

Mencabar pembangkang buktikan penipuannya. Beliau sedia untuk meletakkan jawatan kalau pembangkang berjaya membuktikan beliau penipu. Walaupun kita dan buktikan berlori-lori penipuan dalam pilihanraya di Malaysia. Antaranya, Likas tepaksa buat pilihanraya semula setelah mahkamah membuktikan memang wujud pengundi hantu. Persempadanan pilihanraya yang terang terang menipu.. Contoh Kem Batu 10 Kuantan dimasukkan ke Parlimen Pekan (Jarak kem batu 10 ke pekan 40 KM.) dan banyak lagi penipuan lain.

TAN SRI MUSA HASAN

Bertanggung jawab menjaga keamanan dan keselamatan negara turut bersekongkol menjadi penipu besar dalam isu penggunaan dakwat khas ini. Mana perginya individu yang didakwa telah ditahan untuk membantu sisatan? Rakyat seperti saya sekarang ini boleh beranggapan, semua tahanan ISA yang di tahan tanpa bicara juga hasil dari khabar angin yang belum disahkan kepastiannya. Malang sungguh Isteri yang kehilangan suami, anak yang tak kenal bapa semata-mata teraniaya kerana khabar angin. Sebab itulah mangsa ISA tidak dihadapkan di mahkamah sebab pihak kerajaan pun tahu mahkamah akan menolah hujah "khabar angin"


ABD GHANI PATAIL

Memang sejak dari dulu rakyat dah mengenali rekod buruknya. Beliau sanggup menjadi perkakas untuk mengaibkan Dato Seri Anwar Ibrahim, bersekongkol menafikan ikat Jamin Suwandi dan Azman dalam kes Tragedi Batu buruk. Cuba untuk menafikan hak jamin Hj Mohd Sabu dan rakan-rakannya yang didakwa kerana himpun Bersih di Parlimen.

3 pegawai tinggi yang dilantik oleh kerajaan menipu rakyat secara terang terangan.

Rujuk laporan bernama

SPR Batal Cadangan Guna Tanda Dakwat Di Kuku Atau Jari Tangan Pengundi
PUTRAJAYA, 4 Mac (Bernama) - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini membatalkan cadangan menggunakan tanda dakwat kekal di kuku atau jari tangan pengundi pada pilihan raya umum Sabtu ini.
Pengerusinya Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman ketika mengumumkan perkara itu berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat hari ini berasaskan nasihat dari segi perundangan serta aspek ketenteraman dan keselamatan awam.
“Hasil siasatan terhadap laporan yang dibuat kepada pihak polis, mengesahkan bahawa terdapat pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab telah membeli dakwat dari luar negara bagi menjalankan aktiviti memujuk dan menyogok orang yang kurang faham mengenai penggunaan dakwat itu untuk dicalit sebelum hari mengundi.
“SPR berasa amat dukacita atas keputusan yang dibuat ini. Namun begitu, demi menunaikan kewajipan dan tanggungjawabnya dalam menjamin kelancaran proses pengundian serta ketenteraman serta keselamatan awam, SPR perlu mengambil keputusan tegas dan muktamad ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPR di sini hari ini.
Turut hadir ialah Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan. SPR sebelum ini mengumumkan cadangan menggunakan dakwat khas dari India itu untuk menanda kuku atau jari pengundi bagi mengelak penipuan pada pilihan raya umum.
Tanda dakwat itu bagaimanapun tidak terpakai bagi pengundi pos yang perlu membuat pelbagai pengisytiharan bagi menentukan kesahihannya.
Tanda dakwat berwarna hitam yang membabitkan kos kurang daripada RM1 juta itu bertujuan memuaskan hati semua pihak memandangkan selepas pilihan raya umum 2004, terdapat pelbagai desakan oleh beberapa parti politik supaya SPR melaksanakan suatu kaedah bagi menyekat perbuatan yang dianggap sebagai penipuan dalam proses pengundian.
Abdul Rashid berkata kegiatan itu (mengecat kuku) dikesan berlaku terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman bagi menimbulkan kekeliruan dan syak wasangka mengenai status pengundi berkenaan.
“Mereka ini mungkin dianggap sebagai telah mengundi apabila datang pada hari pengundian. Selain itu, kemungkinan terdapat di kalangan pengundi yang terpedaya itu tidak keluar mengundi kerana takut dianggap telah melakukan kesalahan.
“Sekiranya pengundi-pengundi itu hadir mengundi, sudah tentu akan timbul keraguan di kalangan ejen calon dan petugas SPR mengenai status pengundi-pengundi berkenaan. Ini boleh menyebabkan tercetusnya kekecohan di tempat-tempat mengundi yang mungkin sukar dikawal jika berlaku secara berleluasa,” katanya.
Berikutan itu katanya SPR memandang serius keadaan itu kerana proses pengundian dan ketenteraman serta keselamatan awam tidak boleh sekali-kali dikompromi
.



Monday, May 5, 2008

KEPADA PERDANA MENTERI MALAYSIA

Kami Rakyat Malaysia menuntut
1. Mansuhkan ISA
2. Bebaskan semua tahanan ISA
3. Tutup kem Kamunting

Sunday, May 4, 2008

JOM KITA BANTU MANGSA ISA

Gambar bersama 2 tahanan ISA, berbaju merah Solehan Abd Ghafar telah bebas sepenuhnya pada Ramadhan lepas, Baju biru Azmi Abd Rahim masih dikenakan tahanan rumah yang hanya tamat pada 16 Januari 2009

Saya mengenali Azmi Abd Rahim melalui Solehan Abd Ghafar. Mereka menjadi akrab semasa ditahan dibawah ISA. Solehan berkunjung ke rumah saya selepas 2 minggu dibebaskan dari tahan rumah. Semasa Solehan dikenakan tahanan rumah dua kali saya menziarahi Solehan di Kuala Terengganu.

Kunjungan Solehan ke rumah saya membawa saya mengenali Azmi. Ketika itu Azmi baru keluar tahanan Kem Kamunting dan kini masih menjalani tahanan rumah yang hanya akan berakhir pada 16 Januari 2009.

Mengenali susuk tubuk kecil dan tinggi ini membuatkan saya kagum padanya. Seorang pemuda yang tabah menjalani kehidupan sebagai tahanan. Isteri beliau, Faridah bt Daud merupakan suri rumah sepenuh masa. Mempunyai 4 orang anak. Anak sulung beliau di Maahad Tahfiz Darul Fikri, 2 anak sekolah rendah.

Beliau tak pernah menunjukkan beliau susah walaupun saya tahu beliau susah. Kali pertama saya ke rumahnya terasa sayu, dengan sebuah teratak yang kecil yang hanya mempunyai sebuah bilik tidur, sebuah sofa yang usang di tengah ruang tamu yang kecil, rasanya bilik tidur anak saya yang tak sebesar mana tu lebih besar dari ruang tamu rumahnya.

Untuk meneruskan hidup dan menyara keluarga, beliau yang masih dalam perhatian pihak keselamatan kini berniaga air soya di tepi jalan sebuah kampung di Kuantan.

Walaupuan beliau tak pernah bersunggut dengan susah yang ditanggung, namun saya terpanggil untuk terus membantu beliau.

Sahabat sahabat sekalian, atas rasa kemanusiaan, atas semangat mukmin itu bersaudara, marilah kita bantu beliau saya sertakan akaun Isterinya
Faridah Bt Daud BSN GIRO
No. Akaun 0611229000035843

Saturday, May 3, 2008

Isu Exco Wanita: Dr Ng Yen Yen HIPOKRIT!!

Apabila Dato Maznah Mazlan dilantik sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, maka Pahang kehilangan Exco wanita. Dato Maznah sebelum ini Memegang Exco Hal Ehwal Wanita dan Keluarga. Kekosongan ini seharusnya diganti dengan wanita juga. Di Pahang, seorang lagi ADUN di kalangan Wanita ialah Dato Shahaniza Shamsudin.


Maknanya Tok Nan MB Pahang tak yakin dengan kemampuan Shahaniza, sebab itulah dia tak dilantik, sebaliknya Exco Hal Ehwal Wanita dan Keluarga diletakkan di bawah Pejabat Menteri Besar Pahang.
Cuma saya hairan, dalam situasi ini dimana perginya Dr Ng Yen Yen, Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat yang kononnya nak menjaga Hak wanita.

Dr Ng Yen Yen sangat prihatin bila Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak tidak senaraikan wanita sebagai Exco.
"Kita kini dalam abad ke-21 dan sepatutnya tiada lagi masalah daripada segi gendar dan memastikan ada perwakilan wanita dalam semua tahap pembuat keputusan," katanyakepada pemberita selepas majlis Konvokesyen Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di Wisma MCA 30 Mac lalu.

Keprihatinan Dr Ng Yen Yen terhadap nasib wanita di Perak sehingga dilaporkan oleh Bernama Pada 1 April lalu.
Katanya beliau sudah memaklumkan sendiri kepada Mohammad Nizar berhubung perkara itu. "Saya hantar surat rasmi dan bercakap sendiri dengannya semalam berhubung perkara ini. Saya minta dia pastikan bahawa anggota exco turut disertai oleh seorang wakil dari kaum wanita," katanya kepada Bernama di sini.

Dr Ng Yen Yen adalah Ahli Parlimen Raub. Beliau sibuk dengan negeri orang (Perak) yang tak lantik wanita sebagai exco tetapi membiarkan negerinya (Pahang) meminggirkan wanita dalam barisan Exco.

Ini Hipokrit namanya.

Lihat Petikan BERNAMA

Ng Bimbang Kerana Tiada Wakil Wanita Dalam Barisan Exco Perak

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat Datuk Dr Ng Yen Yen hari ini melahirkan kebimbangan beliau dengan ketiadaan wakil wanita dalam barisan anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco) Perak yang baru dilantik.Beliau akan membangkitkan perkara itu kepada kerajaan negeri Perak, kata Ketua Wanita MCA itu kepada pemberita selepas majlis Konvokesyen Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di Wisma MCA di sini hari ini."Kita kini dalam abad ke-21 dan sepatutnya tiada lagi masalah daripada segi gendar dan memastikan ada perwakilan wanita dalam semua tahap pembuat keputusan," katanya.Beliau berharap kerajaan negeri Perak akan menimbangkan semula pelantikan Exco wanita daripada perspektif gender.Dalam majlis angkat sumpah jawatan semalam, kesemua 10 Exco kerajaan campuran DAP-Parti Keadilan Rakyat (PKR)-PAS Perak adalah lelaki, walaupun DAP mempunyai tiga wakil rakyat wanita, Lim Pek Har (Menglembu), Hee Yit Song (Jelapang) dan Leong Mee Meng (Jalong).Dalam pentabiran kerajaan negeri Perak sebelum ini di bawah Barisan Nasional (BN), portfolio jawatankuasa pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat dipegang oleh wanita.Sementara kerajaan campuran DAP-PKR di Pulau Pinang telah melantik wakil rakyat DAP Ong Kok Fooi untuk menerajui jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan di Kelantan, PAS melantik Wan Ubaidah Omar yang menang tanpa bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kijang untuk memegang portfolio Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Kesihatan.Bagi kerajaan campuran PKR-DAP-PAS Selangor, empat daripada 10 Exco yang dilantik terdiri wanita. Mereka ialah Rodziah Ismail (Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi), Elizabeth Wong (Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar), Theresa Kok (Pelaburan, Industri dan Perdagangan) dan Dr Halimah Ali(Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Sumber Manusia).Sementara itu, Dr Ng menafikan laporan dalam sebuah akhbar tempatan bahawa MCA menyalahkan Umno bagi kekalahan teruk parti itu dalam pilihan raya umum 8 Mac."Ini merupakan tuduhan yang serius. Penilaian dalam post-mortem adalah amat jujur dan saya menafikan bahawa kami menyalahkan Umno sepenuhnya," katanya.Dalam sesi percambahan minda parti itu Jumaat lepas, MCA memutuskan bahawa ia perlu lebih lantang dalam menyatakan kepada umum apa yang parti itu telah lakukan dan capai untuk rakyat, katanya.-- BERNAMA

Dr Ng Minta MB Perak Timbang Sertai Wanita Dalam Barisan Exco


KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Dr Ng Yen Yen hari ini meminta Menteri Besar Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin untuk menimbangkan pelantikan seorang wanita dalam senarai anggota exco kerajaan negeri.Katanya beliau sudah memaklumkan sendiri kepada Mohammad Nizar berhubung perkara itu. "Saya hantar surat rasmi dan bercakap sendiri dengannya semalam berhubung perkara ini. Saya minta dia pastikan bahawa anggota exco turut disertai oleh seorang wakil dari kaum wanita," katanya kepada Bernama di sini. Beliau berkata Mohammad Nizar nampaknya menerima permintaan itu dengan baik serta cukup mesra.Semalam pejabat Menteri Besar Perak mengumumkan senarai portfolio 10 anggota exco kerajaan campuran DAP-PKR-PAS di Perak, dengan semuanya dari kalangan kaum lelaki walaupun DAP mempunyai tiga Anggota Dewan Undangan Negeri dari kalangan kaum Waita, iaitu Lim Pek Har (Menglembu), Hee Yit Song (Jelapang) dan Leong Mee Meng (Jalong).Dalam barisan exco kerajaan negeri Perak di bawah pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini, exco bagi Wanita, Keluarga dan Masyarakat adalah dari kalangan kaum Wanita.-- BERNAMA