Thursday, July 3, 2008

APABILA KEBINATANGAN MENGHALAU KEMANUSIAAN

Berdosalah pada sesiapa yang merestui kewujudan undang undang rimba ini. ISA Terus menerus meragut kasih sayang insan. Hanya orang yang berhati binatang sahaja akan mempertahankan undang undang zalim ini. Selepas keluarga ini mendapat 'hadiah' Barisan Nasional, bapa mereka dilanjutkan tahanan untuk dua tahun lagi (2+2+2+2). Hari ini satu lagi hadiah diberikan oleh sebuah kerajaan yang zalim, dinafikan hadir pada saat nazaknya anak tercinta. Ikutilah babak menyayat hati ini.

BABAK 1
Suasana di Wad Blok A Tingkat 3 Hospital Kajang cukup sayu dengan tangisan isteri tahanan ISA, Siti Fatma dan ahli keluarga tatkala anak perempuan kesayangannya, Aina Mardiah Shahrial terlantar koma dan nazak sejak semalam lagi.

Aina Mardiah dilaporkan terjatuh di rumahnya semalam hingga mengakibatkan beliau koma.

BABAK 2
kelihatan kira-kira 20 pelajar sekolah terdiri daripada rakan-rakan Aina Mardiah menziarahi beliau.
Keadaan bertambah sedih apabila rakan-rakan turut menangis teresak-esak sambil memeluk Aina yang terkapar dengan alat bantuan hayat serta bergantungan 'wire' di tangan serta hidungnya.

Kesedihan yang terpancar di wajah rakan-rakan Aina membayangkan hubungan akrab mereka lebih-lebih lagi Aina seorang insan yang dinafikan hak bapanya untuk hidup bebas seperti anak-anak yang lain.Anak yang telah lama tidak mendapat kasih sayang daripada bapanya sejak 7 tahun lalu kerana dipisahkan oleh akta zalim ISA sememangnya sentiasa mengharapkan ribaan kasih sayang bapa yang dirindui.

Sesiapa sahaja pasti luluh jiwa apabila melihat rakan-rakan saling berpelukan menangis teresak sementara si ibu yang kering sudah airmatanya hanya mampu melihat sambil sesekali memeluk dan mencium anaknya yang terkapar kaku.

BABAK 3
Sementara dua adik lelakinya yang setia menanti di hujung penjuru katil terus menerus membacakan ayat-ayat suci Al-Quran dan Yaasin sambil menitiskan airmata.
Wajah muda dua adiknya ini begitu sayu sekali meratapi kakak yang terlantar sementara menantikan bapa tercinta tiba selepas satu 'penyiksaan' perasaan dihadapi mereka untuk mendapatkan pelepasan bapanya itu.

BABAK 4
6.25 petang di sisi ibunya, Aina Mardiah Shahrial menghembuskan nafas terakhir selepas terlantar koma dan nazak sejak semalam.

Lebih mendukacitakan, bapa kandung Allahyarhamah, Shahrial Sirin yang dilaporkan bertolak dari Kem Tahanan Kemunting selepas mendapat kelepasan Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar masih belum tiba di hospital.

Shahrial dilaporkan dibawa keluar dari Kem Tahanan Kemunting sejak jam 1.00 tengahari tadi. Kegagalan pihak polis cawangan khas menemukan Sahrial dengan anaknya dikecam.

Perjalanan dari Kem Kamunting di Taiping ke Kajang takkan memakan masa lebih dari 5 jam. Jalan mana yang digunakan?

BABAK 5
Shahrial yang tiba kira-kira jam 9.40 malam dibawa dengan sebuah van dengan nombor pendaftaran WQV 4491 diiringi lebih kurang sepuluh anggota polis. Setibanya di pekarangan rumah tersebut beliau terus didakap anak keduanya, Ehsan Shahrial, 16 dan beberapa sahabat handai.

Dengan genangan air mata beliau terus mendukung anak bongsunya, Arfah Sharial, 9 yang kebetulan turut menyambutnya di situ untuk memasuki dalam rumah menatap janazah anaknya.

Beliau duduk di sisi isterinya, Siti Fatma Masirun, 38, dan terus menatap wajah anaknya yang terbaring kaku di situ.

Beliau mengucup dahi anaknya itu sepuas-puasnya seolah-olah enggan menerima perpisahan akibat 7 tahun keluarga ini dipisahkan oleh tempoh kem tahanan secara zalim.