Dewan Pemuda Pas Negeri Pahang (DPPNP) melahirkan rasa kesal atas Insiden yang berlaku semasa penganjuran Himpunan Rakyat PROTES kali ini. Apa yang kita bimbangi berlaku dalam himpuan PROTES menjadi kenyataan. Memualkan dan menjelekkan apabila acara pentas membelakangkan akhlak Islam dan budaya luhur masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Himpunan yang sepatutnya membawa suara rakyat dan keluhan rakyat menjadi himpunan ala Fun fair.
DPPNP telah dimaklumkan hasil perbincangan dengan Dewan Pemuda PAS Pusat, jawatankuasa PROTES bersetuju untuk menggugurkan semua aktiviti nyanyian yang melibatkan band dan kumpulan - kumpulan sebagaimana yang tertera di poster sebelum ini. Tapi apa yang berlaku kami turun beramai ramai untuk ditipu oleh jawatankuasa PROTES
Nama besar seperti PROTES tidak seharusnya menyajikan acara pentas sebegitu. Seharusnya kita belajar dari Kejayaan Himpuan BERSIH. Walaupun tekanan yang begitu hebat namun ia gagal mengekang kebangkitan rakyat menuntut Demokrasi.
Semua rakyat terkesan dengan kenaikan harga minyak. Seharusnya himpunan ini lebih berjaya dan bermakna dari Himpunan BERSIH.
Kami hadir kerana mahu membantah kenaikan harga minyak dan mahu mendesak agar kerajaan UMNO dan BN memahami derita rakyat lalu menurunkan harga minyak . Kami bukan datang untuk berhibur
Suka diingatkan DPPNP bukan anti hiburan. Himpunan semurni ini bertujuan untuk membawa keluhan rakyat tidak sepatutnya bercampur aduk dengan hiburan ala barat.
Walaupun kami dimaklumkan liriknya mengutuk kedajalan UMNO/BN, seperti lagu Hantu Raya di Putrajaya tetapi tak ada perkataan yang boleh difahami disebabkan muzik yang bingit dan menenggelamkan suara penyanyi. Dengan aksi londeh seluar dan tunjuk punggung menjadikan aksi itu lebih sesuai digelar Hantu Raya di Pentas Kelana Jaya
Jawatankuasa PROTES seolah oleh memperbodohkan peserta perhimpunan yang datang dari seluruh negara. Kesengsaraan rakyat dipermainkan.
PROTES sampai turun bertukar kepada PROTES sampai nampak punggung. Ahli jawatankuasa PROTES yang bertangungjawab membawa budaya buruk ini seharusnya disingkirkan daripada jawatankuasa Himpunan Rakyat pada masa akan datang.
DPPNP mengutuk acara hiburan ala barat dan aksi-aksi pentas terlampau yang berlaku dalam Himpunan PROTES dan seharusnya ia menjadi pengajaran kepada semua.
Sekian
SUHAIMI BIN MD SAAD
Pemangku Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang