Monday, April 18, 2011

Lynas@Gebeng : Dedahkan segala maklumat loji Lynas, kata bekas pakar geologi

Malaysian Insider- Oleh Shannon Teoh

KUALA LUMPUR, 22 Mac — Kedua-dua kerajaan Australia dan Lynas Corporation digesa tampil menjawab banyak soalan yang masih belum dijawab berhubung loji pemprosesan nadir bumi yang sedang dibina di Gebeng dekat Kuantan, kata seorang bekas pakar geologi kanan kerajaan.

Bekas pegawai Jabatan Penyiasatan Kajibumi Malaysia (GSM) itu juga berkata, ketiadaan ketelusan bermakna sukar bagi pihak ketiga dengan kepakaran teknikal untuk menawarkan pandangan mengenai kemungkinan bahaya alam sekitar ekoran kerja-kerja pemprosesan itu.

“Ada banyak soalan tanpa jawapan,” kata Wong Yew Choong kepada The Malaysian Insider semalam.

Wong berkata beliau telah menjalankan siasatan mengenai radiasi kepada GSM, yang kini sebahagian daripada Jabatan Mineral dan Geosains lewat 1980-an bagi loji Asian Rare Earth (ARE) di Bukit Merah.

Loji itu kemudian ditutup pada 1992 ekoran protes awam.

Hampir dua dekad kemudian loji itu yang dikaitkan dengan lapan kes leukemia di kalangan penduduk tempatan masih berhadapan dengan kerja-kerja pembersihan yang menelan kos RM303 juta.

Lynas berharap untuk memulakan operasinya di Gebeng menjelang September ini, untuk bersaing dengan China yang menguasai 95 peratus pasaran nadir bumi.

Syarikat itu menjangkakan pulangan hampir RM8 bilion setahun bermula 2013.

Bagaimanapun di sebalik krisis nuklear di Jepun ekoran bencana berganda baru-baru ini, laporan New York Times mengenai operasi itu awal bulan ini menyebabkan kebimbangan dan mencetuskan polemik baru mengenai isu tersebut.

Sehubungan itu, Wong berkata, seolah-olah kelihatan sebagai “rahsia kerajaan tidak membolehkan rakyat mengetahui butiran projek yang sedang dibangunkan itu.”

“Rakyat seharusnya boleh memperoleh pandangan pihak ketiga, bukan daripada kerajaan ataupun Lynas, mengenai kesemua aspek,” kata beliau.

Lynas berulang kali menegaskan, logam nadir bumi yang akan diproses di Gebeng hanya mempunyai dua peratus elemen radioaktif, torium yang wujud dalam bahan mentah digunakan di Bukit Merah.

Bagaimanapun, Wong berkata menurut tulisan akhbar Amerika Syarikat itu loji tersebut akan memproses 10 kali ganda nadir bumi dan boleh menyebabkan jumlah sisa pembuangan radioaktif dalam jumlah yang banyak.

“Sementara saya ragu-ragu dengan respons bahawa bahan mentah hanya akan mempunyai 0.16 peratus kandungan torium, ia masih satu kadar yang besar jika mereka hendak memproses beratus tan bahan mentah,” katanya lagi.

Malah kata beliau, bahaya radiasi akan terus mengalami pertumbuhan daripada himpunan sisa buangan dan juga debu yang dilepaskan ketika pemprosesan.

Pakar alam sekitar dan penduduk di Kuantan menuntut butiran operasi loji itu daripada Lynas dan pihak berkuasa tempatan.