Thursday, July 24, 2008

DATO FAUZI MENYERTAI PKR

Berita gembira buat penyokong Pakatan Rakyat di Pahang. Namun bagi saya terselit sedikit kecewa. Saya mengetahui penyertaan Dato Fauzi ke dalam PKR ini lebih kurang jam 12. 30 mlm. Itupun selepas menonton TV 502 Berita Bernama sebaik sampai dirumah setelah Kuliah di Keratong 9.

Bukan satu rahsia lagi Dato Fauzi akan menyertai PAS. "Menyertai parti lain adalah adat (kebiasaan), bersama PAS adalah ibadat" Inilah lafaz yang keluar dari mulut beliau membayangkan komitmen untuk bersama PAS semasa bertemu pimpinan PAS peringkat negeri Pahang. Saya tidak katakan Dato Fauzi memungkiri janji. Tetapi semua ini berlaku kerana kelemahan kita (baca pimpinan PAS). Pimpinan PAS Pahang telah menghubungi Pimpinan A (bukan nama sebenar) untuk tindakan selanjutnya sehinggalah telah ditetapkan tarikh pengisytiharan beliau ke dalam PAS. Bloger MSO telah mewar-warkan penyertaan bekas Timbalan Menteri dari Pantai Timur ke dalam PAS dalam blog beliau.

Saya dimaklumkan beberapa kali Dato Fauzi menghubungi sahabat kita di Kuantan bertanyakan bilakah pimpinan A akan menghubungi dan mengunjungi beliau.

Mungkin kecewa dengan kerenah pimpinan PAS yang lambat bertindak untuk menguruskan kemasukannya. Kelihatannya pimpinan A bertaraf Dewan Harian Pusat tidak berminat untuk menarik tali yang kami berikan. Beliau lebih berselera untuk bertemu pimpinan tertinggi UMNO malah sampai tiga kali bertemu, sedangkan hasilnya hampir-hampir PAS terjebak dalam jerangkap samar UMNO.

Sepatutnya di Pahang bulan Julai ini akan menerima 2 kemasukan anggota baru, Rakan Ezam dalam GERAK Zukri Aksah dan Bekas Timbalan Menteri Dato Fauzi Abd Rahman.

Saya tak berniat untuk merosakkan reputasi mana-mana pimpinan PAS Pusat. Belajarlah dari kelemahan ini. Antara Abu Jahal dan Abdullah Umi Maktum, Allah memerintahkan nabi pilih Abdullah Umi Maktum kerana beliau berkehendak pada hidayah berbanding Abu Jahal yang angkoh dan sombong. Kenapa bertemu dengan pemimpin UMNO, geraknya pantas, bertemu dengan mad'u bergerak agak malas.

Abu Sufian menanggalkan baju Jahilliah selepas merasakan beliau tetap mendapat pengiktirafan nabi walaupun awalnya adalah penentang dakwah. Bukan tujuan saya untuk menyamakan Dato Fauzi dengan 2 sahabat nabi ini, namun belajarlah dari kebijaksanaan nabi.

Manusia yang telah berada di depan pintu rumah kita, yang sepatutnya kita tarik tangannya masuk ke dalam rumah, namun kita biarkan dia terus berdiri seumpama peminta sedekah, akhirnya beliau beralih ke rumah jiran sebelah.
Pun begitu kita ucapkan kepada Dato Fauzi selamat berjuang dalam Pakatan Rakyat.