Thursday, July 31, 2008

KEMBALI PADA POSISI

Saya makin tak berminat untuk menyentuh isu muqabalah/ muzakarah. Ianya bagaikan satu bom yang diletupkan supaya kita berlari untuk melihat letupan sambil meninggalkan posisi kita.

Perbalahan UMNO di peringkat Bahagian sangat parah. Parti komponen terbesar seperti MIC, MCA, Gerakan sedang bermasalah. Kenaikan mengila harga barang menghantui Rakyat. Rakyat terus tertekan. UMNO kini hanya sekadar memukul gendang memainkan lagu 3 rentak, Dengan rentak itu kita lupa lalu meninggalkan masalah rakyat yang memberi kuasa pada kita, untuk menggalas perjuangan rakyat.

Rentak untuk DAP "Pemimpin kamu anti Melayu, Pemimpin kamu anti Islam" Rentak untuk PKR "Pemimpin kamu Liwat dan agen Amerika" Rentak untuk PAS "pemimpin kamu sedang berkira untuk kongsi Kuasa." Menyebabkan ahli Pakatan rakyat pada hari ini menari mengikut 3 rentak ini.

Rakyat yang sepakat memberi kuasa pada Pakatan Rakyat mulai bosan. "Ust... macam mana ni" "Macam mana apa?" tanya saya. "Harga barang terus naik, gaji kami makin mengecik, hidup kami makin tertekan. Para pimpinan kelihatan seperti bermain-main memperjuangkan hak kami."

Oleh kerana saya cuma nak selami perasaan seorang individu dari berjuta-juta rakyat, saya terus bertanya lagi "Sabar dulu... Apa yang saudara rasa perjuangan hak rakyat dipermainkan

Beliau menambah dengan sayu bercampur marah "Sebelum dapat kuasa bukan main minta kami turun tuntut pemulihan demokrasi, dengan alasan apabila demokrasi pulih, kita boleh bersuara, Rakyat akan lebih terbela.

"Tapi bila dah dapat kuasa, Demonstrasi untuk perjuangkan hak rakyat di buat sekadar lepas batuk ditangga. Sekarang ni hilang fokus untuk rakyat, disibukkan dengan agenda Parti masing masing. Dulu kata kalau tak menang pun cukup sekadar menafikan 2/3 Nasib rakyat akan dibela. Tapi kini, sama saja, kami bagi undi pada BN atau PR, nasib kami tetap begini."

Saya keluarkan satu daripada rasa kecewa rakyat bawahan yang menyokong pakatan Rakyat. Di luar sama berjuta rakyat yang menyokong kita kerana selama ini mereka hidup didera, didera dengan kenaikan harga bahan api, kenaikan harga barang.

Berhenti menari mengikut rentak gendang yang di palu. Rakyat sangat memerlukan kita sekarang ini. Kembalilah ke posisi.