Wednesday, March 4, 2009

SIDANG BAWAH POKOK SAH

MAJLIS PEGUAM PERSOAL KEPUTUSAN MAHKAMAH
Sumber Malaysia Kini

Majlis Peguam Malaysia mempertikaikan keputusan melarang peguam persendirian mewakili Speaker DUN Perak V Sivakumar seperti diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini.
Presidennya S Ambiga berkata keputusan mewajibkan penasihat undang-undang negeri mewakili Sivakumar, boleh mencemarkan prosiding yang membabitkan pertelingkahan antara BN dan Pakatan Rakyat.
Pesuruhjaya Kehakiman Ridwan Ibrahim memutuskan demikian susulan permohonan peguam Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam exco kerajaan negeri, berhubung penggantungan mereka daripada menghadiri sidang DUN.
Ambiga berkata, dua perkara haruslah diambil kira dalam isu ini. Pertama, setiap peguam bertindak mengikut arahan anak guamnya dan dalam kes ini, tambah Ambiga, Sivakumar tidak pernah meminta penasihat undang-undang negeri berbuat demikian.
Kedua, penasihat undang-undang sendiri berada dalam kedudukan konflik kerana beliau mewakili Dr Zambry dalam kes menteri besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin mencabar kesahihan pelantikan wakil rakyat BN itu.
"Bagaimana mungkin beliau (penasihat) atau jabatannya boleh bertindak bagi pihak Speaker yang dicabar oleh Dr Zambry?" kata Ambiga dalam satu kenyataan.
"Wajar diingatkan, keadilan bukan sahaja perlu ditegakkan tetapi perlu dilihat telah ditegakkan. Mahkamah bertanggungjawab menegakkan prinsip tertinggi keadilan, kesaksamaaan dan kebebasan."
Ambiga juga menyifatkan Speaker tidak mempunyai pilihan kecuali terus mengadakan sidang tergempar DUN di luar bangunan rasminya setelah dihalang oleh polis.
Kesahan tindakan polis ini membangkitkan persoalan yang serius, tambahnya. Apatah lagi, tegasnya, tindakan polis itu bersandarkan arahan setiausaha DUN yang hanya seorang pegawai pentadbiran yang tidak mempunyai kuasa untuk menafsir sama ada sesuatu persidangan dewan itu sah atau sebaliknya.
"Polis dengan itu telah bertindak secara tidak wajar apabila mencanggahi kehendak Speaker dan DUN. Kesilapan ini diburukkan lagi oleh keputusan Mahkamah Tinggi," kata Ambiga.

"Jika di atas pokok pun ia sah" Prof Madya Dr Agus
SUMBER : Bernama

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri tergempar hari ini tidak mengikut perlembagaan, menurut pakar undang-undang perlembagaan Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Beliau berkata tiga usul yang diluluskan adalah tidak berperlembagaan.Ini kerana persidangan itu diadakan 100 meter dari Bangunan Dewan Undangan Negeri, bertentangan dengan Aturan Mesyuarat, yang menyatakan bahawa masa dan tempat persidangan itu mestilah yang diwartakan, katanya.
Beliau merujuk Aturan Mesyuarat 10(1) yang menyatakan terma Dewan Undangan Negeri ialah pada masa dan tempat yang ditentukan oleh Sultan Perak dari masa ke semasa melalui pengisytiharan yang diwartakan.
Sementara itu, penganalisis politik Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff mempunyai pandangan yang berbeza mengenai perkara ini."Jika di atas pokok pun ia sah", itu pandangannya ketika ditanya mengenai kesahihan "persidangan tergempar" itu yang diadakan di bawah pokok di luar bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan Dewan Undangan Negeri Perak, di Ipoh pagi ini.
Persidangan itu, yang dipanggil oleh Speaker DUN Perak V. Sivakumar, berlangsung selama kira-kira 30 minit bermula 10.20 pagi, dihadiri semua 27 ADUN PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Mohammad Agus, seorang pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berpandangan bahawa tiga usul yang diluluskan itu juga sah dan tidak boleh dicabar di dalam mahkamah.
Usul-usul itu ialah menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar; membubarkan Dewan bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan; dan mengesahkan keputusan Speaker Sivakumar melarang Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota exco kerajaan negeri daripada menghadiri persidangan dewan.
"Sebelum ini Dewan Undangan Negeri Perak hanya ditangguhkan dan tidak dihentikan. Jika ditangguhkan, maka Speaker mempunyai kuasa untuk mengadakan persidangan tergempar itu tanpa mendapat perkenan Sultan," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Presiden Majlis Peguam Malaysia Datuk Ambiga Sreenevasan berkata perkara yang berlaku di Perak di luar dugaan dan membabitkan isu perundangan yang kompleks.
Sungguhpun ia tidak munasabah untuk satu pandangan konklusif mereka, sesetengah perkara itu hendaklah ditangani sebagai satu perkara prinsip, katanya dalam kenyataan.
Beliau menanyakan sama ada dibenarkan untuk mengadakan persidangan Dewan Undangan di luar Bangunan Sekretariat Negeri.
"Tentulah, Bangunan Sekretariat Negeri di mana Dewan Undangan Negeri patut diadakan.
"Bagaimanapun, Speaker dan Adun Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilarang daripada mengadakannya di satu tempat yang sesuai oleh polis dan ini membangkitkan isu serius mengenai kesahihan tindakan polis.
"Dengan itu Speaker tersebut tidak ada pilihan tetapi untuk bertindak dalam apa yang dilihat sebagai kuasa yang luas untuk mengadakan persidangan ini di tempat lain," kata beliau.
Beliau berkata ada pandangan berbeza, tetapi keadaan itu di luar dugaan dan Aturan Mesyuarat mungkin tidak meliputi sepenuhnya seperti keadaan yang tidak diingini, menyerahkan kepada Speaker dengan kuasa untuk bertindak mengikut keadaan kes itu.
Sreenevasan berkata keadaan itu tidak boleh dipertahankan daripada kritikan dan hanya mendesak untuk satu perkara iaitu pilihan raya negeri."Kini ada harapan untuk ini berlaku. Biarlah rakyat menentukan," tambah beliau.