Monday, September 29, 2008

SALAM AIDIL FITRI

Hari ni saya balik kampung sebelah isteri di Jengka 10. Blog ini tak akan di update beberapa hari kerana tiada Streamix kat sana. Kita jumpa selepas raya.

Selamat hari raya, Maaf zahir dan batin. Kepada semua sahabat dan pengunjung... semoga selamat dalam perjalanan ke kampung... Berhati-hati ketika memandu... ingat orang yang disayang.

Apapun, bacalah beberapa posting terakhir saya tentang ISA. Jangan lupakan mereka dalam kita menyambut hari raya...

Allahu Akbar..!!

Sunday, September 28, 2008

LOGO MALAYSIA BEBAS DARI ISA

Jom masukkan logo ni kat gadget blog anda sebagai tanda anda mahukan Malaysia bebas dari ISA. Harap semua bloger dapat menyahut seruan ini. Kalau ada logo yang lagi power, sila sebarkan kepada semua bloger yang cintakan keadilan dan bencikan kezaliman.

Saturday, September 27, 2008

PETIKAN HARAKAHDAILY

Pemuda PAS Pahang sumbang RM5 ribu kepada tabung ISA
Anis Nazri/ anisnazri@harakah.net.my/ Fri Sep 26/08 11:42:07 pm

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Hrkh) - Dewan pemuda PAS Pahang menyampaikan sumbangan berjumlah RM 5000 sebagai bantuan meringankan beban keluarga tahanan ISA, khususnya menjelang Syawal akan datang.

Pemangku Ketua Pemuda PAS Pahang, Suhaimi Md Saad, dalam kunjungan ke pejabat Harakah, hari ini menyampaikan sumbangan tersebut kepada Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) melalui Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman, pagi tadi.

Menurut Suhaimi, sumbangan tersebut menunjukkan kebersamaan dewan itu dengan isteri-isteri tahanan ISA dalam memahami dan menyelami kesengsaraan keluarga tahanan yang ditinggalkan.

Dalam pada itu, aktivis GMI, Norlaila Othman, yang turut hadir, menyatakan bahawa Suhaimi dan Pemuda PAS Pahang sentiasa komited dalam isu kebajikan keluarga tahanan ISA.
"Bukan baru sekarang, ustaz dan Pemuda Pahang membantu GMI. Tetapi dari dahulu lagi. Malah, ustaz juga yang berjaya menjual buku 'Dunia Tanpa Suami' tulisan saya dan beberapa rakan lain dengan bilangan yang banyak," kata beliau.

Sementara itu, Ahmad Lutfi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dewan Pemuda PAS Pahang atas sumbangan ikhlas yang diberikan kepada GMI untuk meringankan beban keluarga ISA.

Beliau turut mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada para pembaca Harakah yang tidak putus-putus menyalurkan bantuan ke tabung yang diwujudkan Harakah bagi tujuan tersebut.

"Pada awalnya, kami di Harakah tidak menjangkakan akan mendapat sambutan yang begitu baik dari seluruh masyarakat. Sehingga hari ini, tabung kami telah mencecah hampir RM 100 ribu dan sebahagiannya sudah disampaikan kepada GMI dan keluarga tahanan sendiri," kata beliau.

Dalam majlis sama, Harakah turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM 30 000 kepada GMI.
Sebelum ini, dalam rangka misi Harakah ke Sabah bagi menemui keluarga tahanan ISA, sebanyak RM15 000 berjaya disampaikan kepada sepuluh keluarga, termasuk anak-anak kecil tahanan ISA.

Tinjauan Harakah selama dua hari bermula 23 Sept hingga 24 Sept lalu turut menyaksikan kebanyakan anak-anak Sabah tidak berpeluang bersekolah kerana kesempitan hidup.

Atas kesedaran tentang kepentingan ilmu, Harakah sekali lagi berusaha untuk mengumpul dana bagi membantu anak-anak Sabah dapat meneruskan kehidupan mereka seperti kanak-kanak lain untuk mendapat hak pendidikan sewajarnya.

Bagi pembaca yang prihatin dengan nasib malang keluarga mangsa ISA dan anak-anak Sabah yang keciciran ini, sila hantar sumbangan anda kepada HARAKAHDAILY DOT COM, nombor akaun Maybank 564070000336

Friday, September 26, 2008

PERUTUSAN AIDIL FITRI

Ramadhan makin beransur meninggalkan kita, Aidil Fitri bakal menjelma… Selama sebulan kita didik dalam madrasah Ramadhan. Tarbiyyah Allah ini bertujuan untuk mencapai darjat ketakwaan sebagaiman firman Allah

Wahai orang yang beriman telah diwajibkan kepada kamu puasa sebagaiman orang-orang byang terdahulu, mudah mudahan kamu akan menjadi manusia bertakwa. (Al Baqarah 183)

Dalam kita sibuk membuat persiapan menyambut Aidil Fitri jangan lupa, hidupkan malam-malam terakhir ini dengan iktikaf, munajat, tadarus dan segala amal baik yang lain

Jihad menentang Kezaliman

Dalam kita merayakan Aidil Fitri, disana masih ramai saudara kita yang ditahan di bawah ISA. Anak dan isteri mereka terus berduka. Sebahagiannya sudah 7 tahun berjerijikan besi dan terlebih pilu anak isteri mereka terus bertarung dengan kesan kezaliman ini. Mereka merasai kesusahan tanpa ayah dan suami disisi. ISA meragut kasih sayang antara mereka.

Allah menjadikan perang Badar dalam bulan Ramadhan. Semuanya bertujuan untuk mengingatkan kita golongan yang dizalimi perlu dibela dan pelaku zalim mesti direntap dari kuasa. Nabi keluar ke medan Badar untuk menentang golongan yang zalim. Firman Allah

Telah diizinkan berperang, kerana sesungguhnya mereka telah dizalimi. Iaitu orang orang diusir dari kampung halaman mereka tanpa apa-apa alasan semata-mata mereka berkata tuhan kami adalah Allah. Sesungguhnya Allah berkuasa menolong hambanya. (Al Hajj: 39)

Marilah kita mengambil semangat Badar ini, untuk terus istiqamah menentang kezaliman.

Dikesempatan ini saya susun 10 jari memohon maaf kepada semua atas kesilapan dan kelemahan ini. Maaf juga kepada sahabat-sahabat yang hampa kerana saya gagal menunaikan permintaan untuk bertazkirah di tempat mereka. Apakan daya Ramadhan hanya sebulan. Jadual Tazkirah ini telah penuh 2 minggu sebelum Ramadhan... Cuba lagi di tahun depan...

Salam Aidil Fitri.. Maaf zahir dan batin...


Suhaimi Md Saad
Pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS
Negeri Pahang

Thursday, September 25, 2008

JEJAK RAMADHAN : BANTU KELUARGA MANGSA ISA

Sebentar tadi sekitar jam 12, saya telah ke Pejabat Harakah KL untuk menyerahkan sumbangan yang saya lancar di beberapa masjid/ surau yang saya menyampaikan tazkirah Ramadhan. Jumlah RM 5000 tak lah berapa banyak, namun ini sahaja sumbangan tenaga yang mampu saya lakukan sebagi tanda saya turut bersama merasai penderitaan keluarga mangsa ISA.

Turut bersama saya ialah Ust. Junaidi (Bendahari DPPNP), Ust Jauhari (Exco DPPNP) dan Maslan Ardy (SUK DPPNP).

Kami di sambut mesra oleh kakitangan Harakah. "Cikgu.. Bila sampai" Anis Sarnazmi wartawan harakah menyapa saya. Anis Sarnazmi adalah anak murid saya ketika saya mengajar di Institut Berakan Kuala Terengganu. Semasa di institut Berakan beliau banyak membantu saya sehingga lahirnya majalah sulung sekolah, bersama Adhana, Sharifah dan ramai lagi. Apa khabar mereka semua sekarang ni yek.

Menerima wang RM 5000 itu, bagi pihak Keluarga mangsa ISA ialah Sdr Lutfi Othman, Ketua pengarang Harakah, Kak Norlaila (Aktivis GMI). Suami beliau masih dalam tahanan ISA. Turut hadir bendahari GMI yang saya tak ingat nama.

Mereka baru sahaja kembali dari Sabah, juga dalam misi membantu keluarga tahanan ISA di sana. Rupanya menurut Kak Norlaila keluarga mangsa ISA di Sabah lebih dhaif. Mereka langsung tak punya kesempatan untuk melihat ayah mereka, lantaran kemiskinan dan laut China Selatan yang menjadi pemisah. Mereka hidup tanpa pendidikan dan persekolahan, dihimpit kemiskinan.. Air mata saya bergenang bila cerita itu menerjah ke telinga saya..

Saya baru sahaja mengenali Kak Norlaila. Wanita besi yang tabah, terpisah dengan suami selama 7 tahun. Kagum saya dengan semangatnya.. Sepenuh masa membantu keluarga mangsa ISA melalui GMI. Kita yang bergelar ustaz ini, rasa malu bila melihat semangat juangnya dan istiqamah beliau menentang kezaliman yang dikenakan ke atas suaminya dan suami rakan-rakannya.

Bila bersembang, beliau begitu bersemangat dan berjiwa besar, beliau mampu menyembunyikan kesedihan dan derita yang beliau tanggung. Selamilah luahan perasaan beliau yang terbaru di bawah ini. Saya doakan semoga beliau terus tabah atas ujian Allah ini. Saya dan Dewan Pemuda PAS Negeri akan terus bersama membantu semua yang dizalimi ini. Insya Allah

7 tahun abah tak pernah belikan baju raya, kasut baru untuk Suhaib....
Norlaila Othman
Aku menuju ke peti surat dan mengambil dua keping kad Raya yang dihantar oleh suami yang masih 'disimpan' oleh Hamid Albar di Kem Kamunting. Satu untuk ku dan satu untuk Suhaib.

Jariku terlalu ingin untuk mengoyak dan membaca isinya tetapi segera disergah oleh Suhaib yang akan di hantar ke sekolah untuk program iktikaf dan mukhayyam.

"Ummi, kita baca kad dalam kereta saja lah, dah lewat ni..," kata-kata itu mematikan segala keinginan tersebut.

Aku memandu agak perlahan. Suhaib yang kelihatan agak ceria, memasang memasang radio dan sesekali tersenyum mendengar celoteh DJ bertugas.

"Bacalah kad yang abah kirim tu" kataku sambil menjeling padanya yang tersandar disebelah ku. Dia segera mencapai envelope putih bersaiz 4 x 8 inci itu mengoyakkan kulit dan mengeluarkan isinya. Sebuah kad raya yang manis warnanya, coklat dengan kombinasi keemasan.

Suhaib membaca seketika, tapi kemudian segera meletakkan kad itu di dalam laci dashboard.
Wajahnya tiba-tiba muram dan muncungnya kelihatan agak panjang.

"Kenapa ni? Apa yang abah tulis? Abah marah Suhaib ke" tanya ku bertalu-talu. Suhaib mendiamkan diri. Wajahnya dihalakan ke arah tingkap sebelah kiri.

Aku sudah masak benar dengan sikap orang bujang di sebelahku ini. Malas nak layan. Kami berdua sama-sama membatukan diri.

Perjalanan dari Keramat ke Gombak terasa begitu lama sekali. Tiba di laman sekolah, Suhaib segera menghulurkan tangan, bersalam dan mencium tanganku.

Aku ingin mencium pipinya tetapi cepat-cepat dia memalingkan wajahnya. Aku perasan hidung dan matanya merah sedikit.

Tanpa sepatah kata, terus saja dia membuka pintu kereta dan berjalan meninggalkan ku yang masih termangu-mangu.

Aku mencapai kad raya di laci kereta dan meneruskan perjalanan menghala ke Hulu Kelang. Aku cuba membaca kad Raya itu,tetapi tulisan yang agak halus itu menyukarkan aku memahami isi kandungannya.

Aku memberhentikan kereta di tepi jalan dan melihat kad itu semula.

"Suhaib, di Hari Raya ini, abah mohon jutaan maaf kerana sejak tujuh tahun yang lalu, abah tak pernah belikan baju Raya dan kasut baru untuk Suhaib. Abah juga terlalu ingin untuk membawa Suhaib ke kedai dan membeli barang-barang yang Suhaib suka.

"Abah juga minta maaf kerana tidak dapat membesarkan Suhaib dan memberi didikan yang baik sepertimana bapa orang lain. Abah terlalu rindu untuk bersama-sama Suhaib dan Umi dan menyambut Raya macam orang lain....."

Ohhhh! Inikah ucapan yang menyebabkan Suhaib muncung macam ikan todak. Aku pun terasa sayu juga membaca ucapan itu.Air mataku sendiri bergenang. Nasib baik aku sedang bersendirian di kereta.

Pada ketika itu, aku hanya mampu berdoa supaya kezaliman ISA segera di angkat dari keluarga kami

Wednesday, September 24, 2008

RAMADHAN: BULAN MENENTANG KEZALIMAN ISA

Saya sangat tersentuh apabila berbicara soal kezaliman ISA. Manakan tidak, akta yang zalim ini meragut kasih sayang suami isteri dan anak-anak. Mereka dihumban ke dalam tahanan tanpa boleh membela diri. Muktamat bersalah...

Sebab itulah dalam siri tazkirah saya sepanjang ramadhan saya selit kisah disebalik tabir keluarga ISA. Penderitaan isteri dan anak-anak mereka. Saya menjelajah ke seluruh surau/ masjid bersama Lap top dan LCD untuk dedahkan sebahagian dari penderitaan keluarga ISA.

Amaran keras dari Allah ke atas penyokong kezaliman, dalam surah Hud ayat 113
Jangan kamu cenderung hati pada orang-orang yang zalim nanti kamu akan disambar api neraka, sekali-kali kamu tidak mempunyai penolong selain dari Allah, kemudian kamu tak akan diberi pertolongan.

Walaupun saya telah acap kali ulangi kisah yang sama dalam tazkirah di tempat berbeza namun, saya tetap tak dapat menahan sebak di dada apabila berbicara soal penderitaan mereka. Hampir setiap kali saya bergenang air mata dalam siri tazkirah saya.

Setakat ini boleh dikatakan hampir semua surau/masjid yg saya paparkan isu ini, maka akan bercucuranlah air mata jamaah di situ. Kezaliman ini menyentuh perasaan semua. ISA memang patut menerima kutukan laknat dari seluruh rakyat yg cintakan keadilan. Emosinya saya, sehingga saya katakan "sesiapa yg bersetuju dengan ISA, mereka tak layak untuk bergelar manusia". Bloger dari muadzam melahirkan rasanya selepas mengikuti tazkirah itu. Klik link di bawah
Lihatlah anak-anak ini. Sedari kecil lagi mereka terpaksa berdikari untuk menyara keluarga. Mereka hidup dibawah bayangan kezaliman. Hak ayah yg dicintai untuk bersama anak dirampas, kasih sayang diragut. Manusia apakah, yang masih tergamak menyokong kezaliman ini?

Ini sahaja yang mampu saya bantu... memberi penerangan pada rakyat tentang kezaliman ISA, melancarkan sumbangan untuk mereka dan berdoa semoga semua keluarga ini menjadi insan yang tabah mengharungi kezaliman ini.

Hari ini hati saya tersentuh lagi dengan kisah di bawah... ikutilah kisah itu. Mengertilah, mengapa kita wajib menentang ISA

Hari raya tanpa 'Abi', terpisah kerana kezaliman ISA

Semalam (23 September), penulis bersama rakan wartawan, Azamin Amin dan, Penyunting, M.Khaleel melangkah kaki ke Simpang Durian, Jelebu, Negeri Sembilan, satu-satunya kampung dimana orang Melayu dahulu berkubu daripada ancaman komunis.

Jarak perjalanan dari Kuala Lumpur ke Simpang Durian mengambil masa kira-kira empat jam jika kelajuan pemanduan sekitar 80 km sejam.

Maklumlah perjalanan dalam musim perayaan ini memaksa penulis memperlahankan kenderaan, kurangkan memotong dan cukup berhati-hati ketika mahu mencelah.

Semalam juga Ops Sikap dilancarkan di seluruh negara yang mana polis dan JPJ ditugaskan mengawal seluruh trafik.

Misi kami ke Kampung Simpang Pertang untuk menyampaikan bantuan hari raya kepada seorang isteri tahanan ISA, Hidayu Kamaruzzaman yang mana suaminya, Mohammad Amir Mat Hanafiah ditahan pada 5 April 2007.

Hidayu kini tinggal dengan bapanya, Kamaruzzaman Mat Kilau yang hanya bekerja sebagai Penoreh Getah, sementara Hidayu terpaksa bekerja sebagai Guru Kafa dengan gaji hanya RM500 sebulan.

Setibanya kami di rumah Hidayu, tiga anaknya, Fathur Rahman Al-Ghazi; Uwais Al-Qarani dan Ubaidah Al-Harith menyambut kami dengan mesra malah seakan telah mengenali kami seperti bapa saudara mereka.

Bapa Hidayu (Kamaruzzaman) membuka pintu pagar rumah yang telah usang dengan memandang tepat ke arah muka kami sambil menghulurkan salam.

Menitis airmata penulis apabila melihat, anak sulong Hidayu, (Fatur Rahman) meluru ke arah penulis memeluk erat penulis bagaikan memeluk bapa sendiri.

Terpancar di wajah Fatur Rahman kerinduan yang amat sangat malah adik-adiknya turut mendakap penulis, seakan tidak mahu kami segera beredar.

Dalam pertemuan selama kira-kira setengah jam itu, sempat kami berkongsi pengalaman Hidayu, seorang isteri yang masih muda yang terpaksa menempuhi ranjau hidup sendirian tanpa suami di sisi.

Walaupun Hidayu rancak berbual dengan kami mengenai pengalamannya, namun dari sayu matanya, terpancar perasaan yang amat mendalam, kesengsaraan hidup dengan suami terpisah di tembok besi kejam binaan kerajaan.

Sebaris kata HIdayu yang tidak dapat penulis lupakan "Abang kata, tak mengapa sabarlah dengan dugaan, insyaAllah Allah akan membalasnya di akhirat".

Renungan sayu wajah Hidayu dan anak-anaknya sememangnya memberikan satu lagi pengalaman yang cukup sedih kepada penulis yang hanya mampu menukil kisah beliau hanya dalam tulisan.

Apakah perasaan sebenar Hidayu tatkala berhadapan dengan sengsara ciptaan ISA ini, hanya Hidayu dan anak-anak serta ayahnya yang telah tuan sahaja yang mengetahui.

Sedetik tidak pernah Hidayu menyesali dugaan itu, tetapi di hatinya jelas terbayang betapa beliau tidak redha suaminya diperlakukan sedemikian tanpa perbicaraan di mahkamah untuk membuktikan kesalahan.

Sesungguhnya tuduhan terbabit dengan kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) menjadi alasan kerajaan untuk menahannya, namun sehingga kini Hidayu pelik mengapa tuduhan sahaja yang dilemparkan sedangkan proses pembuktian tidak pernah berlaku.

Hidayu pasrah dengan dugaan itu, namun hatinya sesekali tercuit dengan suara anak-anak yang meminta bertemu dengan Abi (Ayah) yang masih terpenjara di Kem Tahanan Kamunting.

Biarpun rakan-rakan sebaya dengan anak-anaknya kini cukup gembira menyambut Aidilfitri, namun ujar Hidayu, anak-anaknya lebih merindui Abi yang entah bila akan dibebaskan.

Hiba perasaan penulis tatkala Hidayu menyatakan anak sulongnya sukar untuk menjawab pertanyaan rakan-rakan di Tadika apabila rakan bertanyakan di mana ayah mereka.

Entah bilakah Fatur Rahman, Uwais dan Ubaidah akan dapat mendakap tubuh bapa mereka, hanya Allah yang tahu.

Sebelum pulang, penulis telah menyampaikan bantuan berupa wang Rm1000 untuk persiapan hari raya kepada Hidayu.

Wang ini diberi kepada isteri-isteri tahanan ISA hasil kutipan tabung Harakahdaily yang diusahakan selama ini.

Namun terdetik di hati penulis, apalah sangat bantuan Rm1000 berbanding berat resah dan hiba kerinduan Hidayu dan anak-anak terhadap Mohammad Amir yang hanya akan beraya di tirai besi.

Kisah ini hanya secebis kisah malang isteri-isteri tahanan ISA yang merana selepas suami mereka ditahan tanpa bicara, namun kisah ini tidak pernah menjadi pedoman kepada pemerintah untuk menghapuskan undang-undang rimba ini

Tuesday, September 23, 2008

SINAR HARIAN : 23 SEPTEMBER


Monday, September 22, 2008

JEJAK RAMADHAN DI PENJARA PENOR

Buat julung kalinya PAS Negeri Pahang diterima masuk ke Penjara Penor untuk menyampaikan sumbangan Ramadhan kepada penghuni penjara Penor dan kakitangannya. Program yang dirancang oleh Lajnah Kebajikan PAS Negeri ini berjaya mendekatkan PAS dengan penghuni Penjara dan kakitangan penjara. Terdahulu daripada itu Cikgu Majid Hasan (setiausaha BPPNP) meyampaikan ucapan aluan selaku ketua rombongan dan diikuti dengan tazkirah ramadhan dari Ust Abu Kasim Manaf (Ketua Dewan Ulama PAS Pahang)

Menariknya, Ust Abu Kasim telah menceritakan kisah yg dipetik dari hadis sahih tentang seorang lelaki yg telah membunuh 99 orang kemuan membunuh seorang lagi, menjadikan 100 mangsa yg dibunuh. Kemuadian mencari jalan untuk bertaubat. Kisah itu memberi pengajaran pintu taubat sentiasa terbuka untuk orang yg ingin kembali pada Allah.

Sebanyak 50 bungkusan diagihkan kepada penghuni penjara dan 100 bungkusan lagi untuk kakitangan penjara. Turut Bersama ialah YB Syed Muhammad (ADUN Beserah), Ust Suhaimi Saad (Pemangku Ketua DPPNP), Ustazah Azizah (ketua DMPNP), Puan Salmiah (Ketua Lajnah Kebajikan Negeri), Ust Rosli Jabar (YDP PAS Kuantan)

Saturday, September 20, 2008

PANDANGANKU 1

16 September.. Kenapa kerana tarikh itu menyebabkan kita bermasam muka, tertegang leher dan seolah hilang pertimbangan. Keluar perkataan pembohong... padan muka.. dan macam macam lagi. Beginikah adab kita bersahabat... adab berpakat.

Sejarah PAS telah membuktikan .. kitalah antara sahabat yg boleh dipercayai. Kita tak pernah khianat dengan sahabat. Kita bersahabat dengan Parti Negara sehinggalah akhirnya Parti itu khinat apabila 3 ADUNnya di Terengganu menyokong usul undi tak percaya pada kerajaan PAS yang menyaksikan kerajaan PAS tumbang di terengganu 1959.

1973 kita berpakat dengan UMNO sehingga tertubuhnya BN, malangnya tahun 1977 kita ditendang jatuh tersungkur sehingga hilang kerajaan di Kelantan.

1990 kita bersama Semangat 46.. sekali lagi kita di khianati... apabila semangat 46 kembali berpeluk dengan UMNO meninggalkan kita... Kerajaan PAS di kelantan terganggu bila semua Exco S46 enggan meletakkan jawatan sehinggalah Dr M memerintahkan semua anggota S46 yang telah menyertai UMNO meninggalkan kerusi Exco itu.

Terasa betapa pedihnya bila dikhianati... Kepedihan ini mengajar kita lebih berhati-hati tetapi tidaklah sampai bertindak khianat kepada rakan baru, sebab pengalaman mengajar kita, bila kita tak suka ianya berlaku ke atas kita, kita juga tak akan lakukan pada orang lain.

Andainya kita di khianati lagi cukuplah Allah yang menjadi pelindung kita... Dan selama ini pun Allahlah yang melindungi perjuangan ini sehingga ke tahap ini.
Pandangan saya tak semestinya betul sebab saya manusia yang terdedah pada kelemahan dan kesalahan..

Saya akan sambung lagi bicara ini.... Tunggu ye. Sambil tu bacalah pandangan sahabat kita Ust One-g di sini

Saturday, September 13, 2008

KENYATAAN MEDIA: MEMBANTAH PENGGUNAAN ISA

Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP) mengutuk keras penggunaan ISA ke atas Bloger Raja Petra Kamaruddin, Wartawan Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng dan YB Teresa Kok Exco kerajaan negeri Selangor yg juga Ahli parlimen.

Bantahan ini dibuat bukan kerana menyokong kesalahan yang mungkin mereka lakukan, tetapi atas semangat menjunjung prinsip keadilan. Orang yang dituduh mesti dibuktikan di mahkamah dan diberi peluang untuk membela diri.

Sejarah telah membuktikan ISA hanya digunakan untuk musuh politik UMNO/BN. Apabila politik UMNO/BN terancam tindakan terdesak dilakukan dengan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri.

DPPNP melihat tangkapan ini dibuat bertujuan untuk melindungi individu dalam UMNO dan rakan kongsi mereka Gerakan dan MCA yang menghidupkan api perkauman. Perbalahan di kalangan parti komponen semakin parah dan akhirnya turut mengherat isu perkauman, maka jalan pintas untuk menutup tembelang ini ialah ISA.

DPPNP juga sangat tidak bersetuju jika ISA ini juga digunakan untuk menahan pemimpin UMNO dan pemimpin parti komponen BN lain, sekalipun mereka terlibat menghina agama Islam dan menghidupkan api perkauman. Kita tetap menjunjung prinsip keadilan. Mereka yang bersalah mesti diheret ke mahkamah.

DPPNP mendesak Kementerian Dalam Negeri segera membebaskan mereka dan jika ada tuduhan tertentu, maka kes mereka mesti dirujuk ke mahkamah.

Sekian
SUHAIMI MD SAAD
Pemangku Ketua DPPNP

Wednesday, September 10, 2008

KUDA TUA "TAKUT MENANG"

Adnan Tak Tanding Ketua Pemuda UMNO Kerana takut Menang, beberapa akhbar melaporkan sila klik Bernama, Berita harian, Metro.

Tak dapat saya nak tahan ketawa bila membaca berita itu. Setiap kali tajuk itu terbayang di ruang mata, pastinya saya akan ketawa. Apa tidaknya berita itu mengambarkan seolah-olah beliau antara calon popular yang akan menang besar dalam pertandingan Ketua Pemuda UMNO nanti.

Ketika membaca berita Adnan menawar diri untuk tanding Ketua Pemuda UMNO Malaysia, dapatlah disimpukan bahawa anak-anak muda kini tidak bersama UMNO, akhirnya kuda tua terpaksa menawar diri.

Malangnya selepas Adnan Yaakub mengumumkan kesediaan untuk turut merebut jawatan ketua Pemuda UMNO Malaysia, hanya Dato Khairuddin Yaakub,Ketua Pemuda UMNO Pahang sahaja yang bangkit untuk menyokong kuda tua ini.

Petikan Utusan Malaysia melaporkan, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Datuk Khairuddin Yaakob berkata, pihaknya beranggapan Adnan merupakan calon terbaik bagi mengisi jawatan berkenaan kerana beliau seorang yang berkarisma dan memiliki personaliti tegas yang sesuai bagi mengawal golongan muda dalam parti.

Kita pun hairan dimana 'karismanya' Adnan. Perintah mahkamah supaya Kerajaan negeri Pahang bayar gantirugi termasuk faedah mencecah RM 60 juta kini pada Seruan gemilang diabaikan. Dato Tajudin bekas Setiuasaha UMNO Pahang mendakwa Adnan terlibat dalam jualan tanah UMNO kepada syarikat bukan Bumiputra. Menggunakan wang rakyat dalam pembelian no plat kereta bernilai RM 48,000. Aksi selamba Adnan di Sanggang, sehingga hari ni beliau belum memohon maaf atas ketelanjuran itu. Banyak lagi tindakan lain sepanjang beliau memimpin Pahang. Semua itu mendedahkan Adnan tidak berkarisma dan hilang kelayakan untuk membimbing pemuda.
Sebenarnya pujian melangit itu ada udang di sebalik batu. Dato Khairuddin mendahului individu lain di Pahang dalam projek mengemis untuk disenaraikan sebagai calon dalam pilihanraya akan datang.

Sehingga hari ini tiada respon dari mana-mana ketua pemuda negeri lain. Respon dari akar umbi pemuda sangat penting sebagai isyarat sama ada akan dapat sokongan besar atau tidak. Setelah sekian lama menunggu selepas menawar diri, Adnan dapati tiada sokongan.

Malu untuk mengaku kalah, maka mana-mana manusia sombong akan memberikan pelbagai alasan. Cuma alasan yang Adnan berika sangat melucukan. "Beliau takut menang"

Tuesday, September 9, 2008

SINIS: PAS MUQABALAH, SAIFUL MUBAHALAH, BN MENGELABAH

Saya tertarik dengan seloka Keris Silau yang disiarkan dalam Tranung kite, jom ikuti seloka itu. Ada loghat tertentu saya tukarkan supaya menepati citarasa kami di Pantai Timur. Maaf ye Keris Silau

Bila Pak Lah sedar Anwar bagi masalah
Dia istihar UMNO dan PAS bermuzakarah
PAS kata bukan muzakarah tapi muqabalah
Lalu tersepit dia suruh si Saiful mubahalah
Semuanya tak menjadi maka P44 BN kalah

Anwar kata 16 September tak ada masalah
BN tenggelam punca dan mula menggelabah
Dihantar 51 MP BN ke Taiwan oleh Pak Lah
Betul-betul punya bangang cara BN memerintah
Apa punya haprak mentaliti BN dan Pak Lah
Itu tanda BN dah masuk kategori najis Mughalazah

Perabis duit hantar MP BN ke Taiwan
Misinya ialah belajar sambil berjalan sakan
Malam boleh berseronok di kelab hiburan
Sepatutnya beramal lebih di bulan Ramadan

Macamlah tak boleh jalan lain-lain bulan
Pak Lah dan Najib kata ianya kebetulan
Jangan ingat rakyat bodoh tak guna fikiran
Kalau tersepit eloklah dua-dua letak jawatan

Mufti Perlis pun dah tulis pantun 'cari ganti'
Kalau negara kacau eloklah dua-dua berenti
Mana boleh Perompak ganti Pencuri
Perompak tu Najib, Pencuri tu Dolah Bedwi
Ulama berhikmah bukan hentam peribadi

Itu mesej supaya Pak Lah sedar diri
Nak kawal Mat Semail pun tak reti
Alasan dia, Ahmad tak dapat dihubungi
Apa punya haprak kita punya Perdana Menteri
Ya Allah awat teruk sangat SamDol sorang ni

Monday, September 8, 2008

TUNAIKAN ZAKAT ANDA

Berikut ialah paparan kadar harga zakat fitrah bagi seluruh negara.

Bagi negeri Pahang nilainya ialah RM7.30/kepala, iaitu kenaikan RM2.50 daripada tahun lalu.

Zakat merupakan rukun Islam keempat selepas berpuasa dan zakat fitrah wajib ditunaikan sebelum Aidil fitri.

Tujuan zakat ini dimanfaatkan oleh asnaf yang lapan, khususnya fakir miskin bagi menggembirakan mereka menjelang sambutan hari lebaran.

Ada yang merungut kenapa harga fitrah naik melambung tahun ini (seperti kenaikan harga minyak Jun lalu)?

Ada yang berkata ini disebabkan kenaikan harga beras, ada yang berkata disebabkan nilai mata wang kita sudah makin mengecil berbanding barangan di pasaran dan ada pula yang berpendapat kos kehidupan di Malaysia makin meningkat sehingga keluarga yang tergolong dalam paras kemiskinan sudah kian ramai.

Apa-apa pun takwil dan yang dipersoalkan, kewajiban mesti ditunaikan bagi menyempurnakan ibadah yang diperintahkan Allah SWT ini.

Ayuh tunaikan zakat anda segara

Thursday, August 28, 2008

BUKTI AGENDA DAILY BANGANG

Analisis/ laporan akhbar portal Agenda daily mengenai keputusan pilihanraya kecil Permatang Pauh. Akhbar ini juga merupakan penganjur 2 debat yang melibatkan Dato Seri Anwar dan Dato Shabery Chik, Lim Guan Eng dan Koh Tsu Koon. Tujuannya supaya budaya ilmiah dan intelek dapat dipupuk. Tak sangka pulak Agenda Daily sendiri gagal merealisasikan budaya itu. Buktinya lihatlah berita di bawah (klik pada tajuk)

Agenda Daily melaporkan

Mac lalu, Wan Azizah memperolehi 30,338 undi sedangkan Anwar hanya mendapat 31, 195 undi sahaja. Jika dibandingkan undi mereka, Anwar cuma dapat lebih 857 undi sahaja.

Kesimpulannya, dengan 857 undi baru yang memihaknya, pemimpin de Facto PKR itu tidak sehebat mana walaupun mendapat sokongan dalam dan luar negara untuk menenangi semula kerusi Permatang Pauh yang diwarisi isterinya selama 10 tahun sebelum ini

Hakikatnya ini adalah pilihanraya kecil. Selalunya dalam pilihanraya kecil pembangkang sukar menang. Kalau menang pun, majoritinya kecil. Segala jentera digunakan. UMNO memanipulasi punggung SayFool. Sumpah SayFool dijaja merata-rata. Akhbar dan TV melaporkan berita negatif tentang DSAI dan penyokongnya. Pun begitu beliau tetap berjaya dengan majoriti bergaya.

Saya cabar Agenda Daily menganalisis fakta di bawah.

Pilihanraya kali ini jumlah majoriti DS Anwar lebih besar dari jumlah undi yang diterima oleh Arif Shah.

DUN Seberang Jaya diwakili Arif Shah manakala Penanti diwakili pemimpin PKR dan Permatang Pasir pula wakil PAS. Di bawah ini adalah undi mengikut DUN. Mari kita lihat siapa yang kena?

DUN Penanti undi menyumbangkan kepada DS Anwar 8,054 undi, Arif Shah (4,229) dan Hanafi (27).

DUN Permatang Pasir, DS Anwar mendapat 12,034 undi, Arif Shah (4,381) dan Hanafi (26).

Di DUN Seberang Jaya, DS Anwar memperoleh 11,084 undi, Arif Shah (6,345) dan Hanafi (36). Untuk pengetahuan semua Arif Shah adalah wakil rakyat di Seberang Jaya.

Beliau tewas dengan majoriti 4,739 di DUNnya sendiri. Sepatutnya beliau menang di kubu beliau. Lepas ni Arif Shah kena fikir untuk cari kerja lain selepas PRU akan datang. Bolehlah tinjau mana-mana kawasan perumahan untuk beliau jadi agen surat khabar lama.

Kepada wartawan Agenda Daily, kalau nak jadi barua UMNO pun, janganlah tunjukkan kebodohan tahap kritikal. Jadilah barua yang cerdik jangan jadi barua yang bangang

Wednesday, August 27, 2008

AKTA DNA ZALIM

Ramai yang tak tahu tentang akta DNA yang akan dibentangkan di parlimen. Bila meneliti rang undang undang ini (klik disini untuk baca rang undang undang itu), saya terkejut. Undang undang ini bercanggah dengan prinsip keadilan. Rakyat Malaysia harus menentang undang undang yang zalim ini. Undang undang ini akan digunakan untuk mensabitkan sesiapa sahaja sekalipun orang itu tak bersalah.

blog penarik beca telah senaraikan beberapa artikel yang kita pasti terkejut dengan akta ini.

Fasal 13 (7): Seseorang pegawai polis boleh menggunakan segala cara yang perlu bagi maksud mengambil atau membantu dalam pengambilan suatu sampel bukan intim daripada seseorang.

Fasal 24: Walau apa pun mana-mana undang-undang bertulis yang berlawanan, apa-apa maklumat daripada Bank Data DNA hendaklah diterima sebagai suatu bukti muktamad bagi identifikasi DNA dalam mana-mana prosiding dalam mana-mana mahkamah.

Fasal 25: Tiada tindakan, guaman, pendakwaan atau prosiding lain boleh diambil atau dibawa, dimulakan atau dibuat dalam mana-mana mahkamah terhadap -

(a) Menteri;

(b) Ketua Bank Data DNA;

(c) Timbalan Ketua Bank Data DNA;

(d) pegawai Bank Data DNA;

(e) seseorang pegawai perubatan kerajaan; atau

(f) seseorang ahli kimia,berkenaan apa-apa perbuatan, keabaian, keingkaran atau peninggalan yang dilakukan olehnya dengan suci hati dalam menjalankan kuasa, fungsi dan tanggungjawabnya di bawah Akta ini atas sifat yang sedemikian.

Maklumat lebih lanjut tentang akta ini, sila klik

Kuasa Polis Ambil DNA dipertikai

Tuesday, August 26, 2008

PERMATANG PAUH: KEHANCURAN KAPAL BN

Keputusan Pilihanraya kecil Permatang Pauh
PKR: 31,195
BN: 15,524
AKIM: 92
PKR menang majoriti: 15,671

--------------------------------------------------------------------------------------------
Bandingkan dengan Keputusan PRU 12/ 2008
Jumlah Pengundi: 58,449

1. Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PKR) (30,338)
2. Datuk Pirdaus Ismail (BN) (16,950)

Majoriti: 13,388
Jumlah undi: 47,398
Peratus mengundi: 81.09%
Undi rosak: 110


Undi BN merosot. Undi Pakatan Rakyat bertambah. Maknanya selepas 6 bulan PRU, UMNO masih belum pulih, Mood rakyat makin hebat untuk bersama Pakatan Rakyat.

Sepatutnya dengan pelan peralihan kuasa 2010 yang diumumkan oleh Pak Lah, Media yg kononnya semakin bebas selepas PRU 12 sehingga debat disiarkan dlm TV, pengumuman turunnya harga minyak diikuti dengan Sumpah laknat SayFool, Mufti wilayah dipergunakan untuk membenarkan sumpah itu, laporan tentang perkahwinan Pakatan Rakyat tak bahagia, PAS menolak Anwar, diwar-warkan Islam dan melayu terhakis di bawah Pakatan Rakyat. Rasuah 2 exco Perak.

Semua ini sepatutnya berjaya mempengaruhi pengundi, kalaupun BN tak menang, majoriti DS Anwar akan menurun, paling kurang separuh. Sayapun menjangkakan DS Anwar akan menang majoriti di bawah 10,000. Tetapi rakyat Malaysia kini sangat matang. Isyarat jelas UMNO makin menuju kehancuran.

Dalam demonstrasi pemuda PAS, kami sering melaungkan. Hidup, hidup. Hidup Islam. Hancur.. hancur, Hancur Barisan, Hancur UMNO. Setelah sekian lama kalimah itu dilaungkan.. hari ini ianya hampir menjadi kenyataan.

Kenyataan Media: BANTAH KONSERT AVRIL

Dewan Pemuda PAS Pusat mengutuk sekeras – kerasnya tindakan jemaah menteri meluluskan semula konsert Avril Lavigne walaupun sebelumnya Kementerian Kesenian dan Warisan serta PUSPAL telah membatalkan konsert yang akan diadakan pada 29 Ogos ini, malang ia diluluskan kembali apabila diangkat kepada mesyuarat jemaah menteri .

Konsert ini adalah suatu penghinaan kepada negara Malaysia dan umat Islam yang akan menyambut bulan Ramadhan al Mubarak pada bulan september ini.

Dewan Pemuda PAS Pusat sekali lagi mengutuk sekeras-kerasnya jemaah menteri yang membuat keputusan ini. Dimana ia adalah suatu tindakan yang kurang ajar dan biadab terhadap ummat Islam , walaupun Shafie Afdal menyatakan bahawa penganjur hiburan diminta menghormati prosedur permohonan permit selepas ini.

Ini menunjukkan tidak ada sedikit pun rasa hormat dan sensitif jemaah menteri kepada perasaan majoriti umat Islam dan warga pribumi di negara ini. Tarikh 29 Ogos 2008 sekurang – kurang berhadapan dengan suasana penting bagi negara ini khasnya ummat Islam .

Pertama ummat Islam bakal menghadapi bulan ibadah yang penuh kemuliaan dan keberkatan . Sepatutnya ia tidak dicemari oleh konsert seperti ini yang membawa masuk seorang artis simbol seks Avril Lavigne . Pastinya konsert ini akan membawa ummat leka dan lalai malah merosakkan moral dan akhlak mereka .

Kedua, berhadapan pula dengan ulang tahun kemerdekaan negara pada 31 ogos. Lazimnya pihak kerajaan menganjurkan majlis tahlil di seluruh negara dan forum untuk motivasi rakyat khasnya anak–anak muda supaya mewarisi semangat patriotisme. Konsert seperti ini sekali lagi tidak akan membantu motivasi rakyat untuk menjadi rakyat yang baik, bermoral dan berdaya saing, sebaliknya hanya melemahkan moral dan mental mereka sekaligus mengheret mereka tenggelam dibawah gelora nafsu.

Pembatalan konsert sebelum ini, rupanya bukanlah kerana menghormati hari kemerdekaan ke-51 tetapi hanya kerana kelewatan memohon permit. Maruah umat Islam dan rakyat Malaysia seperti dipijak-pijak dan dipermain oleh para jemaah menteri, semata-mata untuk menjaga hati Avril Lavigne.

Dewan Pemuda PAS Pusat mempersoalkan Kerajaan UMNO dan BN, di mana pemimpin-pemimpin UMNO yang kononnya hendak memperjuangkan nasib umat Melayu dan Islam di negara ini. Mana perginya konsep AL-Falah laungan Najib dan Islam Hadhari yang di banggakan oleh Pak Lah? Apa yang Shafie Afdal buat dalam KEKKWA untuk mempertahankan hak kesenian dan warisan bangsa, atau Shafie telah menyenaraikan budaya kebebasan barat sebagai salah satu budaya warisan bangsa?

Dewan Pemuda PAS Pusat tegas menyatakan sikap bahawa konsert seperti ini mesti dibatalkan segera dan ini adalah amaran keras kepada pihak penganjur agar tidak mencabar sensitiviti ummat Islam . Andai mereka tidak peduli amaran ini , Dewan Pemuda PAS Pusat tidak teragak-agak akan mengerahkan seluruh pemuda Islam agar turun membantah Konsert tersebut daripada terus berlangsung .

Dewan Pemuda PAS Pusat juga menyeru dan mengajak NGO-NGO Islam seperti GPMS, PPIM, PEKIDA, ABIM, JIM, TERAS dan GAMIS turut bersama-sama membantah konsert tersebut. Ini bukan untuk kepentingan politik tetapi melibatkan maruah dan harga diri ummat Islam . Jika begini terus menerus sikap kerajaan UMNO dan BN , mereka bukan sahaja jauh dari rahmat dan berkat Ilahi tetapi insyaallah akan terus dibuang dan dihumban oleh rakyat yang semakin hari semakin jelak dan muak dengan sikap berpura – pura Islam mereka .

Dewan Pemuda PAS Pusat turut menggesa agar seluruh mufti menunjuk sikap dan menyuarakan bantahan mereka terhadap kerajaan yang membenarkan penganjuran pesta maksiat ini agar mereka tidak hanya responsif terhadap isu seperti sumpah Saiful Bukhari tetapi diharap turut menunjuk sikap bagi membersihkan bumi ini dari maksiat dan mungkar .
Yang Menjalankan Tugas
Nasrudin bin Hassan at Tantawi
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Monday, August 25, 2008

SELEPAS PUNGGUNG SAIFUL DIJAJA, KINI...

Jemaah Menteri meluluskan semula konsert Avril yang dijadualkan pada 29 Ogos, sedangkan Kementerian Kesenian dan Warisan telah menundanya.

Bermakna konsert ini juga merupakan pembuka tirai sambutan Ramadhan tahun ini.

Bagi yang tak tahu apa binatang Avril Lavigne. Dia adalah penyanyi wanita dari Barat. Tengok laa gambar dia tu...

Tu yang para menteri BN suka sangat. Sejak dari pilihanraya Kecil Permatang Pauh UMNO sangat bergantung pada Punggung Saiful untuk meneruskan tali hayatnya. Sekarang Punggung Avril Livigne pula dibawa untuk terus meraih sokongan anak-anak muda yang jauh dari Agama.

Avril Lavigne juga adalah seorang peminum alkohol dan perokok. Ini sangat merbahaya kepada akhlak dan moral terutamanya remaja.

Muhasabah: Saya sedang menunggu-nunggu respon Mufti Wilayah yang sangat pantas membidas Ust Ramlang Porigi apabila imam muda itu mengeluarkan kenyataan sumpah Saiful tak sah. Respon segera Mufti Klik sini

Saya sangat berharap agar Mufti Wilayah, para mufti yang lain dan seluruh kakitangan mereka tidak meletakkan taraf Pejabat Mufti dan pejabat agama lebih rendah taraf dari pejabat haiwan.

Saya katakan begitu kerana, pejabat haiwan apabila tersebarnya wabak penyakit binatang mereka akan bertindak pantas mengawal wabak itu dari merebak. Pakar-pakar akan dihantar. Para doktor haiwan akan meninggalkan bilik berhawa dingin mereka untuk segera menyelesaikan masalah penyakit yang mungkin akan memusnahkan binatang itu. Pelbagai pendekatan akan digunakan.

Harapan saya pejabat agama dan pejabat mufti mesti lebih pantas mengawal wabak penyakit yang menjalar menjangkiti umat kini. Jangan hanya duduk di bilik hawa dingin dan melupakan penyakit umat.

Saya bimbang kalau-kalau, tuan-tuan terlalu lama berada dalam bilik berhawa dingin, ia akan merosakkan otak. Daya berfikir dan bertindak jadi tumpul. Fikir... fikirkan lah.

Thursday, August 21, 2008

KELUCAHAN MELAMPAU

Awal-awal lagi sebaik sahaja penamaan calon Pemimpin UMNO menuduh anggota Pakatan Rakyat mengggunakan aksi lucah dalam kempen. Akhbar mengiyakannya. Saya tercari-cari aksi lucah, yg kononnya digunakan oleh anggota Pakatan Rakyat. Hanya ini yang saya jumpa.... Bak kata Nabil "Lu Fikir la Sendiri."

Petera UMNO sedang menunjukkan aksi sakit akibat diliwat... Sang Gatal puteri UMNO, tanpa segan silu.. bersorak sambil tunjuk ke arah bontot.

Botol dimasukkan ke dalam bontot, hairan ye.. begitu banyak aksi ini dipaparkan dalam internet, namun media tak terliur untuk siarkan

Aksi kurang ajar Pemuda UMNO. Aksi lucah tahap melampau, yang hairannya polis boleh buat-buat tak nampak. Pemuda itu berada diluar kon yang diizinkan

Kemana agama mereka... ? percayakah mereka dengan dosa dan pahala. Inikah inti ajaran sesat Islam Hadhari???

RISAU... BIMBANG... TAKUT....

Undang undang tak diperlukan lagi… Saya mengikuti perkembangan politik negara dengan penuh dengan penuh kebimbangan dan kerisauan. Penyalahgunaan kuasa berlaku berleluasa. Hari ini orang yang tak bersalah cuba dibersalahkan. Seluruh instrumen digunakan. Daripada laporan doktor cuba diselewengkan, tuanpunya kondo di soal-siasat 33 jam, dan banyak lagi perkara yang menjelekkan berlaku
Kes Liwat 1998 dulu laporan doktor tidak diguna pakai sebaliknya cukup dengan pengakuan Azizan. Ajaib, satu-satunya kes seksual dalam dunia, tanpa laporan doktor

Terbaru, tuduhan rasuah ke atas 2 Exco Pakatan Rakyat negeri Perak dalam projek perumahan RM 180 juta di Seri Iskandar, sedangkan projek itu langsung tak wujud. Konspirasi yang memualkan. Baca di sini

UMNO/ BN kembali pada posisi asal seperti zaman Dr M. Zaman itu, Mahkamah, Polis, BPR dan seluruh agensi diliwat bergilir-gilir oleh Dr M dan pimpinan UMNO.


Kini, mahkamah juga tak di perlukan lagi. Cukup dengan sekadar bersumpah. Agama dan al Quran di permainkan. Orang yang bersumpah dengan Al-Quran, dia sendiri tak percayakan Al-Quran. Al-Quran menyebut orang yang menuduh mesti bawa 4 saksi. Bagi Mangsa Rogol/ liwat Qarinah (bukti lain) sangat diperlukan supaya tidak ada unsur penganiyaan.
Bagi kes liwat secara paksa, mesti ada kesan lebam, bercalar dan pemeriksaan doktor akan membuktikan benar atau tidak mangsa diliwat.
Sepakat para ulama dalam kes yang melibatkan hudud seperti zina, liwat dan sebagainya, tidak boleh menggunakan sumpah. Kes seperti ini mesti menggunakan Mahkamah Syariah. Plantif dan defendan hanya boleh bersumpah jika diarahkan oleh hakim Mahkamah Syariah.

Rakyat sedang diajar supaya jangan hormat pada kedaulatan undang-undang. Kalau jalan undang-undang dipilih untuk mendapatkan keadilan, sia-sia. Seluruh kekuatan akan digunakan untuk menjahanamkan pejuang keadilan. Situasi yang sangat bahaya pada negara.

Sirah nabi mencatatkan, apabila Rasulullah dipujuk untuk membebaskan seorang bangsawan yang melakukan jenayah, Baginda marah lalu keluar dan bersabda.

Sesungguhnya telah binasa umat yang terdahulu apabila orang yang lemah dikalangan kamu dihukum atas kesalahan mereka manakala orang yang berkuasa apabila bersalah mereka bebas. Sekiranya anakku Fatimah Binti Muhammad mencuri nescaya akan ku potong tangannya.

Rasulullah telah menggambarkan ciri- ciri satu kaum yang akan binasa. Ya Allah selamatkan negera ini dari kebinasaan

Wednesday, August 20, 2008

BERHATI-HATI DENGAN KURMA ISRAEL

Ramadhan al-Mubarak dan bulan puasa bakal menjelma. Lazimnya pada bulan tersebut, tidak dapat tidak semua umat Islam kaya atau miskin, tua atau muda, lelaki atau perempuan akan mula menggemari buah khurma dan mengambilnya ketika berbuka, sepanjang malam hingga bersahur.

Tanpa perlu dipertikai, kurma memang banyak khasiatnya. Unsur zat besi dan kalsium yang terdapat di dalam buah kurma adalah unsur yang paling tinggi bagi membentuk susu ibu. Bagi Ibu-ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu, maka dengan memakannya dapat menggalakkan pertambahan kandungan susu. Ianya juga berperanan dalam pertumbuhan kanak-kanak, pembentukan darah dan sumsum tulang.

Antara kajian lain yang dijalankan membuktikan bahawa kurma antara makanan yang paling pantas diproses sebagai bekalan tenaga. Kurma tersebut akan segera dibakar dan ia akan disalurkan ke bahagian anggota lain dan otak.

Berdasarkan ini juga Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menganjurkan kita supaya berbuka puasa dengan buah kurma.

Cuma diharapkan semua pihak berhati-hati memilih kurma untuk dimakan kerana ada kurma di pasaran merupakan kurma Yahudi. Antara yang dapat dikenali ialah bercetak jenama "Jordan River" itu sebenarnya bukan dari Jordan tetapi dihasilkan dari negara Israel dan diimport serta dikotakkan di Singapura tapi di edarkan di Malaysia .

Ia ditanam di satu kawasan luas di bahagian timur Isreal yang bersempadan dengan Palestin. Ia dipunyai oleh seorang Yahudi yang kaya...dan ramai pekerja-pekerjanya berbangsa Yahudi dan hasil penjualan kurma itu digunakan untuk tabung orang-orang Yahudi. Pendedahan ini dibuat oleh akhbar Berita Harian Singapura.

Tuesday, August 19, 2008

JOM KE PERMATANG PAUH

Liputan berwarna akhbar Cina, Guang Ming Daily. Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat.

Muktamar telah melabuhkan tirai. Lepas muktamar ni, kena laa baca surat khabar cina. Surat Khabar Melayu hanya melaporkan kononnya muktamar kali ni akan menyaksikan perpecahan PAS. Seminggu sebelum muktamar, akhbar melaporkan perpecahan PAS makin parah. Seolah olah muktamar ini akan ada adegan baling kerusi dari perwakilan kerana tak puas hati.

Segala-galanya melesat. PAS sebagai gerakan Islam yang berusia 54 tahun matang menghadapi perbezaan pendapat. Perbezaan pendapat dalam parti kami berjalan atas garis adab. UMNO bila berbeza pendapat, dia akan pecat, bukan setakat itu berbunuhan pun ada.
Sedarlah wahai saudara, apa yang digambarkan oleh surat khabar tentang perpecahan PAS sebenarnya untuk menutup perpecahan dalam UMNO yang semakin membusuk
.
Di Permatang Pauh pun perebutan untuk mendapat jawatan ketua bahagian sangat kritikal. Ada 4 calon. Arif Shah, Dato Jalil, Tok Imam Lapar Firdaus dan Ahmad Saad. Persaingan hebat antara Arif Shah dan Dato Jalil. Dato Jalil mesti memastikan Arif Shah kalah dalam pilihanraya kecil ini. Sebab kalau Arif Shah menang dalam PRK ini, dia akan mendapat kelebihan untuk juga memenangi pertandingan ketua bahagian. Mungkinkah Dato Jalil akan mendiamkan diri. Sudahlah terlepas menjadi calon, kini jawatan ketua bahagian juga akan terlepas.
Walaupun diberitakan dari satu sumber, Dato Jalil dapat habuan RM 1 juta supaya tak sabotaj Arif Shah, namUn Dato Jalil tak rela terlepas satu lagi lombang emas, iaitu ketua Bahagian UMNO permatang Pauh. Untuk Dato Jalil menang Ketua Bahagian Permatang Pauh, Arif Shah mesti kalah PRK dengan majoriti besar melebihi majoriti dulu. Kita saksikan bagaimana masing masing akan bermain dalam gelap untuk mencantas sesama sendiri.

Saturday, August 16, 2008

SINIS : CEPAT NAIK LAMBAT TURUN


HARAKAH : ADA KENANGAN YG TAK DAPAT DILUPA.

Bersama Koleksi Harakah saya yang saya jilidkan. Sorrylah berlatarbelakang dinding rumah saya yang di penuhi mural (lukisan dinding) hasil kreatif anak-anak saya. 2 kali dah saya cat dinding rumah tu... akhirnya... lantaklah, dia orang nak tunjuk bakat, biarkan je lah.
Hari ini HARAKAH terbit 2 kali seminggu. Ada kenangan yang sukar saya lupa. 1987 HARAKAH di terbitkan, saya berada di tingkatan 4. Masa tu HARAKAH terbit seminggu sekali. Saya jadi pelanggan HARAKAH dari keluaran sulung sampailah sekarang. Saya gunakan simpanan duit belanja sekolah yang abah bagi.
Harakah keluaran 1989 yang masih dalam simpanan saya... 1987 dan 1988 tak dapat diselamatkan
HARAKAH tu saya simpan sehinggalah satu hari tu Mak Cik saya ambil semua HARAKAH tu untuk buat bungkus nasi lemaknya. HARAKAH dari keluaran sulung 1987 dan 1988 semuanya musnah dipotong-potong. Saya menangis melihat HARAKAH yang saya simpan, musnah sekelip mata.

Terus terangkan saya katakan harta yang paling saya sayang ialah bahan bacaan dan bahan ilmu. Justeru itu semua buku dan kaset yang saya beli sejak saya jatuh hati pada PAS dari tahun 1986 saya simpan hingga sekarang.
Satu lagi kenangan saya semasa awal kemunculan HARAKAH, PAS tidaklah sehebat kini. Setiap keluaran HARAKAH pastinya berlebihan. Saya berpakat dengan sahabat saya Johari untuk minta HARAKAH yang tak habis dengan pengedar HARAKAH, siapa lagi, kalau tak Ayah Ngah.

Kami nyatakan cadangan untuk letakkan HARAKAH itu di setiap rumah di Taman Tanah Putih. Alhamdulillah Ayah Ngah merestui hasrat kami dan beliau berikan ratusan HARAKAH yang tak habis di jual.

Kami edarkan HARAKAH tu ke setiap pintu, tapi masa tu saya tingkatan 4, rasa takut tu ada, jadi saya edar waktu malam selepas jam 12 malam. Berembunlah kamu dengan berbasikal seperti mamak jual surat khabar. HARAKAH di gulung dan kami lempar masuk ke dalam setiap rumah. Bezanya mamak baling surat khabar waktu siang, kami baling HARAKAH waktu malam.

Koleksi Reformasi. Harakah terbit seminggu 2 kali. 1998 dan 1999
Hari ini saya tesenyum sendiri bila mengenangkan peristiwa ini. HARAKAH pula dah muncul sebagai akhbar alternatif yang hebat. Shukur Alhamdulillah