Thursday, July 31, 2008

KEMBALI PADA POSISI

Saya makin tak berminat untuk menyentuh isu muqabalah/ muzakarah. Ianya bagaikan satu bom yang diletupkan supaya kita berlari untuk melihat letupan sambil meninggalkan posisi kita.

Perbalahan UMNO di peringkat Bahagian sangat parah. Parti komponen terbesar seperti MIC, MCA, Gerakan sedang bermasalah. Kenaikan mengila harga barang menghantui Rakyat. Rakyat terus tertekan. UMNO kini hanya sekadar memukul gendang memainkan lagu 3 rentak, Dengan rentak itu kita lupa lalu meninggalkan masalah rakyat yang memberi kuasa pada kita, untuk menggalas perjuangan rakyat.

Rentak untuk DAP "Pemimpin kamu anti Melayu, Pemimpin kamu anti Islam" Rentak untuk PKR "Pemimpin kamu Liwat dan agen Amerika" Rentak untuk PAS "pemimpin kamu sedang berkira untuk kongsi Kuasa." Menyebabkan ahli Pakatan rakyat pada hari ini menari mengikut 3 rentak ini.

Rakyat yang sepakat memberi kuasa pada Pakatan Rakyat mulai bosan. "Ust... macam mana ni" "Macam mana apa?" tanya saya. "Harga barang terus naik, gaji kami makin mengecik, hidup kami makin tertekan. Para pimpinan kelihatan seperti bermain-main memperjuangkan hak kami."

Oleh kerana saya cuma nak selami perasaan seorang individu dari berjuta-juta rakyat, saya terus bertanya lagi "Sabar dulu... Apa yang saudara rasa perjuangan hak rakyat dipermainkan

Beliau menambah dengan sayu bercampur marah "Sebelum dapat kuasa bukan main minta kami turun tuntut pemulihan demokrasi, dengan alasan apabila demokrasi pulih, kita boleh bersuara, Rakyat akan lebih terbela.

"Tapi bila dah dapat kuasa, Demonstrasi untuk perjuangkan hak rakyat di buat sekadar lepas batuk ditangga. Sekarang ni hilang fokus untuk rakyat, disibukkan dengan agenda Parti masing masing. Dulu kata kalau tak menang pun cukup sekadar menafikan 2/3 Nasib rakyat akan dibela. Tapi kini, sama saja, kami bagi undi pada BN atau PR, nasib kami tetap begini."

Saya keluarkan satu daripada rasa kecewa rakyat bawahan yang menyokong pakatan Rakyat. Di luar sama berjuta rakyat yang menyokong kita kerana selama ini mereka hidup didera, didera dengan kenaikan harga bahan api, kenaikan harga barang.

Berhenti menari mengikut rentak gendang yang di palu. Rakyat sangat memerlukan kita sekarang ini. Kembalilah ke posisi.

Thursday, July 24, 2008

DATO FAUZI MENYERTAI PKR

Berita gembira buat penyokong Pakatan Rakyat di Pahang. Namun bagi saya terselit sedikit kecewa. Saya mengetahui penyertaan Dato Fauzi ke dalam PKR ini lebih kurang jam 12. 30 mlm. Itupun selepas menonton TV 502 Berita Bernama sebaik sampai dirumah setelah Kuliah di Keratong 9.

Bukan satu rahsia lagi Dato Fauzi akan menyertai PAS. "Menyertai parti lain adalah adat (kebiasaan), bersama PAS adalah ibadat" Inilah lafaz yang keluar dari mulut beliau membayangkan komitmen untuk bersama PAS semasa bertemu pimpinan PAS peringkat negeri Pahang. Saya tidak katakan Dato Fauzi memungkiri janji. Tetapi semua ini berlaku kerana kelemahan kita (baca pimpinan PAS). Pimpinan PAS Pahang telah menghubungi Pimpinan A (bukan nama sebenar) untuk tindakan selanjutnya sehinggalah telah ditetapkan tarikh pengisytiharan beliau ke dalam PAS. Bloger MSO telah mewar-warkan penyertaan bekas Timbalan Menteri dari Pantai Timur ke dalam PAS dalam blog beliau.

Saya dimaklumkan beberapa kali Dato Fauzi menghubungi sahabat kita di Kuantan bertanyakan bilakah pimpinan A akan menghubungi dan mengunjungi beliau.

Mungkin kecewa dengan kerenah pimpinan PAS yang lambat bertindak untuk menguruskan kemasukannya. Kelihatannya pimpinan A bertaraf Dewan Harian Pusat tidak berminat untuk menarik tali yang kami berikan. Beliau lebih berselera untuk bertemu pimpinan tertinggi UMNO malah sampai tiga kali bertemu, sedangkan hasilnya hampir-hampir PAS terjebak dalam jerangkap samar UMNO.

Sepatutnya di Pahang bulan Julai ini akan menerima 2 kemasukan anggota baru, Rakan Ezam dalam GERAK Zukri Aksah dan Bekas Timbalan Menteri Dato Fauzi Abd Rahman.

Saya tak berniat untuk merosakkan reputasi mana-mana pimpinan PAS Pusat. Belajarlah dari kelemahan ini. Antara Abu Jahal dan Abdullah Umi Maktum, Allah memerintahkan nabi pilih Abdullah Umi Maktum kerana beliau berkehendak pada hidayah berbanding Abu Jahal yang angkoh dan sombong. Kenapa bertemu dengan pemimpin UMNO, geraknya pantas, bertemu dengan mad'u bergerak agak malas.

Abu Sufian menanggalkan baju Jahilliah selepas merasakan beliau tetap mendapat pengiktirafan nabi walaupun awalnya adalah penentang dakwah. Bukan tujuan saya untuk menyamakan Dato Fauzi dengan 2 sahabat nabi ini, namun belajarlah dari kebijaksanaan nabi.

Manusia yang telah berada di depan pintu rumah kita, yang sepatutnya kita tarik tangannya masuk ke dalam rumah, namun kita biarkan dia terus berdiri seumpama peminta sedekah, akhirnya beliau beralih ke rumah jiran sebelah.
Pun begitu kita ucapkan kepada Dato Fauzi selamat berjuang dalam Pakatan Rakyat.

Tuesday, July 22, 2008

MUZAKARAH UMNO-PAS

Mesej telefon saya bertalu-talu berbunyi... Semuanya angkara Pak Lah mengumumkan pertemuan UMNO-PAS. Sebahagian besarnya melahirkan bimbang takut PAS akan terperangkap dengan tipu helah UMNO, ada juga yang kecewa dengan pertemuan ini.
Dalam hal ini bersangka baiklah kita pada pimpinan.. Insya Allah mereka tak akan khianat pada amanah yang mereka galas. Kadang-kadang tindakan itu bersifat politik yang sukar untuk kita fahami. Cumanya kenyataan YB Ir Khalid Samad boleh jadi rujukan.


Rombongan PAS menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebaik sahaja selesai pilihan raya ke 12, 8 Mac lalu bertujuan untuk mendengar apa tawaran pemimpin Barisan Nasional (BN).
Pemergian mereka juga bertujuan untuk membeli masa (buying time) agar kerajaan Pakatan Rakyat dapat dibentuk dengan selamat di Selangor dan Perak ekoran masalah yang dihadapi oleh Pakatan ketika itu.

Kerana itu, ketika deligasi itu berunding dan mendengar apa yang dikehendaki dan ditawarkan oleh Pak Lah, Tan Sri Khalid selamat mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor, Ir Nizar Jamaludin selamat mengangkat sumpah di Perak

Khalid disebut oleh Presiden PAS sebagai salah seorang dari tiga anggota delegasi PAS bertemu dengan Abdullah di Kuala Lumpur selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu. Dua lagi delegasi PAS adalah Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa dan Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali.

Pada asalnya, kata Khalid, Presiden PAS yang akan mengetuai delegasi itu. Namun selepas berbincang, mesyuarat memutuskan Presiden digantikan oleh Datuk Mustafa Ali. Khalid juga berkata, Datuk Dr Hassan Ali juga dikeluarkan dari senarai delegasi itu kerana kelihatannya perbincangan adalah mengenai Selangor dengan kehadiran Datuk Seri Khir Toyo di sebelah sana. “Kerana itu saya dimasukkan untuk menggantikan Dr Hassan Ali untuk mengelakkan bertembung kepentingan berlaku,” jelas Khalid yang merupakan timbalan pesuruhjaya PAS Selangor.

Pada peringkat awalnya, beliau sendiri tidak bersetuju dengan pertemuan itu tetapi selepas dibincangkan atas dasar janji telah dibuat, mereka bersetuju untuk bertemu dengan pimpinan BN yang diadakan di sebuah rumah kerajaan berhampiran bangunan Parlimen itu.

“Yang pasti tidak ada langsung dalam perbincangan sesama pimpinan PAS, pergi jumpa dengan pimpinan Umno ini untuk bekerjama dengan mereka. Yang ada untuk memenuhi janji dan mendengar apa mereka nak tawarkan.

“Jadi kami dengar dan kata ya ya…tetapi kami tak boleh buat keputusan, kena bawa kepada parti dahulu,” jelas Khalid. Atas alasan itulah juga, katanya, Presiden tidak pergi ke pertemuan itu kerana tidak mahu sebarang komitment dibuat atas kuasanya sebagai presiden.

“Khir Toyo bukan main tawadhuk dalam perbincangan itu. Kepada saya saja tiga kali dia tolong tuangkan air,” kata Khalid lagi. Ketika ditanya, apa punca jemputan itu dibuat oleh Umno, Khalid berkata, ia bermula dengan kerisauan Umno selepas DAP banyak menang di Selangor dan nasib orang Melayu selepas itu. Namun, bagi Khalid, keikhlasan Abdullah untuk membincangkan kepentingan Melayu dan Islam hancur selepas beliau mengumumkan tentang pertemuan ini.

Bagi beliau, Abdullah cuba menimbulkan kesangsian di kalangan anggota Pakatan Rakyat terhadap PAS dengan mendedahkan perkara ini ketika berita angin tersebar kononnya PAS hendak bekerjasama dengan Umno. Padahal, katanya, delegasi itu tidak ada mandat langsung dari parti untuk berbincang soal kerjasama dengan BN. “Misi kami adalah fact finding (mendengar) dan engagement (berbincang) dan tidak ada langsung usaha untuk bekerjasama dengan Umno,” kata Khalid.

“Nampak sangat Abdullah berniat jahat untuk sabotaj usaha-usaha untuk membawa masuk anggota Parlimen dari Sabah dan Sarawak untuk menyertai Pakatan. Kononnya, jika PAS tidak bersama Pakatan buat apa mereka (sabah dan Sarawak) mahu masuk Pakatan,” beritahu Khalid.

Mengulas soalan kononnya PAS dipinggirkan dalam Pakatan Rakyat, Khalid berkata, ia tidak benar sama sekali.“Benar kita menang 83 Dun, DAP 73 dan PKR 40 kerusi lebih. Tetapi dalam masa yang sama kita dapat tiga MB, PKR ada satu dan DAP pun dapat satu sahaja. Takkan PAS nak lebih dari itu. Tak kan nak jadi MB di Selangor juga….itu tamak namanya,” kata Khalid.

MAAFKAN KAMI... MAAFKAN KAMI...

Blog ni tak dapat di kemaskinikan sejak hari Rabu, 16 Julai. Saya pun tak tahu kenapa tiba-tiba Lap top saya sukar untuk melayari internet. Puas saya klik tapi tak berjaya masuk. Tak tahu pulak, sama ada Lap top atau stremix bermasalah.

Memandangkan kuliah dan ceramah saya mengunakan power point presentation, saya biarkan sahaja masalah tu. Nanti kalau 'kacau' lebih-lebih, jem lap top ni, hampalah pendengar kuliah saya yang mengharapkan saya hadir dengan berbekalkan Lap top.

Jadual kuliah dan ceramah yang padat membuatkan saya terus membiarkan streamix tidak di baiki. Bermula dari 17hb di Pekan, 18hb Khutbah di Al-Fatah Kuantan kemudian terus bergegas ke Jengka. 19hb bertolak ke Kuala Teriang untuk upacara perasmian Jambori Amal Dewan Pemuda PAS Pahang, Malamnya kuliah Maghrib di Surau Al Amin Bandar Husain On. Subuh 20hb kuliah di surau Cheras Perdana.

Jam 9.00 pagi saya dah terpacak di Taman Melewar kerana janji untuk ambil buku 'Dunia Tanpa Suami' dengan Kak Laila. Tak larat dah saya nak sebut kuliah tempat-tempat lain.

Maka saya mohon maaf atas blog yang tak dikemaskini. Beri saya dua tiga hari lagi untuk selesaikan masalah ni.

Wednesday, July 16, 2008

Monday, July 14, 2008

BANTULAH ADIK NUR IZZAH

Adik Nur Izzah terlantar di HKL

‘Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya’ itulah perumpamaan yang menimpa adik Nur Izzah Zahari, 5 tahun, yang disahkan menghidap leukemia dan kini terlantar di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Difahamkan Nur Izzah sudah lebih seminggu dirawat di Ward K3, Unit Pediatrik Hospital berkenaan, sebelum ini dia dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan , Kuantan (HTAA) .
Ayahnya Zahari Mustapha 50, adalah seorang peneroka di Felda Kerantung 3, Rompin. Menurut Zahari anaknya mula mendapat rawatan kerana disyaki menghidap leukemia sejak tiga tahun lalu dan kini pihak HTAA merujuk kes anaknya itu ke HKL untuk rawatan lanjut. “Hospital ini seperti rumah kedua kami, ibunya terpaksa tinggal disini menemani Nur Izzah,” ujarnya.
Kepada sesiapa yang ingin membantu keluarga Zahari bolehlah mendepositkan wang ke akaun Bank Pertanian bernombor 21330256516 diatas nama Nur Amirah Bt Zahari. Zahari boleh dihubungi melalui talian telefon bimbit 019 9770235.

Monday, July 7, 2008

Penjelasan Dewan Pemuda PAS Pusat - Insiden Himpunan PROTES

Mesyuarat Protes pertama
Wakil Pemuda tiada dalam mesyuarat awal PROTES yang menetapkan Pengarah Pengisian Himpunan adalah Hishamuddin Rais

19 Jun 2008 Mesyuarat ke 3 jam 1 tgh di Parlimen.
DPP Pusat pertama kali hadir dalam Jawatankuasa Pelaksana program. Sdr Kamaruzaman hadir mewakili DPPP. Mempersoalkan pengisian program yang terlalu panjang serta perubahan lokasi.

20 Jun 2008 (Jumaat) Mesyuarat ke 4 jam 5 ptg di tkt 5 Bangunan PAS.
DPP Pusat tidak hadir. Justeru tiada bantahan. Hishamuddin Rais meneruskan program persembahannya. Antara yang dimasukkan ialah persembahan kumpulan-kumpulan Underground

30 Jun 2008 (Isnin)
Ust Nasrudin Hassan, Timbalan Ketua DPPP di dalam blognya mempersoalkan pengisian program dalam Himpunan tersebut terutamanya kehadiran kumpulan band underground dan menimbulkan polemik di kalangan aktivis pemuda dan PAS. DPP Pusat mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pemuda pada sebelah malam dan membincangkan isu tersebut. Mesyuarat memutuskan untuk membantah kehadiran kumpulan underground dalam program tersebut dan bersetuju untuk menarik sokongan Pemuda kepada program Himpunan tersebut sekiranya tuntutan pemuda tidak dilayan. Mesyuarat mewakilkan Sdr Kamaruzaman (Ketua DPP Wilayah Perskeutuan juga Exco DPP Pusat) bersama Khairul Faizi Ahmad Kamil (Ketua DPPN Johor yang juga Exco DPP Pusat) ke mesyuarat PROTES pada keesokannya.

1 Julai 2008 (Selasa - siang)
Mesyuarat ke 5 Protes di bangunan PAS. DPP Pusat menyuarakan bantahan keras terhadap penganjuran program (pengisian) yang ada unsur hiburan (konsert kumpulan underground). Hishamuddin Rais sebagai Pengerusi Persembahan menjanjikan untuk membuang senarai nama kumpulan tersebut atas bantahan DPPP. Protes meminta DPPP berbincang lebih lanjut dengan Hishamuddin Rais untuk mendetailkan aturcara baru.

1 Julai 2008 (Selasa - malam)
Pertemuan DPPP yang diwakili oleh Sdr Kamaruzaman Mohamad bersama beberapa Exco DPP WP. Mesyuarat bersetuju menukar persembahan kumpulan rock kepada kumpulan nasyid dan dikir barat. Sekali lagi Hishamuddin Rais memberikan jaminan dan berjanji bahawa kumpulan underground tidak akan membuat persembahan. Sdr Kamaruzzaman menegaskan sekiranya berlaku persembahan yang tidak menepati kehendak seperti yang dipersetujui pihak Pemuda akan membatalkan penyertaan Pemuda PAS-

4 Julai 2008 (Khamis)
DPPP berpuashati dengan penjelasan Sdr Kamaruzaman dengan aturcara himpunan yang baru dan jaminan kawalan persembahan yang baik. DPPP telah mengarahkan kehadiran seluruh pemuda termasuk petugas AMAL di seluruh negara melalui SMS dan pengumuman dalam Sistem komuniti UKJ.
6 Julai 2008 (Ahad)- Dari jam 9.00 pagi – 1 tengahari.
Himpunan Protes berlangsung. Sebelah pagi program berlangsung dengan baik dan aman. Persembahan yang moderate sehingga jam 1 tengahari. Pemuda PAS dan pasukan AMAL bertugas di segenap penjuru daripada petugas keselamatan, protokol, sehingga kepada Pengerusi Majlis.

Jam 2.30 petang.
Program sesi petang dimulakan dengan persembahan kebudayaan India (Hindraf) disusuli dengan persembahan berat rock band (kumpulan rock). Walaupun judul lagu dianggap patriotik dan bersifat satira politik, pemuda PAS keseluruhannya mula keresahan. Melihat kepada penonton yang hadir kebanyakannya dari kalangan aktivis PAS (muslimat, golongan agamawan dan lain-lain). Sdr Kamaruzaman cuba menghentikan persembahan dan mengadakan rundingan dengan Hisamudin Rais untuk menghentikan persembahan band tersebut tetapi gagal. Program terus berlangsung dengan 3 buah lagu rancak. Sdr Kamaruzaman berbincang dengan Ust Azman Syapawi Abdul Rani (Naib Ketua DPP Pusat) dan DPPP membuat keputusan untuk memboikot dan menarik diri dari menjadi petugas himpunan Protes tersebut. DPPP mengarahkan seluruh petugas AMAL dan pemuda keseluruhannya menarik diri. -
Jam 7.00 petang.
DPPP diberitakan berlaku insiden tunjuk punggung oleh kumpulan Karburator Dung.

Yang benar,
Ahmad Sabki Yusof
Setiausaha DPPP

Sunday, July 6, 2008

HANTU RAYA DI PENTAS KELANA JAYA

Acara dan aksi yang meruntuhkan kewibawaan PROTES, penyanyi menunjukkan punggung dan seluar dalam sambil menjerit perkataan... jilat... jilat. Apa ni... biadap tahap melampau.

Dewan Pemuda Pas Negeri Pahang (DPPNP) melahirkan rasa kesal atas Insiden yang berlaku semasa penganjuran Himpunan Rakyat PROTES kali ini. Apa yang kita bimbangi berlaku dalam himpuan PROTES menjadi kenyataan. Memualkan dan menjelekkan apabila acara pentas membelakangkan akhlak Islam dan budaya luhur masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Himpunan yang sepatutnya membawa suara rakyat dan keluhan rakyat menjadi himpunan ala Fun fair.

DPPNP
telah dimaklumkan hasil perbincangan dengan Dewan Pemuda PAS Pusat, jawatankuasa PROTES bersetuju untuk menggugurkan semua aktiviti nyanyian yang melibatkan band dan kumpulan - kumpulan sebagaimana yang tertera di poster sebelum ini. Tapi apa yang berlaku kami turun beramai ramai untuk ditipu oleh jawatankuasa PROTES

Nama besar seperti PROTES tidak seharusnya menyajikan acara pentas sebegitu. Seharusnya kita belajar dari Kejayaan Himpuan BERSIH. Walaupun tekanan yang begitu hebat namun ia gagal mengekang kebangkitan rakyat menuntut Demokrasi.

Semua rakyat terkesan dengan kenaikan harga minyak. Seharusnya himpunan ini lebih berjaya dan bermakna dari Himpunan BERSIH.

Kami hadir kerana mahu membantah kenaikan harga minyak dan mahu mendesak agar kerajaan UMNO dan BN memahami derita rakyat lalu menurunkan harga minyak . Kami bukan datang untuk berhibur

Suka diingatkan DPPNP bukan anti hiburan. Himpunan semurni ini bertujuan untuk membawa keluhan rakyat tidak sepatutnya bercampur aduk dengan hiburan ala barat.

Walaupun kami dimaklumkan liriknya mengutuk kedajalan UMNO/BN, seperti lagu Hantu Raya di Putrajaya tetapi tak ada perkataan yang boleh difahami disebabkan muzik yang bingit dan menenggelamkan suara penyanyi. Dengan aksi londeh seluar dan tunjuk punggung menjadikan aksi itu lebih sesuai digelar Hantu Raya di Pentas Kelana Jaya

Jawatankuasa PROTES seolah oleh memperbodohkan peserta perhimpunan yang datang dari seluruh negara. Kesengsaraan rakyat dipermainkan.

PROTES sampai turun bertukar kepada PROTES sampai nampak punggung. Ahli jawatankuasa PROTES yang bertangungjawab membawa budaya buruk ini seharusnya disingkirkan daripada jawatankuasa Himpunan Rakyat pada masa akan datang.

DPPNP mengutuk acara hiburan ala barat dan aksi-aksi pentas terlampau yang berlaku dalam Himpunan PROTES dan seharusnya ia menjadi pengajaran kepada semua.

Sekian

SUHAIMI BIN MD SAAD
Pemangku Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang

Friday, July 4, 2008

KENYANGKAN PERUT RAKYAT

SINAR HARIAN hari ini melaporkan, sudah ada rakyat yang sanggup menjual buah pinggang akibat kesempitan hidup. Murali, 35 tahun, tidak meletakkan harga pada buah pinggangnya tetapi berharap bayaran yang akan diterima berbaloi.

Beliau yang diisytiharkan muflis membuat keputusan itu demi isteri dan anak- anak. Beliau menangung isteri yang sakit dan 4 orang anak.

Saya baru sahaja habis membaca buku "Belajar dari 2 Umar - Kenyangkan Perut Rakyat". Saya muatkan petikan menarik dalam buku tersebut

Gabenor yang dilantik oleh Umar Al-Khattab ke Azerbaijan telah dihidangkan makanan paling lazat dalam masyarakat Azerbaijan. Beliau teruja dengan kelazatan makanan itu lalu berhasrat untuk menghantar makanan itu pada Khalifah Umar di Madinah

Lalu Gabenor Azerbaijan menghantar utusan untuk membawa makanan itu. Sebaik sahaja Umar makan, Umar bertanya "adakah seluruh rakyat Azerbaijan makan makanan ini."

Utusan itu menjawab, "tidak, hanya orang yang kaya sahaja yang mampu memakannya kerana harganya mahal"

Umar memerintahkan makanan itu dihantar balik ke negeri Azarbaijan lalu menulis surat kepada gabenor Azerbaijan. Kandungan surat itu berbunyi.

"Makanan semanis dan selazat ini bukan di buat daripada duit ayah dan ibumu. Kenyangkan perut rakyatmu dengan makan ini sebelum kamu mengenyangkan perut kamu"
Isu inilah juga yang saya sentuh dalam KHUTBAH JUMAAT saya hari ini di Masjid Balok Makmor. KENYANGKAN PERUT RAKYAT

Thursday, July 3, 2008

APABILA KEBINATANGAN MENGHALAU KEMANUSIAAN

Berdosalah pada sesiapa yang merestui kewujudan undang undang rimba ini. ISA Terus menerus meragut kasih sayang insan. Hanya orang yang berhati binatang sahaja akan mempertahankan undang undang zalim ini. Selepas keluarga ini mendapat 'hadiah' Barisan Nasional, bapa mereka dilanjutkan tahanan untuk dua tahun lagi (2+2+2+2). Hari ini satu lagi hadiah diberikan oleh sebuah kerajaan yang zalim, dinafikan hadir pada saat nazaknya anak tercinta. Ikutilah babak menyayat hati ini.

BABAK 1
Suasana di Wad Blok A Tingkat 3 Hospital Kajang cukup sayu dengan tangisan isteri tahanan ISA, Siti Fatma dan ahli keluarga tatkala anak perempuan kesayangannya, Aina Mardiah Shahrial terlantar koma dan nazak sejak semalam lagi.

Aina Mardiah dilaporkan terjatuh di rumahnya semalam hingga mengakibatkan beliau koma.

BABAK 2
kelihatan kira-kira 20 pelajar sekolah terdiri daripada rakan-rakan Aina Mardiah menziarahi beliau.
Keadaan bertambah sedih apabila rakan-rakan turut menangis teresak-esak sambil memeluk Aina yang terkapar dengan alat bantuan hayat serta bergantungan 'wire' di tangan serta hidungnya.

Kesedihan yang terpancar di wajah rakan-rakan Aina membayangkan hubungan akrab mereka lebih-lebih lagi Aina seorang insan yang dinafikan hak bapanya untuk hidup bebas seperti anak-anak yang lain.Anak yang telah lama tidak mendapat kasih sayang daripada bapanya sejak 7 tahun lalu kerana dipisahkan oleh akta zalim ISA sememangnya sentiasa mengharapkan ribaan kasih sayang bapa yang dirindui.

Sesiapa sahaja pasti luluh jiwa apabila melihat rakan-rakan saling berpelukan menangis teresak sementara si ibu yang kering sudah airmatanya hanya mampu melihat sambil sesekali memeluk dan mencium anaknya yang terkapar kaku.

BABAK 3
Sementara dua adik lelakinya yang setia menanti di hujung penjuru katil terus menerus membacakan ayat-ayat suci Al-Quran dan Yaasin sambil menitiskan airmata.
Wajah muda dua adiknya ini begitu sayu sekali meratapi kakak yang terlantar sementara menantikan bapa tercinta tiba selepas satu 'penyiksaan' perasaan dihadapi mereka untuk mendapatkan pelepasan bapanya itu.

BABAK 4
6.25 petang di sisi ibunya, Aina Mardiah Shahrial menghembuskan nafas terakhir selepas terlantar koma dan nazak sejak semalam.

Lebih mendukacitakan, bapa kandung Allahyarhamah, Shahrial Sirin yang dilaporkan bertolak dari Kem Tahanan Kemunting selepas mendapat kelepasan Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar masih belum tiba di hospital.

Shahrial dilaporkan dibawa keluar dari Kem Tahanan Kemunting sejak jam 1.00 tengahari tadi. Kegagalan pihak polis cawangan khas menemukan Sahrial dengan anaknya dikecam.

Perjalanan dari Kem Kamunting di Taiping ke Kajang takkan memakan masa lebih dari 5 jam. Jalan mana yang digunakan?

BABAK 5
Shahrial yang tiba kira-kira jam 9.40 malam dibawa dengan sebuah van dengan nombor pendaftaran WQV 4491 diiringi lebih kurang sepuluh anggota polis. Setibanya di pekarangan rumah tersebut beliau terus didakap anak keduanya, Ehsan Shahrial, 16 dan beberapa sahabat handai.

Dengan genangan air mata beliau terus mendukung anak bongsunya, Arfah Sharial, 9 yang kebetulan turut menyambutnya di situ untuk memasuki dalam rumah menatap janazah anaknya.

Beliau duduk di sisi isterinya, Siti Fatma Masirun, 38, dan terus menatap wajah anaknya yang terbaring kaku di situ.

Beliau mengucup dahi anaknya itu sepuas-puasnya seolah-olah enggan menerima perpisahan akibat 7 tahun keluarga ini dipisahkan oleh tempoh kem tahanan secara zalim.